Seni & Sukan 01 Aug, 2021

Selamat Hari Pahlawan! Tahniah Aaron Chia, Wooi Yik! Wira Olimpik 2020 raih gangsa badminton!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-'96. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (BNC).

Share this

POSTER ucapan tahniah Muhyiddin Yassin dalam Facebook kepada Aaron Chia dan Soh Wooi Yik atas sumbangan pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo daripada acara beregu lelaki badminton. - Kredit foto: FB Muhyiddin


AARON Chia Teng Fong (kiri) dan Soh Wooi Yik menayangkan pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo selepas menewaskan beregu Indonesia yang juga di ranking kedua dunia pada 31 Julai 2021. - Kredit foto: MSN


JIKA 31 Julai setiap tahun disambut sebagai Hari Pahlawan buat setiap warga pasukan keselamatan negara, tiada bezanya bagi Aaron Chia Teng Fong dan Soh Wooi Yik untuk turut menerima ucapan setinggi itu selaku wira sukan Malaysia!

“Tahniah Malaysia! Syabas Aaron dan Wooi Yik! Kemenangan dan sumbangan pingat yang amat diharap serta dinanti-nantikan oleh seluruh peminat sukan tanah air.”

Beregu lelaki pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 (2021) ini menerima mesej tersebut daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi laman Facebook rasminya, 31 Julai 2021.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Sukan Olimpik

AARON Chia (kiri) menggenggam tangan dan menjerit gembira sambil Soh Wooi Yik meraikan kejayaan mereka dengan cara tersendiri. - Kredit foto: MSN


“Pingat gangsa dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang diraih tentunya mampu menyuntik semangat dan memberi motivasi kepada atlet-atlet negara yang lain untuk memburu kilauan pingat seterusnya.

“Tahniah saya ucapkan kepada pasangan Aaron dan Wooi Yik serta barisan jurulatih atas sumbangan pingat sulung buat kontinjen negara dalam Sukan Olimpik Tokyo ini.

“Buat pasangan muda kita ini, teruskan usaha dan berjuanglah demi negara. Anda telah membuktikan yang negara boleh menaruh harapan kepada anda. Tahniah, anda kebanggaan Malaysia!

“Syabas! Demi Malaysia! Demi Malaysia! Demi Malaysia!,” tambah Muhyiddin.


SOH Wooi Yik (kiri) 'mengetuk' bulu tangkis ke kawasan beregu Indonesia sambil diawasi Aaron Chia. - Kredit foto: MSN


Naib juara Seluruh England 2019 ini menumpaskan pasangan Indonesia, Hendra Setiawan dan Mohammad Ahsan 17-21, 21-17, 21-14 dalam perlawanan penentuan pingat tersebut di Plaza Sukan Musashino pada 31 Julai 2021 yang memakan masa 52 minit.

Aaron-Wooi Yik turut membalas dendam kekalahan kepada lawan yang menghuni ranking kedua dunia, 16-21, 19-21 dalam saingan Kumpulan D, 26 Julai 2021 lalu yang bertahan 34 minit sahaja.


AARON Chia (tengah) bersedia menanti pukulan Hendra Setiawan (baju merah) sambil Soh Wooi Yik mengawasi gerakan dari belakangnya. - Kredit foto: MSN


Pencapaian gangsa ini turut menjadi sagu hati terbaik mereka selepas disekat gandingan China, Li Jun Hui dan Liu Yu Chen dalam separuh akhir pada 30 Julai 2021.

Kejayaan Aaron-Wooi Yik juga menutup cabaran skuad badminton negara dalam Olimpik Ke-32 di Tokyo dengan sebutir gangsa daripada penyertaan lima wakil negara termasuk perseorangan lelaki dan wanita (Lee Zii Jia dan Soniia Cheah Su-Ya), beregu wanita (Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean) dan beregu campuran (Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying).

Gangsa mereka merupakan yang ketiga buat Malaysia dalam sejarah badminton Olimpik selepas Razif Sidek dan Jalani Sidek juga beregu lelaki di Barcelona 1992 dan adik mereka, perseorangan Rashid Sidek di Atlanta 1996.


DALAM norma baharu ekoran Covid-19, Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik mesti mengambil dan mengalungkan pingat Sukan Olimpik Tokyo sendiri selepas disuakan dengan dulang oleh tetamu kenamaan. - Kredit foto: MSN 


Ketika Olimpik Rio 2016, skuad negara yang diketuai perseorangan utama lelaki, Datuk Lee Chong Wei mencipta rekod pingat terbesar - tiga perak di samping beregu lelaki, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong serta Peng Soon dan Liu Ying yang kali ini terkandas seawal peringkat Kumpulan D lagi.

Menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) Majlis Sukan Negara, setiap pemenang gangsa Olimpik bakal menerima antara RM100,000 dan RM250,000 (sekali bayar) dan Skim Imbuhan Tetap Olimpik (SITO), RM2,000 secara bulanan.


GANGSA Aaron-Wooi Yik ini yang ketiga buat Malaysia dalam badminton Olimpik selepas Barcelona 1992 dan Atlanta 1996. - Kredit foto: MSN


Sasaran awal kontinjen negara di Tokyo ialah tiga pingat dengan satu daripadanya  emas yang jika diraih, bakal mencipta satu sejarah besar, sekali gus mengumandangkan lagu Negaraku buat kali pertamanya di arena Olimpik.   

Sasaran pingat Malaysia seterusnya ialah pada Mohd. Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam acara pecut dan keirin berbasikal di Velodrom Izu pada 4 dan 7 Ogos 2021.

Prospek lain ialah atlet akuatik wanita iaitu pemenang perak terjun seirama platform 10 meter Rio 2016, Pandelela Rinong Pamg dan Cheong Jun Hoong yang kali ini bersaing bagi acara individu di Pusat Akuatik Tokyo pada 4 Ogos 2021. - KitaReporters 


LEE Yang/Wang Chi-lin dari Taiwan (tengah) memenangi pingat emas, di kiri Li Junhui/Liu Yuchen (China) meraih perak manakala gangsa milik Aaron Chia dan Soh Wooi Yik. - Kredit foto: MSN


LEE Yang & Wang Chi-lin dari Taiwan (tengah) diapit di kiri oleh Li Junhui & Liu Yuchen dan Aaron Chia & Soh Wooi Yik. Beregu Taiwan itu memenangi final 21-18, 21-12 selepas 34 minit. - Kredit foto: MOM

0
0
0
0
0
You will be interested