Seekor
kucing peliharaan bernama Le Le dilaporkan telah dapat bertahan dan hidup sihat selama lebih 40
hari setelah ditinggalkan oleh tujuh sekeluarga yang diisolasikan di hospital akibat
jangkitan wabak Koronavirus-2019 (Covid-19) di Wuhan, China. : KitaReporters
Bertuah... Le Le sihat walaupun ditinggalkan pemiliknya selama lebih 40 hari. - Kredit Foto: Pear Video/ Daily Mail.
Merujuk kepada laporan portal Daily Mail, Le Le, kucing jenis ‘British Shorthair’ itu selamat menghabiskan berminggu-minggu sendirian di dalam sebuah rumah flat di Bandar Wuhan, China.
Le Le yang berusia dua tahun itu hamil sebelum wabak Covid-19 secara serius melanda bandar raya itu turut berjaya melahirkan empat ekor anak kucing tanpa pengawasan penuh pemiliknya dalam tempoh 40 hari itu.
Pemilik kucing yang tidak diketahui nama itu berkata, tidak ada
siapa yang dapat menjaga Le Le memandangkan seorang demi seorang ahli
keluarganya dijangkiti Covid-19 sejak wabak itu semakin tular pada Januari
2020.
"Kami sekeluarga seramai tujuh orang harus mendapatkan
rawatan dan diisolasikan di hospital sejak 25 Januari 2020 lagi. Jadi kami
terpaksa membiarkan kucing kesayangan kami hidup berdikari.
“Le Le sudah hamil dan perutnya semakin membesar ketika saya, isteri dan ahli keluarga yang lain mula jatuh sakit.
"Kami memutuskan untuk tidak mengupah pembantu untuk datang merawat Le Le kerana tidak pasti sama ada kawasan rumah kami dicemari Covid-19 atau tidak.
"Dengan itu, saya
harus mencari jalan penyelesaian sendiri dan bertanggungjawab ke atas haiwan
peliharaan saya,” katanya yang dipetik daripada, Daily Mail.
Dalam pada itu, pemiliknya menjangkakan Le Le akan melahirkan sekitar
Tahun Baharu Cina, namun ketika mereka meninggalkan rumah kucing itu masih aktif
walaupun sudah kelihatan sarat.
Le Le bersama empat ekor anak-anaknya yang semakin membesar.
Sebelum pergi ke hospital untuk rawatan, tambahnya lagi, mereka telah menyediakan tempat bersalin untuk Le Le sebagai persediaan jika mereka tidak dapat kembali lagi.
“Bagi mengelak Le Le kebuluran dan cukup makan… dua beg makanan
kucing seberat lebih kurang 10 kilogram tersedia dibuka untuknya.
"Di
dalam rumah ini, saya juga ada membela kura-kura dan ikan yang diletakkan di
balkoni jadi ada air yang bersih untuknya minum.
"Le
Le juga tahu cara menggunakan toilet kucing yang disediakan di bilik mandi
kami, jadi kami tidak risau soal najisnya,” katanya lagi.
Menurut pemilik kucing itu lagi, sebelum dia dan isterinya ke hospital, semua pintu
bilik telah ditutup dan hanya membuka pintu bilik air dan balkoni sahaja bagi memudahkan
pergerakan Le Le dan selebihnya mereka
juga tidak tahu apa yang terjadi kepada kucing kesayangannya itu.
Comel... anak-anak Le Le semakin aktif bermain.
Katanya,
selepas 40 hari di hospital isterinya terlebih dahulu dibenarkan pulang dan
mendapati Le Le begitu sihat bersama empat ekor anaknya yang berlarian di rumah
flatnya.
“Menariknya Le Le telah memakan ikan-ikan di dalam mangkuk, tetapi kura-kura peliharaan saya masih lagi selamat.
"Saya
menganggap diri ini sangat bertuah… saya tidak merawatnya untuk waktu yang lama
tetapi ketika melihat anak-anak kucing itu terasa gembira dan seolah telah melihat
satu harapan baharu.
“Walaupun begitu Le Le nampak kehilangan separuh daripada berat badannya… saya berjanji akan menjaga Le Le dan anak-anaknya sebaiknya,” akhirinya. - KitaReporters