Seni & Sukan 18 Mar, 2022

Keluarga Malaysia: Team Kekawan NGO komuniti! Bela nasib penduduk Taman Raja Tun Uda, Semenyih!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


BERSIKAP ringan tulang dan terbuka tanpa mengira bangsa, kaum dan agama menjadikan Team Kekawan (TK) Taman Raja Tun Uda, Semenyih, Selangor, semakin disenangi komuniti penduduk di taman berkenaan terutama dalam hal keselamatan.

Dalam aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, membantu mangsa bencana alam, keluarga miskin atau asnaf, meringankan bebanan mereka ditimpa musibah sakit yang serius, TK akan ke depan bagi menghulurkan segera bantuan yang diperlukan dan sebagainya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pertubuhan NGO

Team Kekawan turun padang bergotong-royong memasak pada majlis kenduri seorang penduduk.


Ahli Jawatankuasanya, Sazali Mohiden, berkata TK yang ditubuhkan enam tahun lalu dengan 20 ahli sentiasa bermuafakat turun padang terutama bagi membantu penduduk di taman berkenaan yang memerlukan bantuan khasnya menjadi mangsa banjir, kebakaran  atau pindah rumah.

Menurutnya, ahli TK yang terdiri daripada pelbagai bidang kerjaya akan turun padang untuk membantu penduduk terbabit secara sukarela supaya mereka tidak berasa tertekan atau dipinggirkan pada saat ditimpa musibah.

Jelasnya, TK mahu dijadikan contoh sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam komuniti taman berkenaan yang boleh menjadi tempat untuk bergantung apabila ditimpa musibah supaya setiap masalah dapat diselesaikan secara baik.


Ahli Team Kekawan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Raub, Pahang hujung Disember tahun lalu.


“Kita juga mahu menjadi ‘mata’ atau ‘telinga’ kepada pihak berkuasa berkenaan termasuklah wakil rakyat bagi mengutarakan masalah penduduk yang perlu diberi perhatian untuk diselesaikan sebelum bertambah buruk.

“Dari segi keselamatan yang sering menjadi trauma kepada penduduk ahli TK sentiasa disarankan memberi perhatian kepada sebarang pergerakan yang mencurigakan seperti kenderaan yang keluar masuk di samping individu bermotosikal apabila disyaki bukan penduduk taman itu,” katanya.

Sazali berkata, sebagai motivasi dan mencari pengalaman untuk berurusan dengan masyarakat ahli TK turut terbabit dalam kerja kebajikan seperti dalam aktiviti bergotong-royong membersih pusat jagaan warga emas yang terletak luar dari taman berkenaan.


Ahli Team Kekawan Taman Raja Tun Uda membantu menyempurnakan ibadat korban Pusat Jagaan Mahmudah di Semenyih, Selangor sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.


Menurutnya, pembabitan dalam aktiviti seperti itu akan menemukan TK dengan pelbagai ahli NGO lain yang turut terbabit kerana akan membuka peluang kepada mereka untuk berkongsi maklumat dan pengalaman dalam mengurus mereka ditimpa bencana dan sebagainya.

Jelasnya, sebagai pendedahan juga di samping mencari bantuan dan infak dana ahli TK turut digerakkan bagi membantu mangsa bencana alam seperti banjir besar di Raub, Pahang hujung tahun lalu supaya mereka dapat melihat secara dekat kerosakan atau kerugian dialami penduduk.

Beliau berkata, dengan cara itu ahli TK akan lebih faham dari segi bantuan atau keperluan penduduk yang perlu disalurkan akibat bencana alam itu dan gerak kerja yang dilancarkan tidak menjadi sia-sia sebaliknya memberi manfaat kepada mangsa terbabit.

“Kewujudan TK juga diharap menjadi contoh kepada remaja di taman ini mengenai budaya hidup bermasyarakat dan membuang jauh sikap pentingkan diri sendiri dan keluarga sahaja sedangkan kita hidup dalam masyarakat majmuk.

“Seperti nasihat yang sering dituturkan Pengerusi TK, Tukiran Ramli iaitu jangan dibimbangkan  jika usaha atau pertolongan kita tidak didendangkan tetapi mereka yang dibantu berasa bahagia serta gembira nasib mereka terbela,” katanya. - KitaReporters


Tukiran (kanan) mewakili Team Kekawan menerima sijil penghargaan kerana terbabit dalam kerja kebajikan daripada Pengerusi Pusat Jagaan Mahmudah Ruslan Saidin.

43
12
0
11
0
You will be interested