.

IMAM Masjid Taman Putra Perdana Puchong (kanan) berselawat Nabi semasa mengetuai perarakan para peserta Sunaton 2025 mengelilingi kawasan sekitarnya sebelum mereka dikhatankan.
ADA yang reaksinya selamba seperti sudah menghadam kata-kata perangsang klise, “alaa, sakitnya macam digigit semut sahaja.”
Tidak ketinggalan pula, ada yang
menangis kecil kerana masih tidak kalis sakit namun si ibu bapa yang setia menemani,
pantas mencekalkan hati dan semangat si cilik.
Aneka ragam kanak-kanak
berusia antara enam hingga 12 tahun ini mewarnai Program Berkhatan
Beramai-ramai Sunaton 2025 anjuran Masjid Taman Putra Perdana (MTPP), Puchong,
Selangor pada 1 Februari 2025.
Mereka merupakan antara 73
peserta program dengan sokongan sebuah klinik swasta di Taman Puchong Utama
yang berlangsung dari pukul 8 pagi hingga 3 petang.
‘Masuk jawi’ (atau bersunat) juga dianggap sebahagian proses awal menempuh alam dewasa buat para kanak-kanak lelaki Muslim selain menganjurkan amalan penjagaan kebersihan diri.
DEBARAN, teruja dan tanda tanya pasti bermain-main dalam hati dan minda para peserta Sunaton Masjid Taman Putra Perdana 2025 yang diarak sekeliling masjid sebelum mereka dikhatankan.
ANEKA reaksi wajah para peserta Sunaton Masjid Taman Putra Perdana 2025 yang menunggu giliran masing-masing untuk dikhatankan.
Para peserta sunaton ini bukan sahaja datangnya dari sekitar kariah masjid berkenaan bahkan penyertaannya meluas sehingga kepada warga Damansara, Seri Kembangan, Banting dan Kuala Lumpur.
Kata pengarah program sunaton, Mohammad Nasir Yusof, sunaton menjadi program tradisi di situ sejak lebih 10 tahun lalu kecuali terhenti seketika akibat pandemik Covid-19 dari 2020 hingga 2021.
“Sunaton anjuran masjid ini mempraktikkan kaedah laser cautery (pelecuhan laser) dengan kerjasama sebuah klinik di Puchong Utama.
“Kanak-kanak yang menjalaninya,
mampu sembuh daripada luka berkhatan ini antara seminggu hingga 10 hari,”
katanya.
Walau bagaimanapun angka
penyertaan sunaton tahun ini (2025) yang tetap dilangsungkan dalam musim cuti penggal
akhir persekolahan didapati agak menurun
berbanding 120 orang pada 2024.
“Kami hanya mengenakan yuran
penyertaan sunaton sebanyak RM120 setiap peserta terbuka, sementara RM60 kepada
asnaf (golongan berhak menerima zakat).
“Kadar yurannya masih jauh lebih rendah jika dibandingkan di luar program ini iaitu antara RM180 dan RM200 lebih,” katanya.
MOHAMMAD NASIR YUSOF
Sunaton ini mendapat penyertaan luar kariah masjid hasil hebahan jawatankuasa penganjur menerusi laman sosial sejak Januari 2025 lalu, kata Nasir.
Para peserta Sunaton 2025 Masjid Taman Putra Perdana turut dihadiahkan dengan kupon bernilai RM10 untuk menyertai satu lagi program anjurannya, Karnival Hari Keluarga Harmoni pada 9 Februari 2025 ini selain sijil penyertaan dan barangan sagu hati.
Terdapat aneka pertandingan dan hadiah menarik menanti seperti Mewarna, Bercerita Kisah Nabi, Azan, Tulisan Khat, Cabaran Lego dan Memasak Cili Api (Terbuka) sama ada yang percuma mahupun dengan yuran tertentu.
KAKITANGAN klinik memantau keadaan seorang peserta sunaton di ruang khas Masjid Taman Putra Perdana selepas dikhatankan.
SEORANG peserta Sunaton Masjid Taman Putra Perdana 2025 yang ditemani ibu bapanya, diberikan sijil penyertaan oleh ahli jawatankuasa penganjur program selepas dikhatankan.
SEORANG peserta Sunaton Masjid Taman Putra Perdana 2025 yang ditemani bapanya, diberikan sijil penyertaan oleh Timbalan Nazir masjid, Zainul Ariffin selepas dikhatankan.
Seorang doktor klinik terbabit yang hanya dikenali sebagai Dr. Salleh, menasihati para peserta sunaton tidak melakukan sebarang kegiatan lasak seperti bersukan dalam tempoh tiga hari selepas berkhatan.
“Jangan buat aktiviti lasak kerana mungkin boleh menyebabkan pendarahan banyak namun bagi amalan perubatan moden, tiada pantang makan seperti ayam, udang dan sotong dikenakan pun selepas berkhatan.
“Juga apabila masuk hari kedua berkhatan, ibu bapa tidak perlu risau atau panik jika mendapati air kuning daripada alat kelamin anak-anak kerana itu hanyalah proses biasa badan dalam mengeluarkannya,” katanya. - KitaReporters
DR. Salleh menyampaikan taklimat ringkas kepada para peserta dan ibu bapa mereka sebelum menjalankan proses pengkhatanan.
SEBAHAGIAN peserta Sunaton Masjid Taman Putra Perdana 2025 dan ibu bapa mereka mendengar taklimat ringkas penganjur dengan penuh minat.