Seni & Sukan 19 Apr, 2022

Video| Keluarga Malaysia sokong tubuh CoopMart! Mampu atasi miskin bandar! Bina komuniti mampan!

@sarfarizmal saad
Penulis merupakan pemimpin pelajar IPTA suatu ketika dulu. Pernah bertugas di 4 kementerian dan beberapa pasukan komunikasi strategik. Mula menulis di akhbar sejak 2009. Bekas Ahli Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan dan bekas Pegawai Khas YBM.

Share this



JIKA diceritakan tentang kemiskinan, B40 dan kehidupan susah komuniti dalam negara kita, rata-rata orang akan banyak menumpukan kepada kawasan luar bandar dan pedalaman.

Jalur fikir orang ramai sudah berfokus kepada kemiskinan dan luar bandar sehingga di negara kita ada sebuah kementerian yang ditubuhkan hanya mengkhususkan kepada kehidupan di luar bandar. Perkara ini sudah menjadi sinonim sejak berkurun lamanya.

Tidak dinafikan, sememangnya fakta memberitahu kita bahawa kemiskinan tertinggi adalah di kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman. Namun, jangan menganggap bahawa kawasan dalam bandar ini tiada isu berkenaan. Walhal, isu kemiskinan dalam kawasan bandar sebenarnya lebih serius dan kompleks berbanding di luar bandar.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan gerakan koperasi


Disebabkan kesedaran itulah dan keinginan untuk merealisasikan aspirasi Keluarga Malaysia, Kerajaan Malaysia telah mewujudkan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menelusuri isu-isu kemiskinan di dalam bandar, yang lebih dikenali sebagai miskin bandar.

Bertuahnya rakyat di negara ini kerana kementerian-kementerian yang ada di Malaysia saling bekerjasama dan berusaha pada skala tugas masing-masing bagi memastikan isu-isu melibatkan perut dan poket rakyat dapat diatasi dengan sehabis baik pada setiap masa.

Sebagai contoh, dalam usaha mengurangkan kemiskinan bandar di Malaysia, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah bekerjasama dengan KWP untuk menubuhkan Coop Community Mart (CCM).

Melalui Projek Coop Community Mart (CCM) ini, agensi di bawah MEDAC iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan kerjasama KWP telah membangunkan kedai koperasi atau coopmart di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak Oktober 2021.



Bagi menggalakkan penubuhan CCM ini, bantuan infrastruktur dan modal pusingan sebanyak RM130,000.00 diperuntukan oleh SKM dan RM50,000 oleh KWP kepada koperasi terpilih sebagai insentif dalam menyokong ekosistem pembangunan perniagaan koperasi yang kondusif dan mampan. Hal ini juga selaras dengan Transformasi Koperasi Malaysia (Transkom) 2021-2025 yang telah dilancarkan sebelum ini.

Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pernah menyebut kepada pihak media bahawa, perolehan tahunan sektor koperasi sebanyak RM41.47 bilion dengan kekuatan keluarga koperasi seramai 7.04 juta orang merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan.


Kredit : Jalaluddin Alias (Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan)

Ini bermaksud, peranan koperasi dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat amatlah besar dan berkesan

Tidak mustahil, bermula daripada usaha kita untuk mengurangkan isu-isu berkaitan kemiskinan bandar di komuniti dalam bandar melalui koperasi, akhirnya gerakan ini berupaya untuk menguasai sebahagian pasaran pemborongan dan peruncitan terutama dalam menguasai sistem rantaian nilai bekalan barangan keperluan secara pukal dalam ekosistem gerakan koperasi yang komprehensif dan bersepadu.

Salah satu contoh Coop Community Mart (CCM) yang dibangunkan oleh KWP dan MEDAC adalah Coop Community Mart (CCM) Koperasi Pudina Putrajaya Berhad, terletak di Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Pudina, Presint 17, Putrajaya.

Ia diusahakan sendiri oleh koperasi berkenaan dengan dianggotai seramai 156 orang dan menyasarkan kepada para pengguna daripada pemilik-pemilik unit dan penduduk PPAM Pudina, Presint 17 itu sendiri.

Data yang diperoleh daripada pihak MEDAC memberitahu, projek Coop Community Mart (CCM) ini telah mencapai kejayaan yang luar biasa di mana jualan bulanannya sejak November 2021 mencecah lebih RM200,000.


Kredit : Jalaluddin Alias (Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan)

Ini sekali gus memberi kelebihan buat komuniti setempat yang pasti merangkumi mereka yang berada dalam kumpulan miskin bandar. 

Antara kelebihan yang diperoleh adalah berjaya meningkatkan ekonomi komuniti menuju ke arah komuniti mampan (sustainable community), dapat menambah baik kedudukan ekonomi penduduk setempat melalui penawaran peluang pekerjaan secara sepenuh masa atau separuh masa, membuka peluang kepada industri kecil dan sederhana (IKS) melalui proses pembekalan barangan runcit kepada peniaga, katerer dan sebagainya, membantu ahli koperasi dengan cara peluang menghadiri kursus-kursus berkualiti daripada pihak koperasi, dan para ahli mendapat faedah dan insentif apabila menggunakan perkhidmatan di kedai koperasi.

Mungkin gerakan koperasi pada peringkat komuniti ini masih tidak popular dalam usaha kita menurunkan peratusan miskin bandar di Wilayah Persekutuan, namun kita boleh berfikir semula dan bertindak untuk menjadikan gerakan koperasi sebagai salah satu mekanisme ke arah jihad memerangi miskin bandar di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. - KitaReporters


Kredit foto: Berita Harian

7
10
0
14
0
You will be interested