

Dua jaguh Muay Thai negara. - Kredit FB ERA (Malaysia).
Dunia Muay Thai kini membuka pintunya kepada dua anak muda Malaysia yang sedang menempa nama di pentas antarabangsa iaitu Aliff Sor Dechapan dan Muhammad Johan Ghazali, atau lebih dikenali sebagai Jojo.
Mereka ini muncul sebagai simbol keberanian dan kehebatan generasi baharu yang membawa nama Malaysia dari gelanggang tempatan ke arena global.

Aliff, petarung muda berketurunan Malaysia-Thailand, mula menonjol dalam kejohanan ONE Championship selepas meraih kemenangan bergaya ke atas dua lawan terkemuka Maghribi (Morocco), termasuk Elmehdi El Jamari dalam ONE Fight Night 32 baru-baru ini.
Dengan latar belakang latihan sejak kecil di bawah bimbingan ayahnya, seorang bekas petarung profesional, Aliff kini meletakkan fokus sepenuhnya kepada misi besar iaitu membawa pulang gelaran juara dunia ONE dalam kelas strawweight.

Pada masa yang sama, Jojo yang berusia 18 tahun tidak kurang hebatnya.
Anak kelahiran Kuala Lumpur dan dibesarkan di Kuching, Sarawak ini menggegarkan dunia seni tempur apabila menewaskan lawan dari Thailand dalam tempoh kurang satu minit, sekali gus melayakkannya menerima kontrak enam angka bersama ONE Championship sekali gus meletakkan pencapaian luar biasa bagi seorang remaja.
Jojo, yang mewakili Rentap Muaythai Gym, kini dilihat sebagai prospek jangka panjang yang serius dalam kelas bantamweight.

Dunia Muay Thai kini membuka pintunya kepada dua anak muda Malaysia yang sedang menempa nama di pentas antarabangsa. - Kredit gambar dari koleksi fb ONE Championship.
Kejayaan Aliff dan Jojo menjadi bukti nyata bahawa Malaysia bukan sekadar pengikut dalam dunia Muay Thai, tetapi berpotensi menjadi pencabar utama jika bakat-bakat muda terus digilap dan diberi laluan.
Walaupun berada dalam sukan yang didominasi oleh negara-negara besar, mereka membuktikan bahawa dengan latihan intensif, semangat kental dan sokongan sewajarnya, atlet Malaysia mampu mencabar mana-mana pihak lawan.

Namun, perjuangan mereka belum selesai dan misi kejuaraan baru sahaja bermula.
Kini masanya pihak berkepentingan perlu tampil memberikan sokongan sepenuhnya dan bukan sekadar dalam bentuk sorakan dalam media sosial, tetapi melalui penajaan, kemudahan latihan bertaraf dunia dan jaminan kerjaya masa depan.
Aliff dan Jojo telah menunjukkan jalan dan kini tiba giliran kita untuk memastikan mereka terus melangkah tanpa ragu.
Dari Malaysia ke dunia, misi kejuaraan ini bukan lagi menjadi mimpi atau igauan. - KitaReporters
