Tomok, nama yang tidak asing lagi dalam arena muzik tanah air, kini kembali dengan penuh gaya menerusi single terbaharunya, ‘Larut’.
Selepas sekian lama menyepi, karya ini tampil sarat dengan emosi dinamik dan penuh jiwa, menampilkan sisi paling matang dan jujur dalam karier seni Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail.
Dengan sentuhan pop rock yang segar serta lirik yang menyentuh, ‘Larut’ yang diterbitkan di bawah label Alternate Records, bukan sekadar sebuah lagu cinta biasa, tetapi manifestasi kematangan seni seorang artis yang telah mengharungi pelbagai fasa dalam industri hiburan.
Tomok, 41, dengan kekuatan vokalnya yang tersendiri dan penyampaian yang menyentuh rasa, membuktikan bahawa beliau masih kekal relevan dan berbisa dalam menyampaikan lagu-lagu yang dekat di hati pendengar.
Menariknya, sesi rakaman lagu ini hanya mengambil masa dua jam sahaja, hasil kerjasama mantap bersama trio komposer dan penulis lirik berbakat besar – A.R.T, Fai dan Amylea Azizan – yang turut menjalani proses "pembedahan kreatif" bagi menghasilkan susunan muzik dan emosi terbaik lagu ini.

‘Larut’ merupakan single kelima Tomok bersama Alternate Records dan menandakan kemunculan semula yang sangat dinanti-nantikan oleh para peminat malah bagi Tomok sendiri lagu itu merupakan sebuah karya yang dekat dengan jiwanya.
“Lagu ni ada emosi yang saya sendiri rasa dalam dan kuat. Saya harap peminat semua akan dengar dan hayati lagu ini seperti mana saya hayatinya ketika rakaman,” katanya.
Beliau juga menyatakan harapannya agar dapat bekerjasama lagi dengan team komposer 'Larut' memandangkan mereka sangat memahami proses menghasilkan lagu berkualiti.
’Larut’ menceritakan tentang seorang lelaki yang menyimpan cinta terhadap seseorang yang tidak mungkin menjadi miliknya. Namun dalam hatinya, dia tetap ingin “melarutkan” dirinya dalam angan-angan seolah cinta itu benar-benar wujud.
Lagu ini juga dipilih sebagai lagu tema untuk drama popular “Aku Bukan Ustazah 2”.

'Aku Bukan Ustazah 2' ditayangkan bermula 10 Mei 2025 di TV3, setiap Jumaat hingga Ahad, pukul 9 malam.
Cabaran utama bagi Tomok dalam membawakan lagu ini adalah untuk menyampaikan emosi yang seimbang dengan intensiti cerita dalam drama tersebut.
Sebagai penyanyi yang telah beraksi lebih dua dekad dalam industri muzik Malaysia, Tomok dikenali kerana kekuatan vokalnya yang mantap, kawalan nada yang kemas serta penyampaian emosi yang mengesankan.
Setiap lagu yang dibawakannya memiliki sentuhan peribadi yang mampu menyentuh perasaan pendengar, menjadikan setiap persembahannya terasa tulus dan ikhlas.
Pendek kata, Tomok mempunyai kebolehan istimewa untuk "menghidupkan" sesebuah lagu, dengan suara yang bukan sahaja sedap didengar, tetapi juga ‘hidup’ dan penuh cerita.
Lagu ini sebenarnya berasal dari dua lagu berbeza yang ditulis 17 tahun lalu, namun melalui “pembedahan kreatif ” oleh Amylea – meliputi susunan muzik, melodi hingga ke lirik – akhirnya melahirkan satu karya baharu yang begitu indah dan menyentuh jiwa.

Menurut Amylea, beliau menyatukan dua lagu, mengubah keseluruhan aliran, dan menyesuaikannya untuk suara serta gaya Tomok.
Amylea turut menyatakan hasratnya agar lagu ini mempunyai karakter tersendiri – sebuah balada yang dibalut elemen pop rock segar.
Beliau turut mengakui proses rakaman bersama Tomok adalah antara pengalaman paling lancar sepanjang 18 tahun kerjayanya sebagai produser.
Amylea memuji komitmen Tomok yang memudahkan proses rakaman, walaupun terpaksa mengejar tarikh akhir sewaktu bulan puasa, namun hasilnya tetap berkualiti tinggi.
Dengan susunan muzik oleh Bajai, disokong oleh strings, gitar dan bes mantap daripada pemuzik-pemuzik berbakat, serta mixing dan mastering oleh Huzai, ‘Larut’ membawa aura segar dan emosional dalam genre pop rock yang tidak klise. - KitaReporters