Seni & Sukan 06 Dec, 2021

Video| Hijrahkan Laguku: Rahmad Mega peserta pertama tersingkir! Mark Adam semakin menyerlah!

@news editor 1
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke editor@reporters.com

Share this


Berdebar dan kecut perut. Itulah gambaran perasaan penonton TV AlHijrah yang berada di rumah mahupun yang berada di Studio Digital stesen ini apabila Faizal Ismail dan Bell Ngasri selaku hos rancangan Hijrahkan Laguku (HL) mengumumkan Pg Adam dan Rahmad Mega berada di kedudukan tercorot. 

Namun, rezeki tidak berpihak kepada Rahmad. 

Perjalanan penyanyi kumpulan Mega itu bertemu titik noktah setelah tersingkir pada episod ketiga sekali gus bergelar peserta pertama yang meninggalkan pentas program TV realiti Islamik ini setelah tiga minggu rancangan disiarkan.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan hijrah



Bertemakan bebas, Rahmad yang membawakan lagu Hentikan Alasanmu dengan gubahan lirik baharu hanya mendapat 60 markah keseluruhan daripada juri profesional yang terdiri daripada Fauzi Marzuki, Hazamin Inteam serta Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang. 

Rahmad yang ditemui setelah program itu tamat berkata, beliau menerima keputusan juri dengan hati terbuka dan tidak menganggap bahawa ini adalah penamat kepada usaha dakwah.



“Saya menghadapi sedikit kesukaran untuk memilih lagu episod ketiga. Manakan tidak, saya perlu pastikan lagu itu bukan sahaja boleh dinyanyikan dengan baik namun perlu elemen lirik ketuhanan serta suntikan dakwah. 

“Ini bukan pengakhiran kepada kerja dakwah saya. Tetapi ini adalah permulaan kepada lebih banyak usaha pendakwahan dan langkah kerjaya yang lebih baik pada masa hadapan.

“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada rakan-rakan artis lain yang masih berada di pentas HL," kongsinya.



Sementara itu, Penerbit rancangan HL, Nurainah Nabeeha Hassan berkata, walaupun berat hati namun adat pertandingan realiti pastinya akan ada peserta yang tersingkir dalam mencari bintang terbaik.

Katanya, penyingkiran secara adil dan berhemah ini adalah keputusan bersama pihak juri setelah mengambil kira persembahan lagu dan lirik, persembahan pentas serta adab persembahan.

"Kalau diikutkan, HL sangat berbeza dengan program realiti yang pernah disiarkan di mana-mana platform sebelum ini. Kami titik beratkan elemen pendakwahan dan setiap artis yang menyertai pertandingan hadir dengan kisah penghijrahan berbeza," katanya.



 Persembahan minggu ketiga HL turut menyaksikan Mark Adam menerima Anugerah Bintang Nurani.   

Penganugerahan ini diberikan atas peningkatan nyanyian dan persembahan penyanyi kelahiran Filipina ini dari minggu pertama walaupun acapkali menerima kritikan pedas Fauzi Marzuki.

Sementara itu, Dato’ Nash yang menyanyikan lagu Tiada lagi Kidungmu mendapat markah tertinggi (78 peratus) diikuti Shahir Zawawi di tempat kedua dengan lagu Rasul (72 peratus) dan Zaf V.E di tempat ketiga dengan lagu Tunjuk Jalanmu (70 peratus).

Selain itu, persembahan lain yang berjaya memukau penonton adalah Iwan Shahman (Tuhan), Zack Kool dengan (Tidak Kekal Lama), Mark Adam (Isteriku) dan Pg Adam (Mari Mengaji). 

Lagu Tolaal Badru Alaina pula dipilih sebagai lagu penutup berkumpulan.



Hijrahkan Laguku yang bersiaran setiap Sabtu, 9 malam mendapat tajaan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), dan Hotel Premiera Kuala Lumpur.

Klip sedutan sesi latihan vokal, persiapan persembahan dan trivia para peserta bolehditonton melalui liputan kapsul yang disiarkan setiap hari, jam 7.55 malam.

Siaran ulangan HL turut boleh ditonton di TV AlHijrah pada setiap Ahad, jam 4.30 petang, manakala rancangan Hijrah Prihatin berama artis HL pula disiarkan setiap Sabtu dan Ahad, jam 1 tengah hari. - KitaReporters


 

15
14
0
10
0
You will be interested