Seni & Sukan 25 Aug, 2024

2 pengajaran besar kepada Selangor FC! Kena selalu ke final! Waspada 100%! Dikenduri 6-1 oleh JDT FC!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

NIDZAM Jamil mengulas pascaperlawanan akhir Piala FA 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Kredft foto: HM


PELAJARAN nombor 1 ialah kena selalu memasuki perlawanan akhir piala.

Pelajaran nombor 2, sekecil mana kesilapan pun, anda akan ‘dikendurikan’ oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) FC!

Sang Harimau Selatan memberikan dua ilmu mustahak bola sepak ini kepada Selangor FC selepas menjuarai Piala FA 2024 dengan berpesta gol 6-1 pada 24 Ogos 2024.

Di depan 80,350 hadirin Stadium Nasional, Bukit Jalil, Merah Kuning kendalian Nidzam Jamil bagaikan merah padam dibenam Merah Biru dek hatrik Juan Muniz selain satu masing-masing oleh Arif Aiman Hanapi, Bergson da Silva dan Heberty Fernandes.

JDT FC juga menjadi pasukan pertama menjulangnya hatrik selepas 2022 dan 2023 selain 2016 malah kian merapati Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC sebagai juara terbanyak lima kali.  

Inilah juga catatan skor terbesar dalam sejarah final pertandingan kalah singkir kebangsaan itu sejak 1990 yang mengatasi Selangor menewaskan Perak 4-2 termasuk pada 2005.  


HATRIK Juan Muniz (20) dengan dua daripadanya menerusi sepakan percuma kidal membawanya dinobatkan Pemain Terbaik Final Piala FA 2024. - Kredit foto: JST  


“Perkara-perkara kecil yang mungkin melawan lawan lain, kami boleh kendalikan (tetapi) dengan pasukan yang matang bermain final setiap tahun sejak 10 tahun ini, menang banyak piala (seperti JDT FC) berlainan.

“Kami tidak boleh ke final dengan fikiran hendak mencuba sahaja. Apabila kita silap sikit, mereka menyukarkan kami. (Untuk) berada sebaik pasukan mereka atau keluar dari zon sekarang, kami kena selalu ada dalam final,” kata Nidzam dipetik daripada video sidang media pascaperlwanan.


PENJARING tunggal Merah Kuning, Alvin Fortes cuba menghidupkan semula perjuangan pasukannya dengan rembatan leret cantik yang menewaskan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, penjaga gol utama JDT FC dan Harimau Malaya. - Kredit foto: SFC


Keputusan ini menunjukkan bagaimana Selangor FC hendak bersaing untuk ke tempat lebih baik walaupun menyedihkan kerana dirundung 6-1 yang mengecewakan banyak pihak, ujarnya.

“Gol ketiga dan keempat itu (Bergson dan Muniz, minit ke-62 dan 67), jujur saya katakan, membunuh tempo kami,” katanya.

Jelasnya, peluang Gergasi Merah menyaingi tim Hector Bidoglio dirasakan masih menyala semula menerusi jaringan rembatan leret kaki kiri Alvin Fortes pada minit ke-59 yang merapatkan jurang ketinggalan 2-1.  

Akui Nidzam, kehilangan Alexander Agyarkwa Ameyaw selepas separuh masa yang digantikan oleh Reziq Saleh Banihani turut merencatkan perancangan asalnya untuk Selangor FC keluar daripada tekanan awal Merah Biru.  


PERANTARA import Selangor FC, Alexander Agyarkwa Ameyaw tidak dapat menghabiskan 90 minit final akibat kecederaan sehingga menggugat taktikal pasukan. - Kredit foto: SFC  


Mengenai penggantian drastik penjaga gol utama, Samuel Somerville dengan pemain bawah 23 tahun (B-23) negara, Azim Al Amin Kamaruddin pada minit ke-68, katanya, “selepas empat gol JDT FC, saya berasa fokus Samuel hilang.  

“Ada sesuatu perkara yang berlaku dan selepas berbual dengan barisan jurulatih, kami letakkan Azim untuk menyambung 20 minit akhir sebagai melindungi gawang

“Namun dengan lawan sekualiti ini, jika tidak fokus, akan jadi lima atau enam (gol). Bagi sebuah perlawanan akhir, enam itu terlalu banyak.

“Saya mengambil tanggungjawab penuh dan kami kena lalui dengan baik dan penuh bertanggungjawab namun sisi positifnya kami di sini (masuk final Piala FA),” katanya. - KitaReporters


JDT FC bergembira besar meraikan pesta gol dan kejayaan hatrik Piala FA mereka selepas membelasah Selangor FC 6-1. - Kredit foto: JST

10
10
0
9
0
You will be interested