Seni & Sukan 01 Aug, 2021

Perak FC kembali 'demam'! Khalid Jamlus tak layak ganti Yee Fatt! Sathia sedia timbang tawaran!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Khalid Jamlus perlu memulakan kerjaya kejurulatihan dari bawah sebelum layak menjadi ketua jurulatih pasukan Liga Super. Kredit foto: FB Khalid Jamlus. 


SEGALA-GALANYA serba tidak menjadi! Malang bertimpa-timpa buat pasukan Liga Super, Perak FC! Baru sahaja hendak ‘kebah’ daripada kekalahan 0-5 kepada Terengganu FC dengan keputusan positif, seri 0-0 ketika bertemu KL City FC, Selasa, 27 Julai 2021 lalu, The Bos Gaurus kembali ‘demam’ apabila dibelasah 5-0 oleh Johor Darul Ta’zim pada Sabtu, 31 Julai, 2021.

Keputusan itu meletakkan Perak pada kedudukan ke-11 (kedua tercorot) dengan 13 mata hasil 3 kemenangan, 4 seri dan 9 kekalahan daripada 16 perlawanan. 

Kegagalan memperbaiki kedudukan dalam baki enam saingan musim ini akan menyaksikan pasukan itu diturunkan ke Liga Perdana musim depan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Perak FC


Ia meningkatkan semula suhu kemarahan penyokong yang kembali mendesak agar jurulatih, Chong Yee Fatt dipecat. Sambil itu, mereka ‘memetik’ nama bekas pemain, Khalid Jamlus sebagai calon yang paling layak untuk mengembalikan maruah Perak FC.

Rata-rata penyokong menganggap Khalid dengan reputasinya sebagai bekas penyerang terbilang patut diberi peluang oleh Perak FC untuk membimbing pasukan itu.


Yee Fatt menerima tekanan hebat daripada penyokong ekoran prestasi buruk Perak musim ini. - Kredit foto: Perak FC


Tapi, hakikatnya, ramai penyokong Perak tidak sedar bahawa Khalid atau lebih dikenali sebagai KJ25 tidak layak untuk melatih Perak kerana tidak mempunyai lesen Pro A , sebagaimana ditetapkan oleh  Persatuan Bola Sepak Malaysia.

Difahamkan, Khalid memiliki lesen kelas B yang hanya melayakkan beliau untuk menjadi penolong jurulatih sesebuah pasukan Liga Super dan Liga Perdana.

Malah, Khalid sendiri yang seolah-olah menyedari hakikat itu pantas meminta penyokong agar jangan ‘memetik’ namanya dalam isu ini.

"Tak yah (Usah) petik nama aku (Khalid Jamlus). Aku tak layak jadi jurulatih Perak. Bersepah kat Perak tengah tunggu je digantikan.

"Betul, kalau bagus jadi pemain belum tentu bagus jadi jurulatih. Sebab pengalaman aku kurang (sebagai jurulatih)… hanya dengan (pasukan) Sime Darby dan PDRM je,” tulis Khalid melalui akaun media sosial miliknya.



Sebaliknya, Khalid dalam hantaran terbaru melalui akaun Facebook ‘memetik’ pula nama B Sathianathan sebagai jurulatih yang paling layak untuk merubah nasib Perak.

”Sehari dua ni kecoh fasal nak lantik aku, demi Allah, aku tak layak lagi dan perjalanan aku tuk (untuk) belajar pun masih jauh.

“Kalau betul-betul nak aku rasa nape (mengapa) tak lantik coach B Sathianathan, aku rasa beliau lagi layak. Pengalaman sebagai pemain dulu, aku nampak bagaimana perubahan yang drastik berlaku dalam pasukan Kelantan dan perancangan yang cukup teratur.

Of coz (Sudah tentu) beliau juga pernah dengan pasukan Olimpik 2000 dan banyak pasukan lain. Banyak berlaku perubahan drastik base on his experience (bersandarkan pengalamannya).

“Kalau korang (anda) nak tahu, beliau ni sebenarnya lahir di Perak. Apa pun anda di luar sana lebih bijak daripada saya tuk (untuk) buat pilihan. Tak cuba tak tahu. Sekadar cadangan aku je,” tulis Khalid.


Sathianathan dianggap  jurulatih paling layak untuk membimbing pasukan Perak.


Sementara itu, Sathianathan ketika dihubungi mengucapkan terima kasih kepada Khalid kerana mencadangkan namanya sebagai jurulatih Perak dan sedia menimbangkannya jika menerima tawaran.

“Sebagai jurulatih, saya terbuka kepada sebarang tawaran daripada mana-mana pasukan termasuk Perak. Kalau ada tawaran, saya akan pertimbangkan.

“Tapi, setakat ini, ia hanya cadangan Khalid. Tidak ada apa-apa tawaran. Saya ucapkan terima kasih kepada Khalid kerana mempercayai kebolehan saya.

“Buat masa ini tumpuan saya adalah menjalankan tugas sebagai Pengarah Teknikal pasukan Sarawak FC. Saya masih mempunyai kontrak dengan mereka,” kata Sathia.

Mengenai saranan penyokong agar Perak melantik Khalid sebagai jurulatih, Sathia berpendapat bekas penyerang kebangsaan memang layak diberi peluang berada di dalam pasukan tapi bukan sebagai ketua jurulatih.

“Lesen B hanya melayakkan Khalid menjadi penolong jurulatih ketiga bagi pasukan Liga Super. Tapi, itu adalah permulaan yang baik untuk dia.


Khalid berpotensi untuk jadi jurulatih berjaya. Kredit foto: FB Khalid Jamlus.


“Sebagai bekas pemain yang pernah bermain pada peringkat antarabangsa, Khalid patut diberi peluang memulakan kerjaya sebagai penolong jurulatih. Pengalamannya sangat berharga untuk membimbing pemain muda.

“Pada masa sama, Khalid dapat menimba ilmu serta meningkatkan kemahirannya dalam bidang kejurulatihan di samping berusaha menaikkan taraf lesen jurulatih secara berperingkat-peringkat kerana untuk mendapatkan lesen Pro A, ia memakan masa sekurang-kurangnya enam tahun.

“Kita ambil contoh Nafuzi (Zain). Dia memulakan karier kejurulatihan pada usia muda ketika saya menjadi jurulatih Kelantan tahun 2010. Dia bermula dari bawah dengan melatih pasukan akademi.

“Kemudian dia naik sedikit demi sedikit sehingga menjadi penolong jurulatih kepada Irfan (Bakti Abu Salim) bersama pasukan Terengganu dan sekarang sudah menjadi ketua jurulatih Terengganu FC.

“Saya yakin, dengan pengalaman sebagai pemain, Khalid pun mampu menjadi seperti Nafuzi. Siapa tahu, suatu hari nanti dia akan jadi ketua jurulatih Perak sebagaimana dimahukan oleh penyokong. Tapi, ia kena dimulakan dari sekarang,” kata Sathia yang juga merupakan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM). - KitaReporters


20
5
1
4
3
You will be interested