BARU-BARU ini kecoh mengenai vokal penyanyi dan pelakon, Nabila Razali yang dikatakan sumbang atau ‘terkucil’ ketika membuat persembahan secara langsung dalam sebuah program hari raya di sebuah stesen televisyen berbayar. Akibat kegagalan mengawal vokalnya itu, dia dikecam teruk oleh netizen. Sebenarnya ini bukan kali pertama nyanyiannya dikritik ketika membuat persembahan secara langsung. : KitaReporters
Nabila melakukan sesi 'rehearsal' sebelum muncul secara langsung.
Dalam siaran langsung itu, Nabila menyanyikan lagu terbaharunya berjudul Peluang Kedua.
Walaupun sudah membuat latihan atau ‘rehearsal’ sebelum muncul secara langsung, namun vokalnya tetap ‘terkucil’ hingga mendapat kecaman netizen.
Berikutan kecaman yang diterima, akhirnya Nabila
tampil membuat kenyataan dalam media sosial miliknya setelah beberapa hari berdiam
diri.
Nabila tidak mahu menyalah sesiapa melainkan diri sendiri.
Menurut bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-10
ini, dia memohon maaf atas kesilapan yang berlaku.
“Pertama dan paling utama, saya minta maaf kerana mengecewakan kalian. Saya tidak menyalahkan sesiapa melainkan diri sendiri. Saya akan memperbaikinya pada masa akan datang.
“Kepada yang mesej, WhatsApp dan menghubungi menerusi telefon untuk menenangkan saya, terima kasih banyak sebab selalu ada bersama Bella dan menunjukkan rasa sayang.
"Saya memang memerlukannya saat ini. Bella doakan segala yang baik buat anda semua,” tulisnya dalam akaun Instagram.
Sementara itu, selain peminat setia, rakan-rakan
artis turut meninggalkan komen memberi semangat dan sokongan kepada Nabila
seperti Shiha Zikir, Hael Husaini, Mark Adam dan Wani Kayrie.
Semoga apa yang berlaku ini ada hikmahnya.
Mana tahu selepas ini ada guru vokal yang sudi mengajar Nabila secara percuma. Rezeki orang kita tidak tahu.
Apapun, diharapkan Nabila tidak patah semangat dan
berputus asa dalam bidang nyanyian. Buktikan kepada netizen yang anda boleh! - KitaReporters