KEDAH Darul Aman (KDA) FC gagal menggunakan kelebihan bermain di gelanggang sendiri apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 ketika menentang Sabah Football Club (FC) dalam saingan Liga Super 2022 yang berlangsung Stadium Darul Aman pada malam tadi (17 ogos 2022) .
Sabah FC turun dalam perlawanan ini untuk mencari tiga mata penuh bagi mengukuhkan kedudukan nombor dua liga namun bagaimana pun mereka dikejutkan terlebih dahulu dengan jaringan awal oleh tuan rumah seawal minit ke-6 menerusi Ronald Ngah Wanja apabila bijak mengambil kesempatan dalam kotak penalti lawan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Liga Super
Terkejut dengan jaringan awal, Sabah perkemaskan kembali rentak permainan dengan serangan lebih pantas dari kiri dan kanan.
Usaha Sabah hampir membuahkan hasil namun Alto Linus gagal manfaatkan peluang yang dimiliki biarpun hanya berdepan dengan penjaga gol Kedah.
Dalam Sabah cuba melancarkan serangan, Kedah berpeluang untuk tambah gol kedua menerusi serangan balas tetapi percubaan daripada pemain Kedah sedikit tersasar.
Sabah lebih menguasai permainan separuh masa pertama namun bahahgian serangan agak tumpul untuk mencari gol penyamaan.
Bermula babak kedua, Sabah terus berusaha mencari gol penyamaan dengan serangan bertali arus namun peluang yang terhidang gagal dimanfaatkan dalam bentuk jaringan.
Dalam keghairahan Sabah menyerang, mereka hampir dihukum melalui Mahmud Mardi apabila memiliki peluang terbaik di separuh masa kedua pada minit ke ke-78, namun beliau lebih memilih melakukan percubaan terus dari melakukan hantaran biarpun Muhamad Al-Hafiz Harun mempunyai peluang untuk mengukuhkan kedudukan Kedah.
Kemasukan beberapa pemain baharu ternyata membuahkan hasil untuk skuad Datuk Ong Kim Swee apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi Farhan Roslan pada minit ke-84.
Selepas mendapat jaringan penyamaan Sabah terus meningkatkan serangan dalam mencari gol kemenangan dan pemain gantian, Azhad Harraz hampir memastikan Sabah pulang tiga mata namun percubaannya sedikit tersasar.
Keputusan seri ini memberi kelegaan untuk Sabah namun tidak bagi skuad kendalian Aidil Sharin Sahak yang berpeluang untuk memintas Pahang.
Ketika ini Kedah menghuni tangga ke-6 liga, sementara Sabah FC terus menjarakkan kedudukan dengan persaingan terdekat mereka, Negeri Sembilan. - KitaReporters