
Bersedia untuk menyaksikan fenomena baharu dalam industri hiburan tempatan apabila Astro memperkenal sebuah program realiti nyanyian terbaharu yang menjanjikan dimensi segar kepada genre realiti – ‘Raise The Star Malaysia’.
Bermula 22 Jun 2025, rancangan inovatif ini akan disiarkan setiap Ahad jam 9 malam secara langsung di Astro Ria, menjanjikan pengalaman tontonan yang tidak boleh dilepaskan oleh para pencinta muzik dan hiburan.
‘Raise The Star Malaysia’ membawa format yang benar-benar berbeza untuk pencinta program nyanyian, dengan memaparkan pertandingan realiti nyanyian dari perspektif yang belum pernah diterokai sebelum ini – iaitu pandangan para komposer itu sendiri.

Konsep unik ini akan menyaksikan lima komposer terkenal tanah air — Ajai, Audi Mok, Aina Abdul, Shila Amzah, dan Ikhwan Fatanna — bergabung tenaga dalam mencari lima pelapis baharu yang berpotensi besar.
Mereka akan memanfaatkan pengalaman, kreativiti dan pengetahuan mendalam dalam industri muzik untuk bukan sahaja mencari dan membimbing bakat-bakat baharu ini, malah menggunakan kebolehan mereka untuk mencipta lagu baharu sebagai taruhan buat bintang pilihan mereka di pentas akhir.

Dari kiri: Ajai, Ikhwan, Audi Mok, Shila Amzah dan Aina Abdul.
Pendekatan ini juga merupakan persediaan rapi buat mereka dalam menghadapi cabaran industri muzik di masa akan datang.
Diinspirasikan daripada program nyanyian global, keseluruhan aturan rancangan ini akan tertumpu kepada strategi dan pencaturan para komposer dalam mencari bintang pilihan mereka dalam sebuah platform produksi tempatan bertaraf antarabangsa, sekali gus menjanjikan persaingan yang sengit dan penuh drama.
Memastikan pentas sentiasa rancak dan menghiburkan, rancangan ini akan dihoskan oleh dua gandingan pengacara terkenal tanah air, Alif Satar dan juga Sherry Alhadad.
Gabungan tenaga, spontan dan karakter bersahaja mereka di atas pentas pastinya akan membuatkan penonton terhibur dan terpaku pada skrin.

‘Raise The Star Malaysia’ bakal menampilkan 30 bintang yang telah berjaya melepasi saringan uji bakat yang ketat.
Para peserta ini terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang, dan kesemua mereka telah melalui dua sesi uji bakat secara digital dan juga fizikal, di mana mereka telah membuktikan kepada para juri dengan memberikan lantunan vokal yang mengagumkan.

“Astro ingin membawakan satu kelainan baharu dalam format rancangan realiti dengan mengangkat karya ciptaan komposer tempatan. ‘Raise The Star Malaysia’ bakal menampilkan komposer yang akan memilih antara bakat-bakat baharu untuk diangkat dengan memberi karya muzik mereka,” ujar Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari.
Menurut Idlan, “‘Raise The Star Malaysia’ bakal menampilkan komposer yang akan memilih antara bakat-bakat baharu untuk diangkat dengan memberi karya muzik mereka.
Ini bermakna, peserta perlu merebut peluang untuk melayakkan diri bagi mendapatkan lagu khas ciptaan komposer di pentas akhir.
“Kami berharap program ‘Raise The Star Malaysia’ dapat memberikan inspirasi serta nafas baharu kepada pencinta dan peminat dunia muzik di luar sana agar lebih menghargai sesebuah karya seni,” tambahnya.
Sistem penjurian ‘Raise The Star Malaysia’ terbahagi kepada dua bahagian utama; pemarkahan komposer (juri) menyumbang sebanyak 80%, manakala undian pihak umum pula menyumbang 20%.


Antara bintang-bintang yang berjaya dipilih memperlihat persembahan masing-masing.
Setiap minggu, para peserta akan diuji dengan tugasan berbeza sehingga ke tahap maksimum melalui beberapa siri tugasan seperti persembahan solo, duet, dan sebagainya.
Mereka akan dinilai oleh para komposer yang turut berperanan sebagai juri rancangan bagi menentukan siapa yang akan layak untuk mara ke setiap peringkat seterusnya sehingga ke pentas final, dengan matlamat untuk menjadi fenomena muzik seterusnya di Malaysia.
Sebuah sistem kedudukan (ranking) dinamakan ‘Slay Meter’ akan diberikan oleh para juri berdasarkan kualiti persembahan para bintang, dan bintang yang berjaya mendapat 5 ‘slay’ akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai dari pihak penaja.
Peserta dengan kedudukan paling bawah setiap minggu akan tersingkir dari pertandingan, menambah elemen mendebarkan dalam setiap episod.
Konsert utama program ‘Raise The Star Malaysia’ akan berlangsung selama lapan minggu dan disiarkan secara langsung dari Royal Theatre Shah Alam. - KitaReporters
