JIKA anda pernah ke Lausanne, Switzerland pasti anda tahu tentang Olympic House -- ibu pejabat ikonik Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang terletak di pinggir Tasik Geneva. Mengambil inspirasi tersebut, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengorak langkah sama membina Rumah Olimpik (Olympic House) Malaysia yang dijangka menjadi simbol aspirasi sukan negara. - KitaReporters

Cadangan reka bentuk Rumah Olimpik yang akan dibina di Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC), Bukit Jalil.
JIKA anda pernah ke Lausanne, Switzerland pasti anda tahu tentang Olympic House -- ibu pejabat ikonik Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang terletak di pinggir Tasik Geneva.
Bangunan itu bukan sekadar pusat pentadbiran, malah turut menempatkan The Olympic Museum yang sarat dengan sejarah, semangat dan pencapaian Sukan Olimpik sejak zaman kuno sehingga kini.
Mengambil inspirasi tersebut, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengorak langkah sama membina Rumah Olimpik (Olympic House) Malaysia yang dijangka menjadi simbol aspirasi sukan negara.
Terletak di lokasi strategi di Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC), Bukit Jalil yang sudah sinonim dan merakam pelbagai momen bersejarah sukan tanah air.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis 7 Ogos 2025 merasmikan majlis pecah tanah projek itu, sekali gus menandakan permulaan kepada mercu tanda baharu sukan Malaysia.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan projek berkenaan sebagai satu lonjakan masa depan -- bukan sekadar pejabat, tetapi pusat interaktif dan inspiratif buat rakyat.
“Jika anda ke Lausanne, anda akan nampak bagaimana IOC bangunkan bangunan dan muzium yang benar-benar memberi inspirasi. Kita mahu wujudkan sesuatu seperti itu di sini,” katanya.

Rumah Olimpik akan dibina di atas tanah seluas 2.1 hektar dengan keluasan lantai kasar 140,973 kaki persegi.
Ia bukan sekadar tempat mesyuarat atau fail disusun -- tetapi bakal dilengkapi dengan auditorium, pusat sumber, muzium, galeri interaktif, gimnasium, kafe, surau dan pelbagai lagi fasiliti mesra pengunjung.
Malah ia juga menjadi visi baharu 58 persatuan sukan kebangsaan dengan ruang terbuka untuk pengunjung menikmati dan belajar tentang dunia sukan.
The Olympic Museum di Lausanne menerima lebih 250,000 pelawat setiap tahun dan ia menjadi lokasi wajib dikunjungi bukan saja pelancong, tetapi peminat sukan serta pelajar.
Muzium tersebut terbahagi kepada tiga zon utama: sejarah Olimpik, semangat Olimpik dan teknologi serta nilai sukan -- lengkap dengan aktiviti interaktif.
Antara tarikan utama ialah kasut larian Jesse Owens, pingat-pingat Olimpik, raket legenda, bendera pertama Olimpik dan banyak lagi yang menggamit emosi.
Sejarah pergerakan Olimpik di Malaysia juga tidak kurang hebat apabila ia digarap dengan baik di sebuah muzium di Wisma OCM, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur.
Venue berkenaan menyimpan token penghormatan kepada tokoh-tokoh dan atlet yang telah memberi sumbangan besar kepada sukan Malaysia.
Antara yang tersenarai di Hall of Fame termasuk tokoh kenamaan seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tan Sri Hamzah Abu Samah dan Tan Sri Khaw Kai Boh.
Muzium berkenaan juga menyimpan artifak sejak penyertaan awal Malaysia dalam temasya antarabangsa, termasuk obor Sukan SEA, pingat, kostum dan foto-foto bersejarah.
Namun, ruangnya agak terhad dan kurang interaktif -- menjadi isyarat keperluan pembinaan bangunan baharu seperti Olympic House.
“Kita tidak boleh terperangkap dalam nostalgia masa lalu. Kalau nak tarik minat generasi muda, pendekatan kita pun kena moden dan segar,” ujar Mohamad Norza.

Mohamad Norza Zakaria ditemu bual media mengenai Olympic House. - Kredit foto: FB Shekinah PR.
Projek Rumah Olimpik itu bukan setakat untuk pentadbiran, tetapi menjadi platform pendidikan dan inspirasi -- seiring dengan nilai Olimpisme seperti kecemerlangan, hormat dan nilai persahabatan.
Dari segi teknikal, projek ini digerakkan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, serta pemaju utama, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).
Proses kelulusan reka bentuk dan Development Order (DO) yang biasanya mengambil masa enam bulan mungkin dapat dipercepat hasil sokongan pelbagai pihak.
Malah Mohamad Norza menjangkakan pembinaan akan siap antara 24 hingga 36 bulan, dengan pemantauan rapi oleh jawatankuasa khas yang diketuai Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nasir Ali dan Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Gerard Monteiro.
Malah menurut beliau, Perdana Menteri sendiri menekankan keperluan projek ini disiapkan lebih cepat daripada jadual -- satu sokongan politik yang sangat penting.

Anwar (tiga kanan) merakam gambar kenangan bersama foto Olympic House. Kredit foto: FB Hannah Yeoh.
Rumah Olimpik itu dibina bukan untuk MOM semata-mata, tetapi untuk rakyat -- terutama generasi muda, pelajar dan peminat sukan yang mahu memahami dan menghayati sejarah serta nilai sukan.
Bayangkan apabila siap kelak, pelajar sekolah mengunjungi galeri interaktif di Olympic House dan belajar mengenai Datuk Nicol David, Datuk Lee Chong Wei atau Datuk Mohd Azizulhasni Awang -- bukan sekadar dari buku, tetapi melalui pengalaman visual dan teknologi imersif.
Rumah Olimpik juga boleh jadi lokasi pelancongan sukan -- meletakkan Malaysia di peta antarabangsa seperti mana Lausanne hari ini.
Menerusi rekaan seni bina yang moden dan inklusif, bangunan ini bakal menjadi wajah baharu Bukit Jalil -- bukan hanya sebagai kawasan sukan, tetapi juga ruang komuniti dan pembelajaran.
Siapa sangka, dari bangunan lama di Jalan Hang Jebat -- yang menyimpan warisan sejak zaman Tan Sri Hamzah Abu Samah -- kini MOM mencorak masa depan dengan langkah besar.
Rumah Olimpik di Bukit Jalil menjadi kesinambungan sejarah itu, dibentuk dengan acuan Lausanne dan disuntik dengan identiti unik Malaysia.
Ia bukan hanya bangunan konkrit, tetapi rumah impian dan simbol harapan bahawa sukan mampu menyatukan, mendidik dan memacu negara di peta dunia. - KitaReporters