
Sadio Mane dijulang oleh rakan sepasukan setelah memimpin Senegal muncul juara AFCON setelah menewaskan Maghribi 1-0 dalam aksi final.
Namun kemenangan pada Ahad, 18 Januari 2026 itu bukan hadir dengan mudah, ia disulami dengan adegan kontroversi, emosi dan detik yang memaparkan kepimpinan luar biasa Sadio Mane.
Detik paling panas berlaku ketika Maghribi diberikan sepakan penalti pada minit akhir masa sebenar.
Video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan Brahim Diaz dijatuhkan oleh El Hadji Malick Diouf ketika mempertahan sepakan sudut.
Keputusan itu mencetuskan kekecohan. Pegawai dan pemain Senegal berang, sebelum jurulatih Pape Bouna Thiaw mengarahkan pasukan meninggalkan padang sebagai protes.
Ketika semua orang keluar, Mane tetap berdiri di tengah padang tenang dan fokus. Kapten Senegal itu memilih untuk tidak membiarkan pasukannya dikenang sebagai pengecut.

Tokoh veteran bola sepak Afrika yang juga bekas jurulatih Malaysia, Claude Le Roy mendedahkan perbualan dengan Mane pada detik kritikal itu.
“Mane tanya saya: ‘Apa yang akan anda buat kalau berada di tempat saya?’ Saya jawab: Teruskan. Perlawanan tidak pernah ditentukan sehingga wisel penamat,” kata Le Roy.
Nasihat itu menjadi titik perubahan. Mane memujuk rakan-rakannya untuk kembali ke padang dan Senegal bersedia untuk menamatkan perlawanan dengan maruah.
Penalti Maghribi diambil oleh Brahim Daaz dengan gaya Panenka, namun sepakan lemahnya mudah ditangkap penjaga gol Edouard Mendy.
Kegagalan itu memberi nafas baru kepada Senegal yang mempunyai peluang untuk menukar nasib perlawanan.
Senegal terus menekan dalam masa tambahan dan ia membuahkan hasil apabila Pape Gueye menjaringkan gol pada minit ke-94.
Gol itu memaksa Maghribi menerima kekalahan pertama mereka selepas 27 perlawanan tanpa tewas di pentas antarabangsa.

Senegal mengangkat trofi AFCON untuk kali kedua dalam tiga edisi terakhir.
Namun kisah final ini bukan sekadar tentang gol atau kemenangan. Ia mengenai kepimpinan, mentaliti juara dan aura seorang pemain luar biasa.
Mane bukan hanya kapten pasukan. Dia simbol semangat tidak berputus asa dan pemain yang mampu memimpin dengan tauladan.
Kisah Mane bermula jauh lebih awal. Dari sebuah kampung kecil di Senegal, dia meninggalkan negara untuk mencuba nasib di Perancis.
Ibunya tidak tahu dia sudah di Eropah sehingga melihatnya bermain menerusi televisyen.
Di Perancis, Mane mula bermain bersama Metz, membina karier secara perlahan, sebelum berhijrah ke England untuk menyertai Southampton dan kemudian Liverpool.
Ketika bersama Liverpool, Mane membantu pasukan itu menjuarai Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara dan beberapa trofi penting lain.
Kini, Mane beraksi bersama Al Nassr di Arab Saudi, bermain bersama bintang sensasi, Cristiano Ronaldo.

Walaupun berjaya di Eropah dan Arab Saudi, Mane kekal dengan sikap rendah diri.
Di luar padang, dia membantu masyarakat Senegal -- membina masjid, sekolah, stadium, bekalan air serta hospital dan semua ini dilakukan tanpa publisiti.
Kisahnya meninggalkan Senegal tanpa memberitahu ibu menjadi simbol pengorbanan dan dedikasi untuk mengejar impian.
Ia membentuk seorang pemain yang tidak mudah panik dan sudah biasa kalah, namun tetap fokus dalam tekanan maksimum.
Dalam perlawanan akhir tersebut, aura Mane jelas kelihatan, dia kekal tenang ketika semua orang ingin menyerah.
Senegal berdepan tekanan hebat dan 'maha' berat daripada 66,526 penonton tuan rumah.
Namun ia tidak menghalang mereka untuk bermain secara terbuka, menekan dan memanfaatkan ruang yang lawan tinggalkan.
Gol Senegal pada masa tambahan lahir daripada kombinasi tekanan berterusan, kesabaran dan ketepatan.
Mane menjadi contoh sempurna bagaimana kepimpinan di padang boleh menukar nasib perlawanan.

Senegal juara bukan kerana nasib. Bukan kerana kontroversi pengadil. Bukan kerana penalti gagal.
Mereka juara kerana bermain dengan hati, semangat dan arahan seorang kapten yang tahu bila untuk berdiri dan bila untuk membimbing.
Final AFCON 2025 akan diingati bukan sekadar gol atau trofi, tetapi detik seorang lelaki bernama Sadio Mane menghidupkan semula semangat pasukannya ketika semua orang hampir menyerah. - KitaReporters
