Safee Sali (duduk, kanan) bersama penyampai-penyampai Radio ERA bergambar kenangan.
Dari padang bola ke konti radio. Begitulah perjalanan hidup empunya badan sendiri, Safee Sali pun tidak jangka apabila ditawarkan oleh Radio ERA mengendalikan segmen baharu, “Super Safee ERA’ yang akan bersiaran mulai 12 Ogos ini, jam 10 pagi, setiap Sabtu.
“Saya pun terkejut apabila ERA panggil saya sehari selepas saya umumkan bersara dari dunia bola sepak profesional,” ujar Safee ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-25 radio ERA yang diadakan di Sky Lounge, Nu Sentral, Kuala Lumpur pada 4 Ogos 2023.
Turut hadir Pengurus Kandungan ERA, Hani Fadzil serta penyampai-penyampai radio ERA antaranya, Nabil Ahmad, Azad Jasmin, Radin, Hanif Hamzah, Ray Dap Dap dan Munaa Bella selaku pengacara majlis serta ramai lagi.
Penampilan khas Safee Sali melalui segmen bersempena dengan gelaran popularnya ‘Super Safee’ sebagai personaliti jemputan ERA akan menyaksikan beliau berkongsi info terkini berkaitan sukan tempatan dan antarabangsa merangkumi berita, topik perbualan dan temu bual bersama tetamu undangan dari dalam dan luar bidang sukan.
Menurut Safee, ketika menerima tawaran tersebut beliau sendiri khuatir sama ada mampu atau tidak beralih ke bidang yang belum pernah dilakukanya melainkan menjadi tetamu di konti sahaja.
"Itu antara sebab mengapa saya mengambil masa dalam dua tiga bulan untuk memikirkannya sebelum menerima tawaran," tambah bekas pemain bolasepak Kebangsaan ini yang baru-baru ini membuktikan beliau masih berbisa apabila menjaringkan gol pada kejohanan The Soccer Tournament yang berlangsung di Amerika Syarikat walaupun telah mengumumkan persaraannya dari dunia bola sepak professional pada bulan Februari 2023 lalu.
Pada perlawanan itu beliau beraksi dengan pasukan Far East United yang diperkuat oleh pemain dari rantau Asia Tenggara seperti Filipina, Indonesia, Singapura dan Thailand.
Safee bersama Hani. - Kredit foto: FAS.
Sehubungan tidak mempunyai pengalaman sebagai penyampai, katanya, buat permulaan siaran yang dikendalikannya selama sejam itu dirakamkan terlebih dahulu dan akan diselitkan juga dengan lagu-lagu malah antara barisan tetamunya juga bukan dari kalangan orang sukan tetapi semua golongan termasuk artis dan sebagainya kerana mereka pun bersukan.
“Bukan senang sebenarnya saya nak selitkan hiburan kerana ia bukan ‘core’ saya tetapi saya akan cuba sebaik mungkin,” ujar Safee sambil meluahkan rasa kerisauannya bagaimanakah penerimaan peminat mendengar sukan dalam radio kelak.
Safee berpendapat tidak semua peminat sukan mendengar radio jadi cabarannya tentu sekali bagaimana hendak menarik mereka mendengar radio pula.
Ditembak dengan soalan mungkinkah selepas bergelar selebriti beliau akan terjun ke bidang lakonan atau nyanyian, jawab Safee, “Untuk berlakon memang saya tak pernah terfikir langsung cuma tawaran menyanyi itu ada tetapi saya masih belum bersedia nak menyanyi."
Kontrak Safee sebagai penyampai jemputan setekat ini katanya adalah selama tempoh 6 bulan.
Menyambut ulang tahun ke 25 Radio ERA.
Dalam pada itu, pada majlis sama, Radio ERA turut mengumumkan tiga lagi segmen baharu bagi kepuasan kira-kira 5.7 juta pendengar mingguannya meliputi program 'Seram Sabtu ERA', 'Throwbaek ERA' dan 'Soundtrek ERA'.
“Memandangkan genre seram menjadi kegemaran ramai golongan muda, kami memperkenal segmen Seram Sabtu ERA di mana cerita-cerita seram yang pernah dilalui pendengar dan perkongsian dalam media sosial akan disampaikan semula oleh seorang personaliti misteri pada setiap Sabtu, mulai 12 Ogos (2023) jam 11 malam.” kata Hani.
Selain itu, 'Throwbaek ERA' pula akan memainkan lagu-lagu terbaik sekitar 90-an hingga 2000-an yang menjadi pilihan pendengar pada jam 12 tengah hari hingga 1 petang, setiap Ahad.
“Selepas itu dari jam 1 petang hingga 2 petang akan disusuli segmen ‘Soundtrek ERA’ di mana pilihan lagu yang menjadi runut bunyi dalam filem serta drama tempatan dan antarabangsa akan dimainkan,” tambah Hani.
Di samping itu, peminat ERA boleh terus berhibur dengan segmen-segmen pada hujung minggu bersama Namie dan Hawa Rizwani melalui “Sabtu Pagi ERA’, ‘Carta ERA 40’ bersama Elly Mazlein @ Lina Pom Pom; ‘Flow ERA’ dengan Zahier; ‘Hallyu ERA’ bersama Munaa Bella dan “Lagu Baru Nak Up’ dikendalikan oleh Fazziq.
Majlis ulang tahun Radio ERA ke-25, sejak mengukir nama pada 1 Ogos 1998 diakhiri dengan persembahan daripada penyanyi Ernie Zakri yang menyampaikan lagu pertama disiarkan oleh ERA ketika itu, iaitu 'Hijau' nyanyian asal Datuk Zainal Abidin. - KitaReporters