MEGAT Danish Shahriman (lima dari kiri) bergandingan tangan tanda kesatuan barisan baharu kepemimpinan MPM 2024-2028 selepas AGM di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, Kampung Pandang, Kuala Lumpur pada 14 Disember 2024. - Kredit foto: MPM
MENJAYAKAN penganjuran Kelayakan Piala Dunia Bola Sepak Orang Buta dan Kejohanan Renang Para Asia 2025 menjadi agenda terdekat Datuk Seri Megat Danish Shahriman Zaharudin selepas berjaya mempertahankan jawatan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) pada 14 Disember 2024.
Beliau yang memenangi pemilihan pucuk pimpinan sempena mesyuarat
agung tahunan (AGM) ke-25 MPM, turut mahu memperkasa dan melestarikan sumber
pendapatan badan itu sepanjang penggal baharu kepemimpinannya, 2024-2028 ini.
Shahriman menewaskan pencabarnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang
juga mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), 14 berbalas 10 undi dalam
pertandingan satu lawan satu di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, Kampung Pandan,
Kuala Lumpur.
“Ini barisan baharu MPM yang berjiwa besar, lebih kuat dan keras
untuk menghadapi Sukan Para ASEAN, Sukan Para Komanwel, Sukan Para Asia dan
Sukan Paralimpik Los Angeles 2028.
“Semua yang bertanding tidak bermaksud ada menang kalah. Tiada
kem dan tiada perpecahan. (MPM macam) dalam keluarga yang ada sedikit pandangan
berbeza.
“(Yang penting) MPM sebuah organisasi (yang perlu) dinaikkan martabatnya terutama atlet para dan masyarakat orang kurang upaya (OKU). Barisan baharu ini mahu menabur bakti dengan terbaik kepada agama, bangsa dan negara.
MEGAT Danish Shahriman Zaharudin (lima dari kiri) mengalu-alukan kemasukan muka baharu barisan kepemimpinan MPM seperti Joshua Edgar Mariyee Joseph dan Amarjit Singh Gill (dua dan tiga dari kiri). - Kredit foto: JE
“Alhamdulillah saya dapat pertahankan jawatan Presiden,” ulasnya dalam sidang media selepas AGM berkenaan dengan pemilihannya membabitkan 24 ahli gabungan yang layak mengundi manakala dua lagi iaitu lawan pedang dan tenis kerusi roda tidak memenuhi syarat sebagai pemilih.
Perwakilan yang mengundi ialah daripada badminton, boccia, bola sepak orang buta, bola tampar OKU, boling padang OKU, catur OKU, kanu, memanah, menembak, mendayung, olahraga, karom, pelayaran, pingpong, renang, goalball, bola keranjang kerusi roda, teqball, boling tenpin, persatuan sukan orang buta Malaysia, berbasikal, ragbi kerusi roda, taekwondo dan ekuestrian.
Kepada Shapawi katanya, “terima kasih beliau bertanding dan ingin menabur bakti walaupun telah bersara. Ini pertandingan terbuka.
“Saya menghormati Shapawi, dia macam abang, kami tiada isu apa-apa. Namun saya dan pasukan saya telah bekerja sejak empat hingga lima tahun lalu dan kini perlu ada sedikit penambahbaikan serta bagi kami, kena tunai dan selesaikannya.
"Sebagai seorang bapa yang ada anak OKU dan istimewa, saya kalau tak menang tadi, saya tak malu pun,” katanya lagi.
BARISAN baharu kepemimpinan MPM berdepan dua agenda besar penganjuran pertandingan antarabangsa pada 2025. - Kredit foto: JE
Antara muka baharu dalam barisan kepemimpinan MPM kali ini ialah Datuk Amarjit Singh daripada berbasikal dan Joshua Edgar Mariyee Joseph (teqball), yang menurut Shahriman, menepati cita-citanya untuk melihat gabungan idea baharu dan persefahaman mereka.
“Semuanya berkhidmat sukarela dan mengorbankan masa keluarga untuk berkhidmat dengan terbaik sambil mengutamakan organisasi ini terlebih dulu daripada diri,” katanya yang mula menerajui MPM secara menang tanpa bertanding pada 14 Disember 2019 ekoran penarikan diri seorang lagi calon - bekas menteri Kabinet, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
MEGAT Danish Shahriman Zaharudin kekal memimpin MPM bagi sepenggal lagi sejak 2019. - Kredit foto: MDSZ
BARISAN KEPEMIMPINAN MPM 2024-2028:
Presiden: Datuk Seri Megat Danish Shahriman Zaharudin
Timbalan Presiden: M. Rajendran
Naib Presiden: Datuk Mah Hassan Omar, Datuk Amarjit Singh Gill,
Dr. Ang Kean Koo, Joshua Edgar Mariyee Joseph
Setiausaha Agung: Datuk R. Subramaniam
Penolong Setiausaha Agung: Mohd. Zahrawi
Bendahari: S. Kumarusamy
Penolong Bendahari: Rattna Aizan Mohd. Idris
AHMAD Shapawi Ismail yang bersara dari MSN pada 28 September 2023, kalah tipis dalam menawarkan diri berkhidmat kepada badan sukarela seperti MPM. - Kredit foto: MSN