Seni & Sukan 22 Aug, 2022

Demi aspirasi Keluarga Malaysia! 6 murid bukan Melayu SJKC Labis buat persembahan tarian zapin!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this



SEKUMPULAN guru dan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Labis yang terlibat dengan kelab kebudayaan sekolah tersebut mengakui kebimbangan mengatasi rasa teruja ketika mereka mendapat undangan mengadakan persembahan pada Pertandingan Akhir Zapin Permata Jauhar di RTM Johor Bahru pada 13 Ogos 2022 lalu kerana mereka sebenarnya tidak mempunyai pengetahuan luas mengenai tarian zapin yang merupakan salah satu warisan kesenian negeri Johor.

Salah seorang guru pembimbing, Siti Aisyah Mohd. Yamin yang berasal dari Kelantan berkata, tempoh dua minggu yang diberikan  untuk membuat persiapan bukan sesuatu yang mudah memandangkan tarian zapin sememangnya agak asing bukan sahaja kepada murid terlibat yang merupakan bukan Melayu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti tari-menari

Murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Labis, Johor yang diundang membuat persembahan tarian zapin ketika Pertandingan Akhir Zapin Permata Jauhar pada 13 Ogos 2022 lalu.


Siti Nurhidayu Jurimi, Tang Li Li, Yow May Fong dan Siti Aisyah Yamin merupakan antara tulang belakang kejayaan persembahan kumpulan tarian SJKC Labis yang mempersembahkan tarian zapin di Pertandingan Akhir Zapin Permata Jauhar pada 13 Ogos 2022 di RTM Johor.


"Dengan kerjasama serta bantuan pihak pentadbir sekolah serta guru penolong kokurikulum dan guru pembimbng lain yang rata-rata bukan berbangsa Melayu, misi menyediakan dan melatih sekumpulan murid seramai enam orang untuk persembahan tersebut berjaya dilaksanakan seperti mana yang dirancang.

"Namun terus-terang saya katakan ia bukan sesuatu yang mudah kerana persiapan bukan sahaja tertumpu terhadap gerak tari itu sendiri, malah meliputi persiapan lain seperti busana serta penyesuaian dandanan dalam persembahan yang menampilkan versi Zapin Mak Esah berasal dari Mersing, Johor," katanya yang berharap mampu hadir sebagai peserta pertandingan pada masa hadapan berbanding hanya membuat persembahan jemputan pada kali ini. 

Menurutnya, antara cabaran yang perlu ditempuhi adalah dia dan rakan guru lain terpaksa belajar gerak tari tarian zapin terlebih dahulu di bawah tunjuk ajar kakitangan Yayasan Warisan Johor sebelum mengajar semula murid terlibat apa yang dipelajari dengan kerjasama seorang jurulatih tarian yang berkelayakan.  


Ahli kumpulan tarian  kelab kebudayaan SJKC Labis, Johor tidak canggung mengenakan busana Melayu biarpun mereka merupakan pelajar-pelajar daripada kaum Cina.


Sementara itu, Guru Penolong Kanan (GPK) Kokurikumum, Tang Li Li pula menyifatkan peluang yang diberi untuk sekolahnya membuat persembahan di petandingan tersebut sebagai satu penghormatan serta peluang terbaik membuktikan bahawa seni merupakan sesuatu yang univesal melangkaui batas budaya dan kaum selari dengan slogan Keluarga Malaysia yang diterapkan kerajaan ketika ini.

Katanya, sekolah tersebut sememangnya terdapat kumpulan tarian yang diwujudkan terdiri daripada ahli kelab di mana salah satu aktiviti mereka adalah melatih murid-murid tarian pelbagai kaum yang terdapat di negara ini dan hanya memberi tumpuan untuk membuat persembahan di majlis-majlis rasmi sekolah termasuk program hari kecemerlangan murid sahaja sebelum ini dan belum pernah terlibat dengan persembahan besar seperti di Pertantingan Akhir Zapin Permata Jauhar tempoh hari.

Dalam masa sama dia turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Yayasan Warisan Johor; Jurulatih Tarian, Zul Hazri Kassim; dan guru-guru pembimbing lain yang terdiri daripada Siti Nurhidayu Jurimi, Wan Yoke Ling dan Yow May Fong yang telah berusaha keras melatih murid terlibat tanpa mengenal erti penat lelah dalam tempoh yang singkat.


Salah seorang ahli kumpulan tarian SJKC Labis, Johor sedang dipersiapkan dengan busana yang bersesuaian sebelum membuat persembahan.


Tan Hui Wen


Bagi Tan Hui Wen,12, pula peluang yang diberi menjadi salah seorang anggota kumpulan tarian yang mengadakan persembahan di program besar seperti itu  disifatkannya sebagai kesempatan terbaik untuk menonjolkan bakat yang dimiliki, sekali gus membuktikan tiada batas kaum dalam seni budaya antara kaum di negara ini.

Dia mengakui berasa gementar untuk  membuat persembahan di hadapan penonton yang ramai, namun kata-kata semangat daripada guru-guru pembimbing serta sokongan keluarga menguatkan semangatnya untuk tidak melakukan kesilapan sepanjang persembahan mengikut seperti apa yang sudah dirancang sebelumnya.

Katanya, pengalaman yang diperolehi semasa membuat persembahan di pertandingan tersebut menguatkan lagi azamnya bukan sahaja untuk belajar tarian Melayu, malah tarian kaum lain yang terdapat di Malaysia seperti tarian kaum India serta tarian tradisional kaum-kaum yang terdapat di Sabah dan Sarawak selain tarian kaum Cina sendiri pada masa akan datang. 


Tey Hui Ping


Rakannya, Tey Hui Ping,10, berkata, walaupun tidak biasa dengan gerak tarian zapin, namun menyifatkannya tidaklah terlalu sukar memandangkan sebagai ahli kelab kebudayaan sekolah tersebut dia dan rakan lain sudah mempelajari sedikit sebanyak pergerakan tarian pelbagai kaum sebelum ini.

"Pada peringkat awal memang saya berasa agak kekok untuk melakukan pergerakan tarian zapin ini kerana ini merupakan kali pertama kami diajar gerak tari tersebut. Namun berkat kesungguhan semua ahli kumpulan dan kesabaran guru-guru serta jurulatih kami berjaya melakukannya.

"Walaupun saya bukan Melayu, tetapi keluarga saya tidak pernah melarang untuk saya menjadi salah seorang ahli kumpulan yang membuat persembahan tarian zapin ini, malah mereka menggalakkan saya untuk terus terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum di sekolah,"katanya. - KitaReporters


Sempat merakan gambar kenangan sebelum membuat persembahan di Pertandingan Akhir Zapin Permata Jauhar di RTM Johor pada 13 Ogos 2022 lalu.

Ahli kelab kebudayaan SJKC Labis, Johor yang terdiri murid berbangsa Cina bergambar kenangan bersama guru pembimbing dan jurulatih tarian selepas latihan.

20
12
0
15
0
You will be interested