Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
perlu menerajui agenda kesenian Islam dan Garis Panduan Persembahan Seni Berbudaya
yang diterbitkan oleh pihak USIM sama sekali tidak menyekat kebebasan,
kreativiti atau inovasi masyarakat dalam menghasilkan karya sebaliknya menjadi
pemangkin kepada nilai kesenian Islam yang lebih syarie, damai dan mendapat
keberkatan Allah SWT.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, “USIM bersama rakan kerjasama serta rakan strategik yang lain boleh mengorak langkah membina satu kerangka kesenian Islam dalam masa yang sama mewujudkan satu naratif baharu iaitu kesenian Islam yang damai serta bersifat rahmatan lil alamain."
Tambah beliau, ekoran pelbagai isu yang berlaku kini misalnya karya filem yang tidak mengikut garis panduan yang dikeluarkan boleh mewujudkan ketidakharmonian dalam masyarakat.
Beliau berucap demikian ketika merasmikan ‘Buku Garis Panduan Persembahan Seni berbudaya USIM’ di Pusat Kebudayaan USIM.
Selain itu, aspek kesenian kerap kali diabaikan dan tidak diberikan penumpuan oleh setiap masyarakat. Sudah menjadi tanggungjawab masyarakat untuk menjadikan setiap aktiviti yang dijalankan termasuk seni hiburan dan seumpamanya sentiasa berada di dalam ruang lingkup syariah yang berupaya mendekatan diri kepada Tuhan.
“Namun, dunia telah didominasi oleh budaya tertentu misalnya K-Pop dan banyak lagi menjadi asbab serta keperluan bagi kita mewujudkan Islamic Cultural Power House yang boleh mengisi kekosongan, keperluan kerohanian masyarakat yang memerlukan hiburan akan tetapi hiburan yang boleh mendidik jiwa, akal, roh dan mampu mewujudkan individu yang seimbang dari aspek emosi, jasmani, rohani dan intelektual,” katanya.
Justeru, garis panduan ini penting
kerana masyarakat memerlukan panduan untuk berkarya dan menghasilkan produk seni
berkualiti yang bukan sahaja menghiburkan malah dapat membimbing manusia dan membentuk
masyarakat Madani yang diaspirasikan oleh Perdana Menteri Malaysia.
Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr.
Sharifudin Md Shaarani berharap agar garis panduan ini juga dapat meningkatkan
keterlihatan USIM dalam bidang seni budaya dan menjadi rujukan Masyarakat.
Turut hadir dalam majlis pelancaran buku tersebut adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Karyawan Seni USIM Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman dan wakil jabatan di USIM. - KitaReporters/USIM