Seni & Sukan 12 Aug, 2023

Jom kita berzikir sambil berhibur sempena Hari Malaysia di Zepp KL! Berpeluang menangi pakej umrah!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this

Dr. Fitri Haris (kanan) memberitahu semua pembeli tiket Konsert Mega Zikir Terapi mempunyai peluang memenangi pakej umrah bernilai RM7,7990.


Apakah sudah lama anda menyimpan impian ingin menunaikan umrah tetapi belum kesampaian disebabkan bajet tidak mengizinkan? Jika itulah hasrat murni yang terpendam di dalam hati mana tahu barangkali dengan izin Allah SWT anda berpeluang ke Tanah Suci tanpa bayaran.

Bagaimana caranya?

Apa kata anda berkunjung ke Zepp Kuala Lumpur dan menonton Konsert Mega Zikir Terapi pada 16 September 2023 ini waima jika bertuah, tiket yang dalam genggaman mampu membawa anda memenangi pakej Umrah Ekonomi bernilai RM7,990 tajaan Legasi Travel &Tours.




Pendek kata, sambil berhibur dengan seramai 19 artis dan berzikir mana tahu tuah berpihak kepada anda antara kira-kira lebih kurang 900 pembeli tiket pada malam tersebut.

Ada empat kategori disediakan iaitu pada zon Platinum berharga RM171.40; Gold (RM140.20); Silver (RM109) dan di tempat duduk Bronze (berharga RM77.80).

Manakala harga tiket tempat duduk di dek aras atas hanya untuk dua zon sahaja iaitu Gold (RM140.20) dan Silver (RM109).



Dr. Fitri bersama Ajwad Mohd Shafie mewakili Cinta Gaza Malaysia (CGM) selepas upacara menandatangani kontrak kerjasama sambil disaksikan wakil dari MyCreative Ventures, Najwa (kiri) dan Peguam Kanan dari Tetuan Harrison Raz & Kal, Ummi.


“Semua pembeli dalam semua kategori layak memenangi satu-satunya hadiah pakej umrah yang akan dicabut pada malam konsert,” ujar Dr. Fitri Haris selaku pengarah konsert yang juga pensyarah kanan di Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan UUM, ketika ditemui pada sidang media Konsert Mega Zikir Terapi yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur pada 10 Ogos 2023 serta majlis menandatangani kontrak kerjasama bersama Cinta Gaza Malaysia. 

Turut hadir Pengarah Susunan Seni Suara, Hafiz Hamidun serta beberapa barisan artis undangan antaranya Kumpulan Chaan, Leman Band, Zehra Zambri dan Afad Raihan, Fedtri Yahya yang turut bertindak sebagai pengacara majlis dan pihak penaja.

Selain itu, artis-artis lain yang terbabit antaranya termasuk Lan Solo, Ustaz Tarmizi, Fakhrul Radhi dan ramai lagi. 


Bergambar bersama para penaja yang hadir, antaranya wakil FR Qaseh Marketing Sdn Bhd yang mengeluarkan produk "Kasih Skincare Beauty' (sebelah kiri) dan wakil Cinta Gaza Malaysia. - Kredit foto: FAS.


Nama barisan artis yang akan membuat persembahan pada konsert nanti.



Berkonsepkan hiburan dan spiritual, konsert anjuran Niyat dengan sokongan Geran Dana Kandungan Digital (DKD) oleh MyCreative Ventures dan Kementerian Konmiunikasi Digital (KKD) turut mendapat tajaan utama dari Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri (gambar atas), yang merupakan rakyat Malaysia yang tinggal di  Gaza, Palestin dan turut berucap melalui layar video menyatakan sokongannya terhadap konsert dan semoga ia berjalan lancar. 

Sehubungan itu juga, Dr. Fitri memberitahu, pada malam konsert sebuah tabung Cinta Gaza Malaysia disediakan jika ada yang sudi beramal membuat sumbangan ikhlas.

“Selain itu kita juga sediakan QR code jika ada yang mahu memberikan sumbangan secara online,” tambah Dr. Fitri sambil memaklumkan malam konsert akan berlangsung selama lebih kurang dua jam dengan gabungan elemen-eleman tradisional, moden dan fusion dimainkan secara ‘live’ oleh kumpulan Chaan dan Leman Band.

Menurutnya, 16 September adalah Hari Malaysia, dan inilah cara pihaknya meraikan hari bersejarah itu dengan muzik dan zikir. 


Dr. Fitri bersama Hafiz Hamidun (kiri).


"Kelebihan alunan zikir ini satu terapi yang mempunyai kaitan dengan psikoterapi di mana penonton akan dibawa ke satu  dimensi dan menikmati satu  pengalaman luar biasa. Saya berharap konsert ini dapat memberi impak dan mencipta momen ketenangan yang menyentuh serta membangkitkan jiwa rakyat Malaysia,” tambah Dr. Fitri

Beliau berharap sebagai satu-satu konsert yang memberi kelainan serta julung kalinya sebuah konsert zikir terapi dianjurkan dalam skala besar, sokongan padu orang ramai dapat bersama-sama meniupkan semangat cintakan agama, bangsa dan negara.

‘Walaupun zikir kebiasaannya dianggap suatu bahan amalan yang berat untuk dipentaskan, penonton disarankan untuk hadir bagi merasai dan menjadi saksi bahawa penggabungan bunyi dan mesej, jika dibawa dengan unik dan indah akan dapat memberi pengalaman yang luar biasa buat mereka,” akhiri Dr. Fitri.

Ditanya  kenapa  Shiha Zikir tidak ada bersama waima sesuailah namanya dengan konsert zikir, jawab Dr. Fitri, "Memang saya ada menjemputnya tetapi malangnya beliau ada komitmen lain dan tidak dapat hadir pada malam tersebut.

Tidak mengapalah kita ramai-ramai berzikir tanpa Shiha Zikir ya...Lan Solo kan ada ya tak?

Jualan tiket yang sudah bermula boleh didapati menerusi laman sesawang https://www.ticket2u.com.my. - KitaReporters


17
8
0
7
0
You will be interested