
Buat masa ini, FAM memilih untuk meletakkan sebahagian besar hala tuju dan masa depannya pada tangan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), sambil menangguhkan pelaksanaan reformasi dalaman.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menegaskan pendekatan itu perlu bagi memastikan semua keputusan dibuat selari dengan proses perundangan antarabangsa.
“Buat masa ini, kekal status quo sementara kita selesaikan dahulu proses ini dan selepas itu, kita buat keputusan yang terbaik,” katanya dalam sidang media di Kelana Jaya pada Isnin 22 Disember 2025.
Namun persoalan utama yang timbul ialah sejauh mana keputusan CAS benar-benar mampu menyelesaikan krisis dalaman FAM yang lebih bersifat struktur dan budaya organisasi.
Hakikatnya, CAS hanya akan memutuskan isu berkaitan peraturan FIFA, hukuman dan kesahan proses dokumentasi -- bukan soal kebertanggungjawaban kepimpinan atau pembaharuan tadbir urus.

Mohd Yusoff sendiri mengakui cadangan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) lebih tertumpu kepada aspek pembetulan dalaman dan pentadbiran.
“Cadangan IIC itu lebih kepada reformasi pentadbiran untuk betulkan tadbir urus kita. Kalau boleh, kita ambil dari situ dan fikir apa langkah terbaik untuk bola sepak,” jelasnya.
Kenyataan itu secara tidak langsung mengesahkan bahawa isu sebenar FAM melangkaui kes di CAS dan memerlukan tindakan dalaman yang lebih berani.
Pun begitu, FAM memilih untuk menunggu keputusan CAS sebelum melaksanakan sebarang reformasi menyeluruh, satu pendekatan yang dilihat defensif oleh sebahagian pemerhati bola sepak tempatan.
FAM berhujah bahawa langkah tergesa-gesa boleh mengganggu proses perundangan yang sedang berjalan, apatah lagi apabila semua dokumen kini berada pada tangan CAS.
“FAM sudah menghantar semua dokumen berkaitan kepada CAS dan ketika ini kami sedang menunggu tarikh perbicaraan ditetapkan,” kata Mohd Yusoff.

Namun, menunggu semata-mata tanpa isyarat perubahan jelas berisiko menjejaskan lagi kredibiliti badan induk itu di mata peminat, penaja dan rakan antarabangsa.
Dalam konteks ini, laporan penuh IIC sebenarnya memberi peluang kepada FAM untuk memulakan pembaharuan secara berperingkat-peringkat tanpa perlu menunggu keputusan CAS.
Langkah FAM untuk bersetuju membuat laporan polis seperti disyorkan IIC adalah satu titik positif, namun ia hanya permulaan kepada proses pemulihan yang lebih panjang.
“Kita mahu siasatan mengenai bagaimana pemalsuan ini boleh berlaku dan siapa yang bertanggungjawab,” kata Mohd Yusoff, menandakan kesediaan membuka isu ini kepada siasatan jenayah.

Isu penggantungan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman turut menjadi simbol kegagalan sistem semak dan imbang dalam organisasi itu.
Mohd Yusoff memaklumkan Noor Azman akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin FAM selain berada dalam pemerhatian FIFA.
“FIFA mahu mengetahui peranan beliau, proses yang dilakukan dan sejauh mana pembabitannya terhadap dokumen yang dihantar,” jelasnya.
Situasi ini memperlihat bahawa krisis FAM bukan berpunca daripada seorang individu semata-mata, tetapi kelemahan sistemik yang membenarkan pemalsuan berlaku tanpa pengesanan awal.

Dalam banyak kes antarabangsa, badan sukan menggunakan krisis besar sebagai titik perubahan untuk memperkenalkan reformasi menyeluruh -- sesuatu yang masih belum jelas akan dilakukan FAM.
CAS mungkin menentukan kedudukan FAM dari sudut peraturan FIFA, tetapi ia tidak akan menentukan tahap kepercayaan rakyat terhadap institusi tersebut.
Nasib FAM sebenarnya bukan hanya pada tangan CAS, tetapi juga pada keberanian kepimpinan sendiri untuk melaksanakan pembaharuan walaupun keputusan mahkamah belum diumumkan.
Jika FAM mampu menggunakan krisis ini sebagai peluang membina semula sistem dan budaya tadbir urus, keputusan CAS kelak boleh menjadi permulaan pemulihan; namun jika tidak, ia hanya akan menjadi satu lagi episod dalam kitaran masalah bola sepak Malaysia. - KitaReporters