Seni & Sukan 20 Apr, 2025

Terlalu awal nak komen Dasar Sukan Mesra Islam! Jumpa atlet mogok! Pembangunan bola sepak! - KP MSN

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

JEFRI Ngadirin dalam sidang media pertamanya sebagai Ketua Pengarah MSN di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Kredit foto: MSN


DASAR Sukan Mesra Islam yang cuba diperkenal pada Sukan Malaysia (Sukma) Kelantan 2028 masih dianggap terlalu awal untuk diulas, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin.

“Sekarang kami fokus Sukma Selangor 2026 dulu. Ada banyak masa lagi, tiga tahun (ke Sukma Kelantan 2028),” katanya dalam sidang media pertamanya sejak menyandang jawatan itu pada 4 April 2025 lalu, menggantikan Abdul Rashid Yaakub yang tamat kontraknya.

“Biarkan proses (kajian dan siri meja bulat dasar berkenaan menerusi inisiatif Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan - NGO dan Perpaduan Masyarakat kerajaan negeri Kelantan).

“Terlalu awal lagi. Tuan rumah boleh perkenal macam-macam, terpulang kepadanya, itu proses dalaman yang biasa,” katanya di Stadium Nasional, Bukit Jalil tanpa mengulas mengapa MSN tidak turut cuba dirujuk dan dirunding jawatankuasa itu terlebih dulu dalam siri meja bulat tersebut.  

Dasar yang berlandaskan syariah Islam dengan menekankan elemen-elemen pakaian, kemudahan sukan buat jantina berbeza, waktu solat, penyediaan makanan dan penajaan halal diumumkan Ketua Penyelidiknya dari Jabatan Perubatan Sukan Universiti Malaya, Prof. Abdul Halim Mokhtar di Kota Bharu, Kelantan pada 17 April 2025.

Pakaian atlet-atlet Sukma 2028 khususnya yang dijangka menjadi perhatian pengenalan Dasar Sukan Mesra Islam ini ialah bagi sukan renang, terjun, gimnastik dan berbasikal.


ABDUL Halim Mokhtar (tengah) dalam Persidangan Meja Bulat Siri Kedua Dasar Sukan Mesra Islam Kelantan di Kota Bharu pada 17 April 2025. - Kredit foto: MBK


Jefri selain itu mahu mengadakan perjumpaan dengan Olahraga Malaysia (MA) dan kumpulan atlet pecut negara pada minggu depan yang dikatakan melancarkan mogok sesi latihan sebagai membantah tindak-tanduk Pengarah Teknikal MA, Robert Ballard.

“Isunya berlaku selepas MSN berbincang dengan Presiden MA, Datuk Seri Shahidan Kassim (10 April 2025 lalu) di mana kami setuju melantik enam jurulatih yang meliputi disiplin larian, lompat dan lempar.

“Kebajikan atlet perlu dijaga, saya akan bincang dengan kumpulan atlet dan MA bagaimana dapat selesaikan masalah ini dalam masa terdekat, mungkin minggu depan tanpa menjejaskan keputusan sebelum ini,” katanya.

Demi berlaku adil kepada semua, MSN katanya perlu mendapatkan maklumat lebih jelas mengenai kenapa mogok itu dilakukan dan dakwaan cara pengendalian Ballard tidak dapat diterima, dengan duduk semeja dan dibincangkan secara terbuka sesama mereka.  

“Kita harap dapat selesaikan segera. Saya juga belum dapat jumlah atlet pecut yang mogok, hanya berdasarkan pembacaan (dalam media) dan laporan pengurus sukan,” katanya lagi.


KHAIRUL Hafiz Jantan (151), Manusia Terpantas Asia Tenggara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, melancarkan mogok latihan kendalian Robert Ballard bersama kumpulan pelari pecut negara. - Kredit foto: MSN 


Laporan media 17 April 2025 menyebut antara mereka ialah Khairul Hafiz Jantan, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Nur Afrina Batrisya Mohamad Rizal yang turut meninggalkan kem olahraga negara untuk kembali berlatih dengan jurulatih yang 'dibuang' MA, Poad Kassim.

Namun kata Jefri, kontrak Ballard dengan MA yang bakal berakhir Jun atau Julai 2025 ini turut boleh dikaji semula MSN yang membiayai khidmatnya berdasarkan indeks prestasi utama (KPI) tertentu yang telah ditetapkan.

“Apabila kontraknya mahu disambung, MA akan datang balik berunding dengan MSN dan kami bincang untuk tengok apakah tindakan seterusnya. Ini proses biasa dengan sukan-sukan lain yang pernah dibuat macam (akuatik) terjun,” katanya.


JEFRI Ngadirin (kiri) mengulas isu mogok latihan oleh tiga atlet pecut negara kerana membantah cara pengendalian Robert Ballard dalam sidang media di Bukit Jalil pada 18 April 2025. - Kredit foto: MSN


Mengenai Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBSN) yang bakal dirombak katanya, “kami akan bincang dengan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dalam perjumpaan dengan kepemimpinannya, 28 April 2025 ini.

“Kami telah dapat laporan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) pada Januari 2025 dan langkah seterusnya yang akan dibincang ialah berdasarkan laporan itu.

“Kami cuba buat penilaian dan tengok bagaimana boleh perbaikinya dan harapkan peningkatan. Tidak boleh selama-lamanya dengan perkara yang sama. Prosesnya yang tamat dua bulan setengah (juga dibuat) pada Program Pembangunan Ragbi, Hoki dan Bola Jaring Negara,” katanya. - KitaReporters


SESI dialog atau townhall dengan wakil-wakil persatuan sukan kebangsaan (PSK) dijalankan Jefri Ngadirin (kanan) pada 17 dan 18 April 2025. - Kredit foto: MSN


TURUT diadakan sesi dialog oleh Jefri Ngadirin membabitkan wakil-wakil persatuan sukan para kebangsaan naungan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM). - Kredit foto: MSN 

14
17
0
8
0
You will be interested