Seni & Sukan 20 Jun, 2025

Arif dah terlalu senior? Nafuzi utamakan Ubai, Haqimi buat B-23! Bagaimana Harith, Nooa, Fergus?

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

ARIF Aiman Hanapi (12) tidak pernah sekalipun menikmati saingan B-23 dalam Sukan SEA atau Kejohanan B-23 AFF dan Piala Asia B-23. - Kredit foto: FAM


TIDAK mungkin Arif Aiman Hanapi tersenarai untuk skuad Bawah 23 Tahun dalam persediaan menghadapi Kejohanan B-23 ASEAN, Kelayakan Piala Asia B-23 AFC dan Sukan SEA Ke-33 Thailand pada Julai, September dan Disember 2025 ini.

Sekalipun baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-23 pada 14 Mei 2025 lalu dan layak mengikut peraturan, sayap kanan Harimau Malaya yang cukup menyerlah ketika membelasah Vietnam 4-0 dalam Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 ini tampak sukar ‘diturunkan senioritinya’.

Arif mengumpan dua daripada jaringan Rodrigo Holgado dan La’Vere Corbin-Ong dalam perlawanan Kumpulan F di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu malah hampir menyertai senarai penjaringnya jika sungkitannya tidak ditepis penjaga gol lawan, Felipe Nguyen pada minit ke-43.  

Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia empat kali berturut-turut ini juga tidak pernah berpeluang menikmati saingan B-23 Sukan SEA Vietnam 2022 dan Kemboja 2023 sejak meraih penampilan sulung Harimau Malaya tanggal 28 Mei 2021 yang ditewaskan Bahrain 2-0 di Riffa.


NOOA Laine Faried (15) pernah beraksi pada Kejohanan B-23 AFF dan Piala Asia B-23. - Kredit foto: FAM


Namun bagaimana pula bek tengah negara yang masih berusia bawah 23, Harith Haiqal Adam Afkar mahupun perantara warisan Malaysia-Finland, Nooa Laine Faried atau penyerang, Fergus Tierney yang berdarah kacukan Scotland?

Hanya nama seorang lagi bek tengah, Ubaidullah Shamsul Fazili dan penyerang, Haqimi Azim Rosli yang kerap meniti bibir ketua jurulatih B-23 Malaysia, Nafuzi Zain dalam sidang media pengumuman Perlawanan Elit (EG) untuk kumpulan pemain usia itu di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 19 Jun 2025.


NAFUZI Zain (kanan) dan Pengarah Teknikal Pasukan Kebangsaan FAM, Tan Cheng Hoe dalam sidang media di Wisma FAM. - Kredit foto: FAM


Nafuzi turut membayangkan rakan hampir sebaya mereka yang dipanggil ke kem latihan pusat Harimau Malaya 18 hingga 25 Mei 2025 lalu di Johor Bahru di antara 38 pemain, bakal disenaraikannya semula bagi EG seperti Ahmad Zikri Khalili, Safwan Mazlan, Shafizan Arshad, Aiman Hakimi Othman, Alif Ahmad dan Haykal Danish Zainon serta Muhammad Abu Khalil.

“Saya akan gunakan EG bagi melihat, memantau, menilai dan mengenali lebih dekat kumpulan pemainnya. Ini langkah permulaan sebelum membuka kem latihan pusat pada 1 Julai 2025,” kata Nafuzi.

EG berupa perlawanan latihan (sparring match) sesama sendiri membabitkan 26 pemain yang dipanggil khususnya daripada kelab-kelab yang beraksi dalam Piala MFL 2024-2025 yang berakhir 14 April 2025 lalu.



Skuad B-23 negara katanya, akan menghadapi Kejohanan B-23 ASEAN di Jakarta (15-29 Julai 2025) dengan menentang tuan rumah Indonesia pasti satu perlawanan getir dengan ribuan penyokongnya yang menuntut persediaan mental dan fizikal.

“Menentang Filipina pula menjadi titik tolak pasukan selain Brunei dalam Kumpulan A. Juara dan dua naib juara terbaik Kumpulan A atau C akan mara ke separuh akhir. Ini juga kejohanan pertama saya dengan tim B-23 negara.

“Sasaran saya, lepasi saingan kumpulan dulu dan jika boleh, mara sejauh mungkin. Kejohanan B-23 ASEAN ini juga penting bagi melihat di mana kita sebenarnya (menjelang Kelayakan Piala Asia B-23 dan Sukan SEA),” kata Nafuzi.


UBAIDULLAH Shamsul Fazili (19), bek tengah yang diumum Pemain Terbaik Perlawanan Antarabangsa Tahap 1 menentang Cape Verde pada 29 Mei 2025 lalu. - Kredit foto: FAM


Tiga pasukan Kumpulan A kejohanan di Stadium Gelora Bung Karno dan Stadium Patriot, Jakarta ini akan bermain tiga kali atau lebih satu perlawanan berbanding Kumpulan B yang dianggotai Vietnam, Kemboja dan Laos manakala Thailand, Myanmar dan Timor-Leste membarisi Kumpulan C.

Bagi Kelayakan Piala Asia B-23 AFC pada 1 hingga 9 September 2025 ini di Thailand, tim Nafuzi diundi menganggotai Kumpulan F dengan tuan rumah, Lebanon dan Mongolia.

Hanya juara 11 kumpulan dan empat naib juara terbaiknya akan layak ke pusingan akhir pada Januari 2026 di Arab Saudi.

Siri perlawanan persahabatan dengan tim-tim Liga Super 2025-2026 yang sepak mulanya dijadualkan 8 Ogos 2025 ini, turut sedang diatur sebelum anak-anak buahnya berlepas ke Jakarta. - KitaReporters


HAQIMI Azim Rosli (24) sempat bermain menentang Cape Verde yang memenangi perlawanan latihan tertutup ini 3-0 di Bukit Jalil, 3 Jun 2025 lalu namun tidak terpilih berdepan Vietnam. - Kredit foto: FAM  


NAFUZI Zain (kanan) bersama-sama dua penolong jurulatih Harimau Malaya, Hairuddin Omar (kiri) dan Aidil Zafuan Radzak (dua dari kanan). - Kredit foto: FAM

10
10
0
8
0
You will be interested