Seni & Sukan 03 Jul, 2025

Video! Emosi terganggu waktu berpantang! Shila tulis Pernah Punya Aku! Kenang kisah ibu dicurangi!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Penyanyi tersohor tanah air, Shila Amzah, 34, kembali menggegarkan persada muzik dengan pelancaran single terbaharunya berjudul “Pernah Punya Aku” selepas berehat panjang daripada berkarya.

Karya peribadi yang ditulis dan digubah sepenuhnya oleh Shila sendiri ini bukan sekadar sebuah lagu, tetapi juga cerminan kisah benar yang dialami oleh ibunya, sekali gus menandakan fasa kematangan Shila selepas 25 tahun bergelar anak seni.

Selain itu, ia tercipta dalam tempoh hanya dua hari ketika beliau masih dalam tempoh berpantang saat emosinya berada dalam keadaan tidak stabil selepas melahirkan puteri pertamanya pada 9 Mei 2024, bersama perkahwinan keduanya dengan pempengaruh media sosial, Muhammad Ubaidillah,  27, atau Ubai.

Shila pernah mendirikan rumah tangga bersama Haris Edraki pada 2018 namun berpisah pada Februari 2022 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Seth Uwais.

“Ketika itu, emosi saya tidak stabil. Suami saya menyarankan agar saya cuba luahkan apa yang saya rasa melalui lagu dan dari situlah lahirnya 'Pernah Punya Aku'. Ia bukan sekadar luahan tetapi juga proses penyembuhan buat diri saya,” kenang pemiilik bernama penuh, Nur Shahila Amir Amzah ini.



Menurut Shila, meskipun lagu ini menyentuh tema kekecewaan dan kesedihan dalam sebuah hubungan, beliau tetap menyuntik unsur harapan dan kekuatan agar ia mampu menjadi ruang pemulihan buat para pendengar.

Dan memandangkan ‘Pernah Punya Aku’ berkait rapat dengan pengalaman dialami ibunya, Fauziah Sarman, yang diceraikan oleh bapanya, penyanyi veteran, Dato ND Lala melalui rakaman suara WhatsApp sahaja, Shila memilih untuk memperdengarkan lagu tersebut terlebih dahulu kepada ibunya.

“Lagu ini saya tujukan kepada seorang wanita yang dicurangi dan ditinggalkan. Saya mahu ibu saya mendengarnya dahulu kerana dia lebih dekat dengan sudut pandang itu. Alhamdulillah, menurutnya, lagu ini sangat menyentuh dan menggambarkan apa yang pernah beliau rasakan,” kongsi Shila.



“Pernah Punya Aku” merupakan single pertama daripada album penuh keenam terbaharu Shila yang akan dikeluarkan pada hujung tahun ini (2025). 

Album studio keempat terakhirnya, "Shila Amzah' dirakam pada tahun 2013, manakala album kelima 'My Journey' adalah album bahasa Cina pertama nyanyiannya yang dilancarkan pada tahun 2016 oleh syarikat rakamannya, Shilala (HK) Ltd di Beijing, China ketika itu.

Apa pun single terbaharunya ini  menjadi satu cara bagi beliau untuk melepaskan kisah yang terpendam dan membuka lembaran baharu dalam perjalanan hidupnya sebagai seorang ibu, wanita, dan anak seni.

“Walaupun lagu ini sedih, saya mahu pendengar tahu bahawa di sebalik setiap kepedihan ada jalan keluar. Lagu ini adalah refleksi perasaan ramai wanita yang pernah ditinggalkan atau dikhianati tetapi dalam masa yang sama saya selitkan kata-kata semangat supaya mereka tahu mereka tidak bersendirian,” tambahnya.


Genervie Kam (kiri) bertindak selaku penerbit dan penggubah muzik untuk 'Pernah Punya Aku' nyanyian Shila Amzah.


Proses rakaman lagu ini dilaporkan berlangsung dalam suasana yang sangat positif dan efisien, dengan Genervie Kam bertindak selaku penerbit dan penggubah muzik. 

Genervie, yang juga merupakan pengarah muzik wanita yang cukup disegani di Malaysia dan isteri kepada penyanyi dan pelakon Hazama Azmi, memberikan sokongan penuh kepada Shila sepanjang proses rakaman yang hanya mengambil masa kira-kira 40 minit sahaja untuk disiapkan. 

“Saya rasa sangat selesa bekerja dengan Genervie. Beliau memahami saya sebagai seorang artis dan wanita. Proses rakaman sangat lancar dan berkesan,” akhhirii  Shila. - KitaReporters


10
18
0
14
0
You will be interested