Seni & Sukan 29 Apr, 2022

Kegembiraan berganda buat Dr Soo Wincci! Dapat berpuasa di Malaysia! Dapat ikuti kerja-kerja amal!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Seperti yang diketahui umum, Dr Soo Wincci pasti tidak akan terlepas untuk turut serta berpuasa setiap kali tiba bulan Ramadan sejak 12 tahun yang lalu

Kali ini, kehadiran Ramadan tahun 2021 ini memberi kegembiraan berganda buat Dr Soo Wincci kerana selain dapat menjalani puasa di Malaysia, dia juga dapat turut serta melakukan kerja kebajikan yang biasa dilakukannya sejak di bangku sekolah. 

“Tahun ini, saya rasa sangat teruja kerana dapat menyambut bulan puasa di Malaysia. Suasana berpuasa di sini lebih meriah berbanding ketika saya berpuasa di Sepanyol sebelum ini. 

"Saya juga rasa sangat seronok kerana pada hari pertama puasa tahun ini, saya berpeluang mengikuti aktiviti amal bersama Islamic Relief Malaysia bagi mengagihkan bantuan makanan kepada golongan memerlukan daripada komuniti Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) di Brickfields, Kuala Lumpur. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan selebriti Dr Soo Wincci

Dr Soo Wincci membantu salah seorang ahli keluarga penerima manfaat dari Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam (PERTIS) membawa kotak pek makanan Rezeki Ramadan yang diterima pulang ke rumahnya.


“Sudah lama saya rindukan suasana untuk turun padang melakukan kerja-kerja kebajikan memandangkan sejak Covid-19 melanda, gerak kerja kebajikan turut berdepan kekangan dan terbatas pergerakannya. 

“Jadi, bila ada program sebegini, saya memang tak akan lepaskan peluang untuk turut serta membantu. Melalui program sebegini, saya berpeluang melihat sendiri realiti kehidupan masyarakat juga menyelami permasalahan mereka,” kata Dr Soo Wincci, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia, dalam satu kenyataan media pada 25 April 2022. 

Program edaran pek makanan Rezeki Ramadan yang dianjurkan Islamic Relief Malaysia sudah mula dilaksanakan seawal satu minggu sebelum tibanya bulan puasa

Ia selari dengan objektif program itu iaitu untuk meringankan beban golongan memerlukan dalam menyediakan juadah berbuka dan bersahur.  

Program bermusim yang menjadi acara tahunan Islamic Relief Malaysia ini dijalankan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak dengan menyasarkan edaran sebanyak 6,000 pek makanan yang akan memberi manfaat kepada lebih 30,000 orang


Cef Imelda Harris turut membantu salah seorang penerima manfaat dari Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam (PERTIS) membawa kotak pek makanan Rezeki Ramadan yang diterima pulang ke rumahnya.


Antara Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia yang turut hadir menyantuni penerima manfaat bersama Dr Soo Wincci adalah cef selebriti, Imelda Harris

“Ini merupakan kali pertama saya menyertai program kebajikan menyantuni penerima manfaat dari komuniti OKU penglihatan. Ternyata ia memang memberi pengalaman berbeza buat saya dan Wincci.  

“Menerusi program ini, kami dapat melihat kegigihan para penerima untuk datang ke lokasi edaran bantuan sehingga ada yang datang menaiki Grab kerana tiada kenderaan. Kami juga berpeluang mengangkat kotak pek makanan Rezeki Ramadan ini dan bantu hantar hingga ke rumah penerima yang tinggal berdekatan kawasan edaran dengan berjalan kaki,” kata Cef Imelda Harris. 


Dr Soo Wincci sempat menziarahi rumah penerima manfaat sambil bersembang mengenai latar belakang dan survival kehidupan penerima. 


“Dalam keadaan sekarang, ramai orang di sekeliling kita yang terjejas dengan pelbagai ujian khususnya terkesan akibat pandemik. Jadi, kita perlu sama-sama membantu dan menghulurkan bantuan mengikut kapasiti kita.  

“Mungkin bagi sesetengah orang yang berkemampuan, bantuan pek makanan Ramadan ini nampak seperti usaha yang kecil sahaja, tetapi sebenarnya bagi penerima manfaat, ia sangat besar maknanya. 

“Ada penerima yang berkongsi dengan kami bahawa bekalan makanan asas yang mereka terima ini boleh bertahan antara dua hingga tiga minggu, dan ada juga yang kongsikan ia boleh bertahan selama sebulan sepanjang bulan puasa. Jadi, di sini kita sendiri boleh lihat dan nilai betapa inisiatif ini sangat bermakna dalam meringankan beban mereka yang memerlukan. 

“Saya juga percaya, kehadiran kami bersama sukarelawan dan kakitangan Islamic Relief Malaysia sedikit sebanyak dapat memberi semangat kepada para penerima bantuan, selain menunjukkan keprihatinan kita bahawa mereka tidak bersendirian dalam mengharungi kesusahan,” kata Dr Soo Wincci, dalam kenyataan tersebut. 



Kempen tajaan pek makanan Rezeki Ramadan yang berslogan #gandakanpahala ini, telah menyasarkan kutipan dana sebanyak RM2,320,000 bagi menyantuni 44,450 penerima manfaat di 32 buah negara termasuk Malaysia menerusi edaran 8,890 pek makanan secara keseluruhan. 

Antara negara-negara lain yang tersenarai untuk dibantu ialah Bangladesh, Bosnia, Afghanistan, Syria, Palestin, Yaman, Somalia, Nepal dan banyak lagi. 

Justeru, barisan ikon kemanusiaan Islamic Relief Malaysia seperti Dr Soo Wincci, Cef Imelda Harris, Irma Hasmie, Diana Amir, Elfaeza Ul Haq, Ashraf Muslim dan Saujana bersama selebriti Siti Saleha sekali lagi menzahirkan keprihatinan mereka dengan mewujudkan inisiatif menerusi pelaksanaan kempen Rezeki Ramadan Bersama Ikon & Selebriti bagi membantu kerja-kerja pengumpulan dana bagi menyokong usaha Islamic Relief Malaysia untuk membantu mereka yang memerlukan. 

Selain memuat naik entri berkaitan kempen dalam media sosial masing-masing, para ikon dan selebriti terlibat turut menyebarluaskan maklumat berkenaan kempen dan survival kehidupan penerima di negara konflik khususnya, menerusi perkongsian secara langsung dalam akaun Instagram mereka. 

Kepada yang ingin turut serta menyokong usaha murni ini boleh layari laman web ini untuk menyumbang: https://islamicreliefmalaysia.org/order/form/rezekiramadanikon - KitaReporters


14
6
0
18
0
You will be interested