Seni & Sukan 14 Oct, 2022

Video| Pertama kali berganding dengan dua anak! Konsert Gemilang Jamal Abdillah! Bantu pelajar UTM!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this


SEBELUM melangkah ke tahun baharu 2023 di mana penyanyi legenda, Dato Jamal Abdillah diberi penghormatan sekali lagi sebagai artis Melayu pertama mengadakan konsert solo  ‘Aku Jamal… Perjalananku,’  di Dewan  Esplanade, Singapura pada 1 Januari 2023, Raja Pop ini terlebih dahulu akan menutup tirai 2022 dengan sebuah konsert bertujuan amal di Kuala Lumpur.

Bakal berlangsung pada 9 Disember 2022 di Grand Banquet Hall, Residensi UTMKL, pelantun lagu ‘Sepi Seorang Perindu’ ini tidak akan menyepi tetapi akan menghiburkan orang ramai terutamanya komuniti sekitar UTM dalam konsert yang dinamakan ‘Konsert Gemilang Dato’ Jamal Abdilllah’.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penyanyi legenda Jamal Abdillah

Jamal  Abdillah bersama Ahmad Kamil Khusairi selepas menandatangani perjanjian kolaborasi bersama.


Anjuran UTM Holdings Sdn. Bhd. dan UTM Hotel & Residence, konsert berkenaan diadakan sempena program mempromosikan Residensi UTMKL sebagai ruang acara pelbagai guna dan mengumpul dana melalui Endowmen UTM untuk pelajar yang kurang berkemampuan di Universiti Teknologi Malaysia itu.

Lebih menarik, persembahan Jamal akan turut disertai buat pertama kalinya dua anak lelakinya, Osama Yamani dan Zaki Yamani manakala Jamal dijangka menghiburkan hadirin dengan lagu-lagu popularnya seperti antaranya ‘Gadis Melayu’, ‘Seroja’ dan ‘Kekasih Awal & Akhir’.



“Saya bersyukur diberi peluang membantu pelajar-pelajar yang memerlukan dari keluarga B40 semoga mereka akan terus cemerlang,” ujar Jamal Abdillah pada majlis sidang media Konsert Gemilang Dato Jamal Abdillah yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif UTM Holdings, Ahmad Kamil Khusairi pada Rabu, 12 Oktober 2022.

Beliau turut bersyukur dapat buat persembahan bersama kedua-dua anaknya sambil berharap mampu memberikan persembahan terbaik selama dua jam yang akan dikenang semua.

Bagi yang mahu menonton anak beranak ni berkolaborasi buat kali pertamanya bolehlah cepat-cepat menempah tiket pada  pilihan harga yang ditetapkan iaitu bermula dari RM150 hingga RM350 bagi setiap tempat duduk,

“Konsert ini juga bertujuan untuk mengumpul dana bagi Program CSR kami bagi tahun 2022 dengan memperuntukkan 5% daripada jualan tiket yang akan disumbangkan kepada pelajar UTM,” sambung Ahmad Kushairi.



Sehubungan itu, beliau menyeru agar kumpulan korporat, NGO serta individu-individu yang berminat beramal sambil berhibur dengan Raja Pop membuat tempahan awal agar dapat bersama memeriahkan konsert.

Dalam pada itu, bagi mereka yang mahukan acara yang lebih intim boleh menyertai Buffet Supper eksklusif (makan lewat malam) selepas konsert di The Saga @ Sixth Restaurant bersama Jamal Abdillah dengan harga istimewa hanya RM50++ malah pemegang tiket juga layak mendapat kadar istimewa untuk penginapan hanya RM140++ termasuk sarapan pagi.

Program makan lewat malam itu menampilkan hidangan tempatan dan antarabangsa malah The Sage @ Sixth adalah tempat yang sesuai untuk anda membawa keluarga dan pelanggan  menjamu selera dalam suasana yang selesa dan mengujakan.

Jika anda mahu makan bersama Jamal, eloklah booking awal ya kerana tempat hanya terhad buat 100 penonton sahaja. Siapa cepat dia dapat gitu! - KitaReporters


14
13
0
12
0
You will be interested