
Akibatnya, ramai yang mempertikai tindakan sejumlah artis wanita itu yang bertindak sedemikian termasuk golongan agamawan.
Salah seorang agamawan yang memberi teguran secara bersahaja tetapi menyusuk ialah pendakwah bebas terkenal Ustaz Elyas Ismail.
Ustaz Elyas membidas tindakan artis yang membuka tudung. Dan mendakwa tidak mahu hipokrit. Lalu mendakwa lebih rapat dengan Tuhan tanpa tudung.
Video teguran Ustaz Elyas itu dimuat dalam laman sosial seperti Facebook dan Instagramnya.

Menurut Ustaz Elyas, menutup aurat adalah arahan jelas daripada Allah SWT dan bukan tentang pilihan peribadi atau persepsi masyarakat semata-mata.
Malah katanya, kenyataan mendakwa diri lebih dekat dengan Tuhan walaupun tidak memakai tudung adalah tidak masuk akal.
"Ayat apa ni? Bertudung dan menutup aurat itu adalah perintah Allah tanda seseorang itu cuba mendekatkan diri dengan Allah mestilah dengan melaksanakan apa yang Allah suruh.
"Ada juga yang kata saya tidak bertudung tapi saya baik, macam mana? Allah memerintahkan supaya perempuan melabuhkan pakaian, menutup seluruh badan apabila dia nak keluar rumah.
"Dengan cara sedemikian, akan lebih dikenali sebagai perempuan yang baik dan tidak diganggu. Menutup aurat, bertudung itu tanda perempuan baik," katanya.

USTAZ ELYAS ISMAIL
Tambah Ustaz Elyas, kebaikan dalaman tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan perintah syariat.
"Jadi berhentilah menggunakan ayat 'kalau saya bertudung pun hipokrit buat apa'. Ini bukan soal hipokrit, ini arahan Allah.
"Orang mengata atau tidak, kalau dah Allah yang suruh kita kena buat. Malah Rasullullah pun berpesan, sesiapa yang membuat sesuatu perkara untuk mencari keredaan Allah walaupun dengan marahnya manusia, Allah akan cukupkan keperluan dan kehidupannya itu.
"Tapi kalau dia sibuk sangat nak mencari reda manusia dengan murkanya Allah, maka Allah akan biarkan saja dia terumbang ambing dalam kehidupannya. Maka ingat, reda Allah paling utama bukan reda peminat (manusia)," katanya.

Putri Dahlia, anak kepada pelakon Datuk Nora Ariffin, telah membuat keputusan untuk menanggalkan hijabnya.
Keputusan ini dibuat atas pilihan peribadi untuk memulakan perjalanan baharu dan mendalami agama dengan cara tersendiri. Dan dia mendakwa mendapat sokongan keluarga atas perubahan itu.
Namun, tindakannya mencetuskan pelbagai reaksi daripada netizen.

Putri Dahlia telah membuat keputusan untuk membuka hijab setelah 15 tahun memakainya, memilih untuk dikenali sebagai Dahlia, nama pentas baharunya.