Seni & Sukan 15 Aug, 2024

Video| Siapa bakal Sinonim Sudirman! Pertanding cari penyanyi baharu! Anjuran Kopstar, Summit USJ!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this



SETIAP tahun menjelangnya Hari Kemerdekaan, tidak lain dan tidak bukan tentunya lagu yang sinonim dengan sambutannya, ’31 Ogos’, nyanyian penyanyi legenda, Allahyarham Dato Sudirman Arshad menjadi pilihan radio-radio tempatan.

Malah liriknya  berbunyi ‘Tanggal 31, Bulan lapan lima puluh tujuh, Merdeka, Merdeka. Tetaplah Merdeka….’ mudah diingati waima oleh kanan-kanak kecil sekali pun. 

Untuk rekod, lagu '31 Ogos' pada asalnya ditulis dan dinyanyikan oleh penyanyi berasal Medan, Indonesia, Ahmad Chass Barra atau lebih dikenali sebagai Ahmad C.B.  Sudirman kemudian mempopularkan lagu sama dengan versinya yang penuh semangat patriotik.


Dari kiri: Ryn Mohamad, Saw Poh Chuan, Ar Kamarul, Royce Saayan dan Habsah Hassan.


Sehubungan itu, amat tepat sekali apabila Koperasi Industri Muzik Malaysia atau Kopstar dengan kerjasama Pusat Beli Belah Summit USJ dan disokong oleh Sudirman Asset Management menganjurkan program Sinonim Sudirman bertujuan untuk meraikan legasi kekal penghibur ikonik, sambil memupuk bakat muzik generasi seterusnya. 

“Kita bukan mahu mencari pengganti Allahyarham Sudirman. Tiada siapa yang layak mengganti tempatnya. Tetapi kita mahu mencungkil bakat-bakat baharu yang sinonim dengan Sudirman.” ujar penulis lirik tersohor, Datuk Habsah Hassan pada majlis pelancaran program ‘Sinonim Sudirman’ bertempat di Summit USJ, Subang pada Rabu, 14 Ogos 2024.  



Acara menandatangani dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Summit USJ dan Kopstar turut disempurnakan. 


Sinonim Sudirman bakal berlangsung selama tiga hari berturut-turut bermula pada 30 Ogos hingga 1 September 2024 di Summit USJ, Subang.

“Mana tahu pada pertandingan ini kami berjaya mencungkil seorang bintang yang persis dan sinonim dengan Sudirman yang boleh digilap menjadi artis terkenal,” jelas Habsah Hassan yang pernah memegang jawatan Pengerusi Kopstar selama lima tahun dari 2009 hingga 2014, penuh yakin.

Turut hadir bersama melancarkan program  tersebut ialah Pengerusi Kopstar, Datuk Rohayati  Sa’ayan atau lebih popular dengan panggilan Royce Sa'ayan sebagai penyanyi; Pengurus Besar Summit USJ, Saw Poh Chuan; Ahli Majlis Zon 4. MBSJ, Ar Kamarul Hisham Yeop dan Eksekuitif Kanan Pemasaran Summit USJ, Ryn Mohamad.

Antara acara utama yang telah disusun selama program ‘Sinonim Sudirman’ berlangsung tentulah Pertandingan Sinonim Sudirman serta Pertandingan Nyanyian Patriotik.

“Seramai dua puluh peserta akan dinilai bukan pada cara nyanyian persis Sudirman tetapi kreativiti mereka mempersembahkan lagu dan gaya masing-masing menepati corak dan sinonim dengan Sudirman. Itu yang kami cari,” akhiri Habsah Hassan yang juga. akan bertindak sebagai juri di samping guru vokal, Cikgu Siti Hajar Ismail dan komposer Salman Shariff yang turut hadir.


Royce Sa'ayan dan Habsah Hassan, pencetus di sebalik program 'Sinonim Sudirman' yang akan berlangsung di Summit USJ mulai 30 Ogos 2024 ini.


Menyokong pendapat Habsah Hassan, Royce Sa'ayan berkata, ‘Sudirman kekal sebagai tokoh yang disegani dalam dunia muzik, terkenal dengan kehebatan vokal yang luar biasa dan kehadiran pentas yang memukau. Sehingga kini belum ada yang boleh rmanggantikan Sudirman”.

Menurut Royce, sebagai Pengerusi Kopstar, beliau menekankan, misi program ini adalah untuk menghargai sumbangan Sudirman kepada muzik dan budaya, memberi inspirasi kepada penyanyi yang bercita-cita tinggi untuk mempamerkan bakat mereka di platform yang berprestij. 

“Setelah mendapat keizinan daripada Sudirman Asset Management. kami sangat teruja untuk memperkenalkan Sinonim Sudirman, satu penghormatan kepada legenda muzik yang impaknya merentas generasi," tambah Royce sambil berhasrat untuk bukan sahaja meraikan legasi Sudirman yang luar biasa tetapi juga menggalakkan individu berbakat untuk meneruskan minat mereka dalam bidang nyanyian.

Pertandingan ini mengalu-alukan peserta daripada pelbagai latar belakang, menjemput mereka untuk menunjukkan kebolehan vokal dan karisma masing-masing di pentas. 

“Peserta akan berpeluang untuk bersaing bagi merebut piala pusingan, piala iringan, wang tunai, cenderahati dan sijil penyertaan,” jelas Royce.


Farra Ahmad (tiga dari kiri) dan Nami Harez serta Siti Hajar dan M. Noor (duduk) akan memeriahkan program 'Sinonim Sudirman' bersama Royce pada sebelah malam.


Sementara itu sebagai 'tuan rumah' kepada  program. Summit USJ mewakili komitmen Kopstar untuk memupuk kecemerlangan seni dan memelihara pengaruh Sudirman dalam landskap muzik moden. 

“Pertandingan ditetapkan untuk memikat penonton dan menetapkan penanda aras baharu dalam bidang pertandingan nyanyian,” ujar Saw Poh Chuan dalam ucapan ringkasnya.

Beliau memaklumkan sepanjang tiga hari program berlangsung, antara acara yang diadakan selain peraduan  ‘mencari’ Sudirman meliputi juga Pertandingan Baby Catwalk , Pertandingan Mewarna Karikatur Gayor, Pertandingan Deko Kek PWIP, Deklamasi Puisi, Klinik Gitar M. Noor Hendrix dan Klinik Vokal Cikgu Siti Hajar Ismail.

“Banyak hadiah dan cabutan bertuah menanti kehadiran pengunjung yang berkunjung ke Summit USJ pada program ‘Sinonim Sudirman’,” akhiri Poh Chuan.



Tidak dimeriahkan dengan acara pertandingan pada sebelah siang sahaja, pengunjung juga bakal dihiburkan dengan persembahan dan nyanyian artis lama dan baharu antaranya Emma Zack Kool, Emma Akma, Farra Ahmad, Nami Harez, Zack Kazamata, Wafi The Voltage dan Kumpulan Aktivis.

Apa pun penyertaan untuk menyertai mana-mana pertandingan masih terbuka dan untuk maklumat lanjut boleh layari laman web www.kopstar.com.my

Jadi seperti kata lirik Sudirman, “Mari kita seluruh warga negara, ramai-ramai menyambut hari merdeka….” jom ke Summit USJ pada tanggal berkenaan. Mana tahu anda adalah ‘Sinonim Sudirman’ yang dicari selama ini. 


Royce bersama wakil anggota dari Persatuan Wanita Islam Prihatin (PWIP)  bergaya ala pemain golf ketika melawat 'Fun X Golf' di Summit USJ manakala gambar bawah memperlihatkan Habsah Hassan bersama Siti Hajar diberi penerangan mengenai Taman Permainan Bertema Dalaman Keluarga oleh Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan DFN, Abraham Ng.




Sebelum acara berakhir, tetamu bersama pihak media dibawa melawat sekitar Summit USJ Mall khususnya meninjau ke pusat belajar bermain golf  seluas 15,000 kaki persegi iaitu 'Fun X Golf' di aras 4 dan Taman Permainan Bertema Dalaman Keluarga seluas 50.,000 kaki persegi yang terletak di lantai 2 dan 3. - KitaReporters

16
9
0
7
0
You will be interested