.

“OS sudah meninggal dunia. Ali Mamak sudah pergi. Accapan pun sudah tiada. Kini, Khairul pula menyusul. Seorang demi seorang pelakon Santan Berlada meninggalkan dunia ini. Kak Jee benar-benar sedih.”
Demkian luahan rasa Fauziah Abd Samad yang merupakan bekas pelakon dan wartawan apabila mendapat berita kematian pelawak Khairul Azhar Abdul Samad.
Menurut Fauziah yang mesra membahasakan dirinya Kak Jee, dia terkejut apabila disampaikan berita itu oleh seorang rakan wartawan pada pagi Jumaat, 30 Mei, 2025.
“Kak Jee macam tak percaya. Buat seketika Kak Jee hilang kata-kata. Terkejut dan tak sangka kerana selama ini tak pernah dengar dia sakit malah ada kawan-kawan beritahu Khairul masih aktif,” katanya.

FAUZIAH ABD SAMAD
Fauziah menjelaskan selepas tamat siri Santan Berlada yang
bersiaran pada kaca televisyen pada tahun 1980-an, dia jarang berjumpa Khairul
kerana sibuk dengan urusan masing-masing.
“Di samping terikat dengan tugas hakiki sebagai wartawan, Kak Jee juga aktif berlakon filem dan menyanyi terutama bersama Os sementara Khairul pula banyak bergerak bersama Ali Mamak dan Acappan.
“Kak Jee kerap juga berjumpa Ali dan Acappan pada majlis-majlis tertentu yang membabitkan artis veteran tapi Khairul tidak hadir, mungkin dia sibuk dengan tugasnya sebagai kakitangan kerajaan.
“Rasanya dah 35 tahun kami tak berjumpa malah boleh dikatakan terputus hubungan apatah lagi sejak beberapa tahun kebelakangan ini Kak Jee tidak sihat, memang jarang jumpa kawan-kawan. Bila tengok gambar terbaharu Khairul, Kak Jee terkejut, wajahnya jauh berubah,” kata Fauziah.

GANDINGAN trio Santan Berlada, Khairul, Ali Mamak dan Acappan.
Begitupun kata Fauziah, dia tidak sekali-kali lupa kepada kawan-kawan lamanya terutama yang terbabit dalam sitkom Santan Berlada. Malah, sehingga sekarang dia masih terkenang-kenang keakraban mereka sepanjang terbabit dengan siri komedi itu.
“Sitkom Santan Berlada itu memang banyak meninggalkan kenangan. Sehingga sekarang, masih ada yang memanggil Kak Jee ‘Mona’ watak yang Kak Jee lakonkan dalam drama itu.
“Malah, nama Os, Ali Mamak dan Acappan terus kekal pada diri pelakon watak-watak itu sehinggakan nama sebenar mereka tenggelam. Kak Jee kalau jumpa (Datuk) Fauziah Nawi, masih memanggilnya Kak Ti (Fatimah) wataknya dalam drama itu,” ujar Fauziah.
Menurut Fauziah lagi, hubungan semua pelakon dan tenaga penerbitan sitkom itu bagai adik-beradik.

KHAIRUL Azhar Abdul Samad meninggal dunia pada usia 70 tahun.
“Kak Jee masih ingat, Khairul ketika itu boleh dikatakan budak baharu jika dibandingkan dengan Kak Fauziah (Nawi) dan Kak Jee. Dia seorang yang baik, berbudi bahasa dan pandai menghormati orang.
“Kak Jee tidak ada kenangan tertentu bersama Khairul tapi akan kenang dia sebagai budak yang baik, peramah, mudah senyum dan berbakat.
“Bila teringat kawan-kawan lama, Kak Jee akan kenang kembali kemesraan kami ketika bersama dalam Santan Berlada. Hanya itulah yang tinggal untuk melepaskan rindu,” katanya.

JENAZAH Khairul selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja Uda, Klang. - Kredit foto: BuletinTV3.my
Terdahulu, media melaporkan Khairul, 70, ditemui tidak sedarkan diri di dalam kereta oleh anak angkat yang juga pembantu peribadinya, Muhammad Aizat Norazemi, 27, pada malam Khamis, 29 Mei, 2025.
Pasukan perubatan yang dipanggil kemudian mengesahkan bahawa pelawak itu sudah meninggal dunia.
Allahyarham meninggalkan dua orang anak, Nor Hafizah, 41, dan Nur Shahirah, 25. Isterinya, Norsidah Ahmat, meninggal dunia pada Jun 2024 akibat kanser darah.
Berita pemergian Khairul memang agak memeranjatkan penggiat serta peminat seni kerana Allahyarham sebelum itu dilaporkan masih aktif dalam kegiatan seni. Malah, menurut Aizat, pada pagi Khamis, Allahyarham masih bertugas sebagai pengacara untuk satu majlis.
Khairul yang merupakan pesara kerajaan dan pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Kebudayaan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mula mencipta nama dalam dunia seni menerusi sitkom Santan Berlada.
Malah, selepas siri berkenaan berakhir, gandinganya bersama Ali Mamak dan Acappan diteruskan sebagai trio Santan Berlada dengan memenuhi pelbagai jemputan pentas, televisyen dan majlis-majlis tertentu.
Trio itu juga pernah menghasilkan album nyanyian pada 1993 di bawah label Suria Record sementara Fauziah dan Os pula berganding sebagai pasangan duet menerusi satu album.
Jenazah Khairul disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja Uda, Klang selepas solat Jumaat pada 30 Mei, 2025. Al-Fatihah. - KitaReporters

FAUZIAH dan Os berganding menghasilkan sebuah album bertajuk Berkenan Bebeno Teman.