Seni & Sukan 02 Jan, 2026

Kim Swee bukan penyelamat segera? Program Pembangunan Bola Sepak Negara! Imbangi harapan, prestasi!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Pelantikan Datuk Ong Kim Swee sebagai Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) menandakan satu fasa baharu yang sarat dengan harapan, tetapi juga dibayangi tekanan besar terhadap hala tuju pembangunan bola sepak Malaysia.


Ia bukan sekadar pelantikan individu berpengalaman, sebaliknya simbol pengakuan bahawa struktur dan pendekatan NFDP sebelum ini memerlukan penilaian semula secara menyeluruh.
Jurulatih berusia 55 tahun itu menghuni kerusi panas itu berkuat kuasa 1 Disember 2025 bagi menggantikan Oscar Francisco Gonzalez. 
Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi secara terbuka mengakui keperluan perubahan itu apabila menyerahkan mandat penuh kepada Kim Swee untuk menilai keseluruhan ekosistem NFDP dan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD).
“Kita membawa Datuk Ong Kim Swee untuk melihat kelemahan yang ada dan memperbaikinya. Kita beri kepercayaan penuh supaya setiap keputusan dibuat secara profesional,” katanya.

Kenyataan itu memberi isyarat jelas bahawa FAM tidak lagi mahu pendekatan bersifat kosmetik atau mengekalkan status quo demi keselesaan sesetengah pihak.


Kim Swee (tiga dari kanan) membimbing skuad negara mara sehingga layak ke peringkat kalah mati Sukan Asia 2018.
Namun, mandat besar itu datang bersama cabaran besar. Setiap keputusan Kim Swee bukan sahaja mencerminkan hala tuju NFDP, malah menjadi cerminan keberanian FAM dalam mempertahan reformasi.
Ketika FAM mahu memulakan langkah tercetus isu kontrak beberapa jurulatih tidak disambung, sekali gus mencetuskan reaksi bercampur-baur antara sokongan dan rasa tidak puas hati. 
Dari sudut kritikal, polemik ini mendedahkan dilema klasik pembangunan sukan negara: keperluan perubahan bertembung dengan kepentingan individu dan sentimen lama.
Namun dari sudut idealis, perubahan ini wajar dilihat sebagai usaha membina semula asas yang lebih kukuh, bukannya tindakan menghukum atau menyisihkan mana-mana pihak.

Mohd Yusoff menegaskan FAM tidak akan campur tangan dalam urusan teknikal, termasuk pemilihan jurulatih.

“Soal siapa digunakan atau dilepaskan, itu hak jawatankuasa teknikal beliau. Kita percaya semua keputusan dibuat untuk kebaikan NFDP dan AMD,” katanya.

Pendekatan ini, jika benar-benar dipertahan, memberi Kim Swee ruang autonomi yang jarang dinikmati pengarah teknikal sebelum ini.

Namun persoalannya, sejauh mana ruang itu mampu bertahan apabila tekanan prestasi dan desakan awam mula meningkat?

Kim Swee sendiri memahami hakikat bahawa pembaharuan sebenar jarang hadir tanpa penentangan.

“NFDP perlu ada hala tuju yang jelas. Kita tidak boleh buat perubahan separuh jalan. Apa yang kita lakukan mesti berdasarkan penilaian menyeluruh, bukan emosi,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa pembangunan pemain muda memerlukan kesabaran dan konsistensi, bukan keghairahan terhadap keputusan jangka pendek.

“Kita mahu jurulatih yang faham proses pembangunan. Kejayaan sebenar bukan hari ini, tetapi lima atau 10 tahun akan datang,” ujar Kim Swee.


Akademi Mokhtar Dahari di Gambang, Kuantan menjadi antara sumber melahirkan bakat muda bola sepak pada peringkat akar umbi.

Kenyataan itu memperlihat pendekatan idealis yang sering disebut, tetapi jarang diterjemahkan secara konsisten dalam sistem bola sepak negara.

Secara seimbang, perlu diakui bahawa kegagalan NFDP sebelum ini bukan berpunca daripada individu semata-mata, sebaliknya akibat sistem yang terlalu kompleks, bertindih dan kadangkala dipengaruhi faktor bukan teknikal.

Dalam konteks ini, Kim Swee bukanlah ‘penyelamat segera’, tetapi arkitek yang perlu membina semula asas yang telah lama retak.

Tekanan awam untuk melihat hasil pantas berpotensi menjadi cabaran terbesar, kerana pembangunan akar umbi secara realistik memerlukan tempoh yang panjang.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail mengingatkan bahawa perubahan sistem tidak boleh dinilai secara tergesa-gesa.

“Apabila pengurusan baharu masuk, perubahan itu perkara biasa. Kalau tiada perubahan, orang akan persoal juga,” katanya.

Pandangan itu selari dengan realiti bahawa pembangunan bola sepak memerlukan keberanian membuat keputusan tidak popular demi manfaat jangka panjang.

Namun, keseimbangan juga perlu dijaga. Reformasi tanpa komunikasi berkesan boleh mencetuskan kekeliruan dan salah faham di peringkat pelaksana.

Di sinilah cabaran sebenar Kim Swee — bukan sahaja membina sistem, tetapi meyakinkan semua lapisan bahawa perubahan ini berasaskan keperluan, bukan kepentingan.


Kim Swee (kanan) pernah menabur bakti di Indonesia bersama kelab Persis Solo.

Andai diberi ruang, masa dan sokongan berterusan, NFDP berpotensi kembali menjadi tulang belakang sebenar bola sepak negara.

Jika tidak, sejarah lampau membuktikan bahawa pertukaran individu tanpa perubahan struktur hanya akan mengulangi kitaran kegagalan.

Kim Swee bukan nama asing dalam arena bola sepak negara kerana memiliki latar belakang yang kukuh dalam pembangunan sukan itu pada peringkat akar umbi, bermula sebagai jurulatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sebelum menjadi peneraju utama program Harimau Muda.

Beliau dikenali sebagai jurulatih yang membina pemain secara sistematik, terbukti dengan kejayaan meraih pingat emas Sukan SEA 2011, mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 serta layak ke peringkat kalah mati Sukan Asia 2018.

Selain pengalaman antarabangsa bersama kelab Persis Solo di Indonesia, Kim Swee juga pernah menggalas peranan penting dalam struktur FAM sebagai Ketua Unit Belia, Penolong Pengarah Teknikal dan Pengarah Teknikal, menjadikan beliau antara figura paling lengkap untuk memimpin NFDP pada saat paling kritikal ini. - KitaReporters


Kim Swee (depan, kanan) bersama para pemain meraikan kejayaan meraih pingat emas Sukan SEA 2011.

15
12
0
12
0
You will be interested