Seni & Sukan 16 Aug, 2024

Ratu luncur air kembali ke tanah air! Aaliyah sertai Kejohanan Luncur dan Lonjak Malaysia, Putrajaya!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

AALIYAH Yoong Hanifah mempamerkan kemahiran mengawal papan luncurnya dalam disiplin tricks Kejohanan Luncur Air Kebangsaan 2023 di Putrajaya. - Kredit foto: MWWF 


DEMI negara tercinta dan minat mendalam kepada sukan luncur air, Aaliyah Yoong Hanifah kembali ke tanah air.

Sekalipun masih terikat dengan komitmen pengajian jurusan psikologi di Kolej Selatan Florida (Florida Southern College atau FSC), Amerika Syarikat, fokusnya kini terarah kepada Kejohanan Luncur dan Lonjak Malaysia dari 16 hingga 18 Ogos 2024 di Kompleks Sukan Air Putrajaya.

Kata ratu luncur air negara ini, “seronok kembali ke tanah air dan saya berharap menampilkan persembahan yang bagus, tidak semestinya tentang catatan peribadi terbaik tetapi meraih mata dalam mengekalkan ranking dunia saya.

“Ranking saya menurun sedikit kerana perhatian saya kepada peperiksaan universiti namun kejohanan ini pasti masa yang terbaik untuk meningkatkannya semula,” kata peluncur berusia 21 tahun ini dalam siaran media penganjur kejohanan.



Kejohanan Luncur dan Lonjak Malaysia 2024 turut menarik penyertaan sehingga 60  peluncur termasuk dari rantau Asia Tenggara seperti Indonesia, Singapura dan Thailand dengan aneka disiplin pertandingan iaitu slalom, tricks, lompatan, papan lonjak dan layar lonjak. 

Aaliyah, pemenang tempat ketiga tricks Sukan Dunia 2022 di Alabama, Amerika Syarikat dan lompatan Kejohanan Bawah 21 Tahun (B-21) Dunia 2023 di Chapala, Mexico, juga ibarat sumber inspirasi kepada rakan-rakan luncur senegaranya.

Dia ketika ini memiliki catatan terbaik, 8,450 mata dalam tricks yang juga rekod Asia dan 48.3 meter dalam lompatan dan 4.5/12/55 bagi slalom.


AALIYAH Yoong Hanifah melonjak tinggi dalam disiplin lompatan Kejohanan Luncur Air Kebangsaan 2023 berlatarbelakangkan bangunan tinggi Putrajaya. - Kredit foto: MWWF 


Penganjur, Persekutuan Luncur Air dan Papan Lonjak Malaysia (MWWF) turut memberikan pendedahan pertandingan kepada atlet-atlet remajanya seperti Chloe Bayly dan Madilynn Tan, 14, dan Aydan Noah, 13, yang berlatih sejak beberapa tahun. 

Kata Setiausaha Kehormat MWWF, Hanifah Yoong, “kami mahu melihat sejauh mana kemajuan yang mereka capai dalam kejohanan ini.

“Kami patut menguasai kategori wanita bagi slalom, tricks dan lompatan menerusi Aaliyah tetapi kami tidak pasti dengan pasukan lelaki apabila menentang peserta Indonesia,” katanya.

Pasukan peluncur lelaki Malaysia turut dibarisi adik-beradik Aaliyah, Aiden dan Adam di samping Syahir Nasir.


AALIYAH Yoong Hanifah (tengah) menyampaikan sejambak bunga kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sambil disaksikan oleh Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud. - Kredit foto: MWWF


Sementara itu MWWF turut menawarkan persiaran percuma berbot laju bagi kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun mulai pukul 2 petang 18 Ogos 2024 di kompleks berkenaan sempena kejohanan itu.

Para peminat juga berpeluang berswafoto dan beramah mesra dengan Aaliyah dalam satu sesi khas.

Pusingan akhir kejohanan berlangsung dari 8.30 pagi hingga 4 petang 18 Ogos 2024. Masuk percuma. - KitaReporters

10
7
0
15
0
You will be interested