Rumah ladang SRK di Alibaug dijadikan tempat meraikan ulang tahun ke-56nya. - Kredit foto: YouTube.
Raja Bollywood, Shah Rukh Khan (SRK) meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-56 pada 2 November secara ‘private' (peribadi) bersama anggota keluarga sahaja.
SRK membawa keluarga terdiri daripada isteri, Gauri dan tiga anaknya, Aryan Khan, Suhana Khan dan Abram Khan serta saudara mara terdekatnya untuk meraikan hari jadinya di rumah ladangnya di Alibaug, kira-kira 100 kilometer dari kota Mumbai.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Shah Rukh Khan
SRK membawa isteri dan anak-anak meraikan ulang tahunnya secara 'private'. - Kredit foto: geo.tv
Ini adalah kali pertama sejak menjadi bintang Bollywood, SRK meraikan hari jadinya secara tertutup. Banglonya di Alibaug selama ini diguna untuk pertemuan saudara mara SRK dan Gauri pada awal tahun.
Sebelum ini majlis hari jadinya selalunya dirai di kediaman mewahnya, Mannat di Mumbai dengan SRK akan menerima ucapan daripada peminatnya dari luar kediaman mewah itu.
Difahamkan, SRK ingin mengadakan sambutan secara persendirian bagi dapat meraikan bersama keluarga tanpa gangguan setelah bersyukur anaknya Aryan Shah dibebas dengan ikat jamin.
Pengurus SRK, Pooja Dadlani mengesahkan Raja Bollywood itu dan keluarga berada di Alibaug.
Rumah ladang SRK biasanya diguna pada awal tahun baru bagi saudara mara dan rakan berkumpul. - Kredit foto: Video YouTube.
Sementara itu, anggota polis terpaksa menyuraikan peminat dan petugas media yang berkampung di luar kediaman mewah SRK, Mannat di Mumbai.
Difahamkan SRK meraikan hari lahirnya secara 'private' kerana masih tidak bersedia menjawab pertanyaan petugas media dan rakan-rakan mengenai kes dadah yang dihadapi Aryan.
Dalam pada itu, sejumlah rakan SRK memberi ucapan ulang tahun melalui media sosial.
Menurut Pooja, SRK dan keluarga dijangka pulang ke Mannat pada Rabu, 3 November 2021 kerana Gauri akan meraikan hari Deepavali pada Khamis, 4 November. - KitaReporters