Adibah Amin adalah penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) pada tahun 1983.
PERSATUAN Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) mencalonkan Khalidah Adibah Amin (Adibah Amin) sebagai penerima anugerah Tokoh Wartawan Negara sebagai mengenang jasa dan sumbangan yang luas biasa beliau kepada perkembangan dunia media di negara ini.
Presiden PERTAMA Sariha Mohd Ali berkata pihaknya sudah mengemukakan nama penulis tersohor itu kepada Institut Akhbar Malaysia (MPI) untuk dipertimbang sebagai penerima.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-52 PERTAMA dan majlis sambutan Aidilfitri, di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL) yang dihadiri lebih 40 orang media termasuk wartawan yang sudah bersara dan masih berkhidmat pada 5 Mei 2024.
Adibah Amin yang dilahirkan pada 19 Februari 1936 ialah seorang pendidik, ahli bahasa, wartawan, penulis bahasa Melayu serta bahasa Inggeris, dan pernah berlakon dalam filem Adik Manja sebagai Cikgu Bedah. Filem menceritakan kisah pelajar sekolah swasta yang dikawal disiplin yang akhirnya terkantoi apabila salah seorang pelajar dihamilkan oleh anak pengetua sekolah berkenaan.
Wikipedia mencatatkan Adibah menggelarkan dirinya Seri Delima yang merupakan nama penanya. Karya-karyanya termasuk tiga buah novel dalam bahasa Melayu (Bangsawan Tulen, Seroja Masih Di Kolam, Tempat Jatuh Lagi Dikenang) bersama-sama dengan lebih kurang 200 drama radio ("Hanya 10 adalah baik", beliau berkata dengan rendah hati kepada majalah Asiaweek), dan sebilangan cerpen.
Dalam bahasa Inggeris, beliau pernah menulis untuk akhbar The Star, tetapi paling diingati adalah ruangannya "As I Was Passing" yang ditulis semasa beliau bertugas dengan akhbar New Straits Times. Pada November 2006, Adibah melahirkan novel pertamanya di dalam Bahasa Inggeris, "This End of The Rainbow" yang memaparkan kehidupan beberapa orang mahasiswa sekitar tahun 50an.
Novelnya "Seroja Masih di Kolam" telah diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun dengan judul "Surojya No Hana Wa Mada Ike Ni (1986)."
Adibah juga turut menterjemahkan beberapa karya sastera penulis Malaysia termasuklah No Harvest But A Thorn tulisan Sasterawan Negara Malaysia, Shahnon Ahmad (judul asal Ranjau Sepanjang Jalan) dan Jungle of Hope tulisan Sasterawan Negara Malaysia, Keris Mas judul asalnya, Rimba Harapan).
Sehingga tahun 2006, Adibah tetap giat menulis terutamanya artikel-artikel pendidikan dalam surat khabar (The Star).
Beliau adalah anak kepada tokoh pejuang negara, Tan Sri Zainon Sulaiman atau lebih dikenali sebagai "Ibu Zain" yang merupakan seorang pejuang kemerdekaan daripada penjajah British bersama-sama Tunku Abdul Rahman dalam UMNO, dan tidak mahu ahli-ahli keluarganya hanya bertutur dalam bahasa Inggeris.
Ibunya biasa bertutur dalam bahasa Melayu dengan anak-anaknya, dan mereka dapat pendidikan awal di sekolah Melayu.
Sariha berharap MPI akan memberi perhatian kepada penamaan itu kerana nama Adibah adalah lambang kegigihan dan kemegahan wanita yang menyumbang dalam pembangunan media di Malaysia dan peringkat antarabangsa.
Ahli Jawatkuasa PERTAMA 2024-2026. Presidennnya Sariha Mohd Ali barisan duduk di tengah
Sementara itu, mesyuarat agung PERTAMA kali ini turut mengekalkan Sariha, yang juga Pengarang Berita di Berita Harian (BH), sebagai Presiden untuk penggal kelima dalam keputusan sebulat suara pemilihan kerana ramai mahukan beliau menghabiskan program yang telah diatur.
Timbalan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) (Perkhidmatan Berita), Nasriah Darus pula kekal sebagai Timbalan Presiden, manakala Ketua Penyunting Meja Penyuntingan Bahasa Inggeris Bernama, Nor Hasliza Abdullah juga kekal sebagai Setiausaha.
Pegawai Berita di Bahagian Perancangan Strategik Bernama, Wan Nor Azura Mior Abdul Aziz pula dilantik sebagai Penolong Setiausaha, manakala Editor Eksekutif Bernama, M Saraswathi, dilantik sebagai Bendahari.
Kali ini, PERTAMA juga mendapat dua penasihat iaitu Datuk Jamelah Abu Bakar dan Datin Rohani Mustaffa.
Datuk Jamelah Abu Bakar (tengah) dilantk menjadi Penasihat I PERTAMA
Sariha menyertai PERTAMA sebagai ahli biasa dan ketika hampir dibatalkan pendaftaran, dia diminta membantu memulihkan pertubuhan itu dan sehingga kini PERTAMA sudah menunjukkan kemajuan yang sangat hebat dengan banyak program sudah dilaksanakan serta menjadi pertubuhan yang mendapat perhatian kerajaan.
"Cuma ada masalah timbul untuk lawatan ziarah rakan-rakan media terutama di Indonesia kerana bertembung dengan pemilihan presiden negara itu.
"Suka kami ingin memberitahu, PERTAMA juga menjadi tarikan utama kepada kerajaan ketika meraikan acara media termasuk Hari Wartawan Nasional (HAWANA) kerana kita hantar peserta yang ramai," katanya.
Beliau turut berharap wartawan wanita yang masih muda dapat menyertai PERTAMA sebagai pelapis muda kerana sebahagian besar agensi berita diisi oleh wanita, ramai lulusan universiti dalam bidang media. - KitaReporters
Sariha menjawap pertanyaan ahli-ahli. Beliau berkata ada program yang tidak dapat dilaksanakan berikutan timbul isu kesuntukan masa dan kekangan tugasan. Insya-Allah, semua pandangan ahli diambil kira.
Barisan kepimpinan dan AJK PERTAMA bagi bagi penggal 2024-2026.
Presiden - Sariha Mohd Ali
Timbalan Presiden - Nasriah Darus
Setiausaha - Nor Hasliza Abdullah
Penolong Setiausaha - Wan Nor Azura Mior Abdul Aziz
Bendahari - M. Saraswathi
Penolong Bendahari - Nurul Hanis Izmir
Ahli-ahli Jawatankuasa biasa :
Norhafzan Jaafar
Hafizah Kamaruddin
Kartini Mohd Noor
Adlina Abdul Wahab
Jumiati Rosly
Minarni Mat Saad
Rosemarie Khoo Mohd Sani
Pemeriksa Kira-kira 1 - Siti Hawa Othman
Pemeriksa Kira-kira 2 - Syarifah Pirdaus Syed Ali
Penasihat 1 - Dato' Jamelah A Bakar
Penasihat 2 - Datin Rohana Mustaffa