
KITAREPORTERS mendapatkan Mahazer Mokhtar bagi menganalisis peluang skuad negara pada Piala Sepak Takraw Asia Astaf KL 2025 dari 10 hingga 18 Mei 2025 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Bekas tekong Pulau Pinang yang juga
pengulas sepak takraw jemputan sebuah stesen TV ini dari 2010 hingga 2016, sentiasa mengikuti rapat
perkembangan pasukan kebangsaan di bawah pengurusan Datuk Abu Jimi Samat yang akan menyertai empat acara – berpasukan, regu,
beregu dan kuadran (berempat).
Olahragawan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan Malaysia (Maksak) 2010 yang pernah membantu Pulau Pinang muncul naib juara Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari 2004 ini turut berpengalaman melatih pasukan Jepun ketika mereka berkunjung ke negeri utara Semenanjung ini untuk kem latihan pada 2005 hingga 2009.

MAHAZER Mokhtar (kanan) bersama Veeras Na Nongkhai, bekas perejam handalan Thailand dalam era 80-an yang kini melatih Arab Saudi. - Kredit foto: MM
Regu:
Kita berpeluang cerah ke suku akhir berdasarkan rekod dan prestasi semasa serta sepatutnya tidak bermasalah besar untuk mengatasi Filipina, Nepal dan Singapura dalam Kumpulan D yang bukanlah antara empat kuasa utama sepak takraw dunia.
Tuan rumah perlu memanfaatkan kelebihan ranking dan pengalaman juara regu Piala Dunia Istaf 2024 di stadium sama, sekali gus menjuarai kumpulan ini.
Namun mereka perlu kekal konsisten sambil jangan sesekali memandang rendah lawan.

SHAHALRIL Aiman Halim (22) dan Aidil Aiman Azwawi (11) dijangka dipertaruhkan Malaysia dalam acara berpasukan, beregu dan kuadran. - Kredit foto: ST
Kuadran:
Peluang ke separuh akhir terbuka luas juga
selaku juara Kumpulan B yang turut mengandungi Filipina, Jepun dan China. Filipina
dan Jepun di ranking pertengahan Asia. China pula sedang membangun tetapi belum
konsisten menyaingi pasukan elit.
Malaysia perlu berjaga-jaga dengan aksi set awal Jepun yang selalunya agresif malah mungkin perlawanan ini jadi penentu juara kumpulan.
China memiliki libasan padu tetapi taktik mereka agak mudah dibaca. Filipina juga gagah menyerang namun servis, kawalan dan adangan kita dianggap sebagai lebih baik.

MAHAZER Mokhtar (kanan) bersama Pemangku Presiden Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Boonchai Lorhpipat yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) dan Naib Presiden Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT). - Kredit foto: MM
Beregu:
Thailand masih merupakan pilihan utama Kumpulan
B yang akan disaingi gandingan kita sang juara acara ini dalam Piala Dunia
Istaf 2024 di Kuala Lumpur selain Taiwan dan Nepal.
Si Gajah Putih juga masih segar dengan kejayaan menjuarai beregu Piala Dunia Istaf di Bihar, India pada Mac 2025 lalu. Mereka menewaskan Myanmar yang malangnya terpaksa menarik diri daripada Piala Asia Astaf kerana gempa bumi.
Malaysia menang sekali dengan Thailand di ibu negara dan lawan menyekat kemaraan kita dalam separuh akhir di Bihar. Justeru Piala Asia ini ibarat set penentuan (tie-break) buat mereka. Siapa jagoan sebenar bakal terjawab.
Taiwan menunjukkan perkembangan yang baik biarpun sering beraksi dalam Divisyen Satu. Nepal hanya lebih bersandarkan semangat dan keinginan membuktikan sesuatu.

NORAIZAT Nordin (mengadang) terus ditagih penyokong setia untuk mengulangi kejayaan beregu negara dalam Piala Asia Astaf seperti mana ketika Piala Dunia Istaf 2024. - Kredit foto: ST
Berpasukan:
Sebagai juara berpasukan Kejohanan Dunia
Piala Raja Thailand di Korat dan Piala Dunia Istaf 2024 di Kuala Lumpur,
Thailand ternyata pilihan utama Kumpulan A. China, India dan Singapura masih
jauh jurang prestasi mereka.
Kekuatan dan daya saing Korea Selatan juga tidak dapat dinafikan. Disiplin taktikalnya turut bagus malah berpengalaman mengejutkan Malaysia dalam Sukan Asia dan Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand. Brunei dan Jepun cuma boleh sedikit mencabar tetapi bukanlah begitu menggugat.
Kelebihan tuan rumah dengan sokongan padu peminat bakal banyak membantunya.
Bermodalkan mereka, inilah detik terbaik skuad negara sekiranya menewaskan Thailand dalam perlawanan akhir, mengakhiri kemarau kejuaraan berpasukan sejak Sukan SEA Manila 1991. Kita tewas 2-1 pada final Piala Dunia Istaf 2024 namun banyak pengalaman yang telah dihadam sejak itu. - KitaReporters

GANDINGAN pengumpan dan perejam Malaysia (dari kiri), Aidil Aiman Azwawi, Shahalril Aiman Halim dan Noraizat Nordin. - Kredit foto: PSM

THAILAND dilaporkan membawa Supasin Boonrueng (13, jersi merah) dan Varayut Jantarasena (menanduk) ke Piala Asia Astaf 2025 bagi menyaingi gelaran acara berpasukan dan regu di Stadium Titiwangsa. - Kredit foto: ST