Seni & Sukan 24 Nov, 2020

Hero Besut ikut kelas memandu! Terima kunjungan Idris Jusoh!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

Pemuda Orang Kelainan Upaya (OKU), Mohamad Najmi Daud, 31, dari Kuala Besut, Terengganu yang mempunyai kelebihan tersendiri dengan kemahiran menyelam dan membantu menyelamat mangsa lemas di dalam air terus mendapat perhatian daripada pihak yang menghargai kebolehannya. : KitaReporters


Mohd Hashiri Karim (kiri) ketika membawa Mohd Najmi Daud aka Awie mendaftar belajar di Institut Memandu Pakatan Besut/Setiu, Terengganu


Lagi kisah-kisah berkaitan Mohd Najmi Daud:

https://kitareporters.com/search?search=Najmi+Daud


Mohamad Najmi atau lebih terkenal dengan panggilan “Awie” dalam kalangan penduduk setempat juga diberi gelaran sebagai Hero Kuala Besut oleh penduduk setempat kerana banyak membantu mangsa lemas di daerah Besut. 

Meskipun dia ditakdirkan Allah sebagai OKU, namun kemahiran menyelam dalam air amat dikagumi sehingga pihak keselamatan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)  turut meminta khidmat beliau untuk mengesan mangsa lemas jika ada kes sama ada di laut atau sungai.

Sikap berani dan prihatin Awie yang sanggup terjun ke sungai untuk berusaha menyelamatkan mangsa yang terjatuh ketika menjala ikan di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besut, Terengganu, pada 9 Oktober 2020 mendapat sanjungan orang ramai

Mohamad Najmi dari Kampung Timor, Kuala Besut walaupun tidak sempurna seperti orang lain tetapi sanggup bertarung nyawa untuk menyelamatkan insan lain yang menimpa musibah. 


Awie (depan) menunjukkan tanda bagus ketika mula mengikuti kelas memandu di Institut Memandu Pakatan Besut/Setiu


Kejadian berlaku ketika seorang buruh dipercayai terjatuh ketika menjala ikan. Awie terjun untuk menyelamatkan mangsa. 

Bagaimanapun usaha Awie tidak kesampaian apabila mangsa, Azman Che Mat, 45, dari Kampung Bukit Mas, Tanah Merah, Kelantan hilang sejurus terjatuh ke dalam sungai.

Sejak kejayaan tersebut, nasib Awie terus bersinar dan mendapat pelbagai sumbangan dan penghargaan daripada pelbagai pihak sebagai tanda sokongan dan memberi semangat kepada beliau untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

Terbaharu, Institut Memandu Pakatan Besut & Setiu, Terengganu menunaikan janjinya untuk memberi kemudahan mendapatkan lesen memandu percuma kepada Awie sebagai tanda penghargaan kepada pemuda tersebut. 


Mohd Hashiri Karim


Pengajar Institut tersebut, Mohd Hashiri Karim berkata, pihaknya pernah berjanji untuk menawarkan Awie kelas belajar memandu secara percuma bagi mendapatkan lesen memandu bagi menghargai sumbangan dan jasa beliau membantu pihak keselamatan dalam kerja-kerja sukarela mencari mangsa lemas sama ada di sungai dan di laut. 

Mohd Hashiri berkata, Awie mula diberi peluang dan masuk belajar di institut tersebut pada 21 November 2020 untuk sesi taklimat ko-kurikurikulum pendidikan pemandu (KPP) selama enam jam.

Katanya, selepas ini Awie dikehendaki menduduki ujian undang-undang lisan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Besut. 

“Untuk mendapatkan lesen Awie terpaksa mengikuti proses biasa dan dijangka mengambil masa dua bulan,” katanya.


Pengerusi FELDA Datuk Seri Idris Jusoh turut menyampaikan sumbangan wang kepada Awie.


Beliau berkata, sebagai tanda penghargaan kepada Awie pihaknya memberi peluang Awie mendapatkan lesen motosikal dan  tidak mengenakan sebarang bentuk bayaran sepanjang tempoh dia belajar di institut tersebut, malah bayaran lesen juga akan ditanggung oleh institut sebaik sahaja dia lulus semua ujian.

Sebelum ini, Awie sudah mendapat sumbangan wang dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman; JBPM Besut; PDRM IPD Besut; dan pihak swasta.


Idris Jusoh (kanan) bersama ADUN Kuala Besut Tengku Zaihan (kiri) ketika berkunjung secara santai ke rumah keluarga Mohamad Najmi di Kuala Besut


Sementara itu, Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi FELDA yang berkunjung secara santai ke rumah keluarga Awie pada 20 November 2020 dan turut memberi sumbangan kepada Hero Kuala Besut itu. - KitaReporters

5
3
0
3
1
You will be interested