Skuad bola sepak negara enggan terganggu dengan isu penggantungan terhadap tujuh pemain warisan dan denda RM1.8 juta yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Skuad Harimau Malaya akan menentang Laos dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 pada Oktober 2025 ini. - Kredit foto: FB Malaysia NT.
Sebaliknya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend berkata, skuad mahu memberi fokus kepada persiapan dengan memastikan pasukan tampil lebih mantap dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos pada Oktober 2025 ini."Sebagai Harimau Malaya, fokus penuh kami adalah ke hadapan dengan menyediakan pasukan yang kuat untuk perlawanan kelayakan akan datang menentang Laos. "Kami mahu memastikan disiplin, profesionalisme dan prestasi di padang terus mencerminkan kebanggaan serta semangat negara," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin 29 September 2025.
Rob Friend.
FAM pada 25 September 2025 dan tujuh pemain membabitkan Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel telah dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FAM ketika ini dalam proses rayuan terhadap kes tersebut dan pengurusan pasukan kebangsaan memberi sokongan penuh ke atas urusan tersebut.
Justeru Friend turut menegaskan bahawa dia menghormati prosiding yang sedang berlangsung dan percaya keputusan adil serta telus akan dicapai.
"Detik ini menjadi penentu kepada bola sepak negara apabila seluruh keluarga Harimau Malaya kekal bersatu padu bersama pemain, jurulatih dan pegawai untuk melangkah ke depan dengan penuh tekad," katanya.
Pasukan negara komited dan mahu fokus untuk memperkukuhkan kekuatan skuad. - Kredit foto: FB Malaysia NT.
FIFA dalam kenyataannya memaklumkan, FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.Hasil siasatan, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).Setiap pemain pula dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta.Malaysia dan Laos akan bertemu dua kali dengan aksi pertama pada 9 Oktober 2025 di Stadium National Laos di Vientiane, sebelum berentap di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur lima hari kemudian. - KitaReporters
Tags: