Seni & Sukan 08 Jul, 2025

Dah kenapa? Thailand gentar akan Malaysia? Gugurkan regu, beregu! King's Cup 2025 tanpa Blok Eropah!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

FARIQ Halim (kanan) bersama-sama Boonchai Lorhpipat dan Thana Chaiprasit (tiga dan empat dari kanan) yang menayangkan Piala Raja Thailand rebutan acara kemuncak regu berpasukan Divisyen Perdana Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand 2025. - Kredit foto: TAT


TIADA acara regu mahupun beregu bagi mengisi saingan Divisyen Perdana Kejohanan Sepak Takraw Dunia Istaf Piala Raja Thailand (King's Cup) Ke-38 di sebuah pusat beli-belah di Hatyai, Songkhla pada 22 hingga 27 Julai 2025 ini.

Ketiadaannya pasti menimbulkan misteri dan menghampakan skuad negara yang menjuarai regu dan beregu Piala Dunia Istaf 2024 malah mengulanginya dalam regu Piala Asia Astaf 2025, kedua-duanya di Kuala Lumpur.

Tercetus juga penasaran apakah Si Gajah Putih mulai bimbang dan gentar akan kehebatan Rimau Rejam yang menewaskannya 15-12, 15-9 dalam final regu Piala Asia Astaf di Stadium Titiwangsa tanggal 15 Mei 2025 lalu.

Malah gandingan Noraizat Nordin/Aidil Aiman Azwawi hampir menumbangkan Thailand lagi sebelum terpaksa akur 15-7, 10-15, 12-15 dalam penentuan gelaran beregu kejohanan sama, tiga hari sebelumnya.

Acara regu King’s Cup 2024 di Korat dijuarai Malaysia. namun tanpa musuh tradisi itu yang hanya menewaskan China, India, Singapura dan Brunei secara liga sepusingan.

Hanya Divisyen Satu yang disertai negara-negara kurang handal seperti Taiwan, Australia, Bangladesh, Iraq, Sri Lanka, Nepal, Perancis dan Pakistan yang mempertanding regu.

Walau bagaimanapun regu berpasukan - acara kemuncak dan tertua bagi merebut trofi yang dipertanding sejak 1984 itu tetap kembali seperti tradisinya dengan disaingi 10 negara dalam Divisyen Perdana.



CARTA keputusan majlis undian Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand Ke-38, 2025 khususnya yang membabitkan Malaysia. - Kredit foto: We Are Sepaktakraw


Tuan rumah yang juga juara bertahan setelah menewaskan Malaysia 2-0 (4-15, 15-3, 15-11), (15-13, 15-9) dalam edisi ke-37 tanggal 8 September 2024, diundi dalam Kumpulan A dengan Brunei, Vietnam, India dan Singapura.

Malaysia yang pernah merampas King’s Cup pada 1985 dan 1988 di Bangkok pula mengetuai Kumpulan B untuk ditentang Jepun, Laos, Myanmar dan Korea Selatan namun tiada kali ini ialah Indonesia, antara lima negara handalan dunia.

Majlis undiannya pada 7 Julai 2025 di venue King’s Cup turut dihadiri Pemangku Presiden Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Boonchai Lorhpipat dan Timbalan Presiden, Fariq Halim serta Presiden Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT), Thana Chaiprasit.

Perhitungan 'Buku dan Ruas' pula bakal dapat disaksikan dalam acara kuadran lelaki yang menempatkan Thailand, Malaysia, Myanmar dan Korea Selatan dalam Kumpulan A.

Merekalah empat handalan dunia di samping Singapura namun hanya dua teratas 'Kumpulan Maut' ini akan ke separuh akhir untuk berdepan juara dan naib juara Kumpulan B yang dijangka milik Vietnam dan India.

Juga difahamkan King’s Cup kali ini tidak dapat disertai dua lagi kuasa sepak takraw, Indonesia dan Filipina serta Iran selain sebilangan besar negara Eropah, Brazil dan Amerika Syarikat atas sebab keselamatan ruang udara ekoran Perang Iran-Israel yang masih berlanjutan.


BARISAN pemain Malaysia pada Piala Asia Astaf 2025 yang bakal mengalami rombakan kecil ke King's Cup. - Kredit foto: ST


Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan pada 29 Jun 2025 lalu, menyatakan ada rombakan kecil skuad negara ke King’s Cup yang agak berbeza dengan barisan naib juara berpasukan Piala Asia Astaf.

Senarai 12 pemain terbaik itu katanya, perlu dinilai dan disaring sehingga Grand Prix 3 Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Titiwangsa dari 9 hingga 13 Julai 2025, sekalipun senarai awal yang lebih ramai sudah pun dihantar kepada TAT, penganjur King’s Cup dengan sokongan Istaf.


AKSI perlawanan akhir regu berpasukan King's Cup 2024 yang dijuarai Thailand setelah menewaskan Malaysia (jersi biru) di Korat. - Kredit foto: ST

13
8
0
5
0
You will be interested