Seni & Sukan 12 Jan, 2023

Melukis jadi terapi minda bekas guru, Ahmad Nazrin! Harungi derita kanser paru-paru, tulang belakang!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this


GAYA impresionisme mula diperkenal melalui satu gerakan seni pada kurun ke-19 di Paris dan ia dikaitkan dengan lukisan impression, Soleil Levant (Impression, Sunrise) oleh Claude Monet pada 1872. Kemudiannya, gaya itu mula bertapak di Malaysia pada era 1960-an.

Antara nama besar yang dikaitkan dengan karya seumpama itu adalah Syed Ahmad Jamal, Latiff Mohidin, Sharifah Fatimah Syed Zubir dan Joseph Tan. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan seni lukisan

Lukisan impresionisme adalah hasil seni yang dilakarkan dengan cara kabur dan bukan dengan perincian realistik.


Selepas 50 tahun gaya impresionisme bermula di negara ini, hasil karya seperti itu terus mendapat tempat dalam kalangan pengamal dan penggemar seni lukis. 

Tidak terkecuali seorang pelukis dari Kuantan, Pahang, Ahmad Nazrin Mohamed Noor yang begitu obses dengan gaya lukisan ini.

Walaupun diuji dengan penyakit kanser paru-paru dan tulang belakang, bekas guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan  itu tidak jadikan penyakitnya sebagai penghalang untuk terus berkarya sebaliknya sebagai terapi diri menghadapi ujian itu. 

Berusia 56 tahun, Ahmad Nazrin tidak mahu hanya berserah kepada takdir dan enggan menjadikan masalah kesihatannya itu mengganggu semangatnya untuk berkarya.

Malah dalam keadaan diuji dengan masalah kesihatan itu, dia masih mampu mengadakan pameran solonya yang kesembilan di Artic Gallery Jalan Gambut, Kuantan, sejak awal  Disember 2022 lalu.


Ahmad Nazrin bersama lukisan 'Jalan Sibuk di Bandar Lipis' yang dipamerkan di Artic Gallery, Jalan Gambut, Kuantan.


Pameran Solo 9 'The Scenic Sights of Pahang' yang berlangsung sehingga 15 Januari 2023 ini  memaparkan keindahan 11 daerah di Pahang dalam bentuk lukisan semirealistik abstrak menggunakan media campuran dan akrilik

Nazrin berkata, setiap lukisan diilhamkan daripada pemandangan indah di setiap daerah dan mengambil masa lebih tiga bulan untuk menyiapkan semua lukisan berkenaan. 

Katanya, dia mengunjungi semua lokasi menarik di semua daerah negeri terbabit bagi mendapatkan idea untuk menghasilkan karya-karya tersebut.  

“Sebagai contoh, saya lebih memilih pekan sehari di sepanjang laluan Esplanade Temerloh sebagai tempat paling menarik untuk dikunjungi walaupun daerah ini lebih ke arah ikan patin sebagai trade mark Temerloh.

“Disebabkan itu, saya luahkan melalui lukisan melalui tiga panel menggunakan media campuran dan akrilik,” katanya ketika ditemui di Kuantan pada 10 Januari 2023.


Ahmad Nazrin Mohamed Noor


Menurutnya, dia mula melukis gambaran Tasik Chini, Pekan dan terakhir dengan Bera di mana, setiap lukisan mengambil masa seminggu untuk disiapkan kecuali lukisan berjudul ‘Jalan Sibuk di Bandar Lipis’ yang memerlukan masa tiga minggu. 

Lukisan ‘Jalan Sibuk di Bandar Lipis’ itu sudahpun dibeli Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

dengan harga RM15,000 ketika merasmikan pameran ini Disember lalu,” katanya.

Katanya, rama-rama menjadi identiti kepada setiap lukisannya sebagai simbol bebas, rapuh dan keindahan. 

"Saya amat meminati rama-rama sejak dari kecil. Rama-rama ini sifatnya seperti manusia, dia cantik, bebas namun mudah berkecai yang memerlukan kita berhati-hati.

"Itulah prinsip yang saya bawa dalam lukisan saya selama ini," katanya.

Menceritakan mengenai penyakitnya pula, Nazrin berkata selain didiagnos sebagai pesakit kanser paru-paru dan tulang belakang, dia juga ‘pejuang’ kanser kerana pernah menghidap kanser tiroid pada tahun 2012.  


Wan Rosdy Wan Ismail ketika melawat pameran di Artic Gallery Jalan Gambut, Kuantan, pada awal Disember 2022.


“Saya hampir menjadi bisu selepas hilang suara akibat kanser itu namun syukur selepas membuat pembedahan, suara saya kembali semula. 

“Namun pada bulan lalu, saya disyaki menghidap kanser paru-paru dan tulang belakang serta akan melakukan beberapa pemeriksaan di hospital untuk mengenal pasti penyakit sebenar,” katanya yang berasal dari Dungun, Terengganu.

“Bermain dengan warna dan melukis keindahan alam adalah satu terapi minda yang mampu membuat kita lupa pada masalah,” katanya.

Nazrin berkata, untuk akan datang, dia bercadang untuk meneruskan pameran solo ke 10 pada hujung tahun ini namun masih diperingkat perbincangan dengan beberapa pihak berkaitan. 

Diharapkan Ahmad Nazrin tidak akan mengalah dengan penyakit dihidapi dan terus aktif melukis dengan gaya yang tersendiri. - KitaReporters


7
9
0
12
0
You will be interested