IMAGINUR kisah menarik ‘Gadis Dalam Mimpi, Yang Bertemu Di Alam Realiti’. Filem ini mengangkat sebuah kisah percintaan yang mengetengahkan elemen fiksyen yang menarik dan unik. Itulah inti pati yang cuba diketengahkan oleh pengarah terkenal, Nik Amir Mustapha menerusi filem terbaharunya berjudul Imaginur.
Nik Amir berkata, Imaginur sebuah filem bertemakam cinta, tetapi disulam dengan elemen hipnosis untuk menjadikan jalan ceritanya lebih menarik. Imaginur juga sebuah kisah cinta yang berbentuk fiksi semata-mata, ia mengisahkan tentang seorang lelaki yang mimpikan seorang gadis, kemudian tiba-tiba dapat berjumpa di alam realiti.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan filem-filem
“Saya terinspirasi daripada masyarakat kita dan berhasrat membuat satu snapshot kehidupan orang Malaysia yang bertemakan cinta dan keluarga yang dipakej bersama elemen hypnosis,” ujarnya. Filem ini adalah filem ketiga dihasilkan ole Nik Amir selepas KIL dan Terbaik Dari Langit.
Nik Amir memberitahu bahawa idea untuk menghasilkan Imaginur timbul memandangkan dia begitu minat dengan topik hipnosis dan mainan minda.
“Sebenarnya, idea untuk menghasilkan filem ni sudah ada sejak sebelum saya mengarahkan filem pertama iaitu KIL,“ katanya.
"Akhirnya, saya berganding dengan Redza Minhat untuk menulis sebuah filem bertema cinta, hipnosis dan kehidupan. Setelah lama tak buat filem, saya rasa nak buat comeback dengan idea original saya dulu maka terhasillah Imaginur,” jelasnya.
Filem ini diterbitkan oleh Lumatic Films, dan yang sangat menariknya, Imaginur mengandingkan dua orang pelakon hebat iaitu Beto Kusyairy dan Diana Danielle selaku teraju utama. Mengenai pemilihan kedua-dua pelakon berkenaan, Nik Amir menyatakan keyakinannya terhadap Beto dan Diana untuk menjayakan watak masing-masing dengan baik.
“Umum mengetahui Beto merupakan seorang pelakon yang mampu menjiwai apa sahaja watak. Malah, dia berhasil memberikan komitmen 100 peratus untuk watak Zuhal.
“Mengenai Diana pula, saya tertarik dengan kebijaksanaannya apabila dia menjawab beberapa soalan yang diberikan. Saya rasa dia memang cukup sesuai untuk membawakan watak Nur, seorang gadis yang penuh misteri,” jelasnya.
Dalam pada itu, bercerita tentang cabaran untuk menghasilkan Imaginur, Nik Amir mengakui ia sesuatu yang mencabar memandangkan dia bertindak selaku pengarah dan penerbit. Selain faktor pandemik yang membuatkan penggambaran tergendala, faktor kewangan juga cukup memberikan cabaran.
“Sebagai syarikat kerdil, cabaran terbesar memang dari segi kewangan dan Lumatic Films mengambil masa yang lama untuk mengumpul dana yang cukup dan akhirnya dengan bantuan pihak FINAS juga, maka kami berjaya menyiapkan Imaginur. “Pembikinan juga tergendala sangat lama kerana terjejas oleh masalah pandemik. Tetapi kami gunakan masa itu memperhalusi filem ini sebaiknya. Alhamdulillah, setelah bertungkus lumus, filem ini berjaya disiapkan,” katanya lagi.
Pada masa sama, Nik Amir memberitahu bahawa filem Imaginur ini mempunyai tarikan tersendiri untuk penonton menontonnya di pawagam.
Jelasnya, selain menampilkan ramai pelakon hebat, tarikan filem berkenaan adalah plotnya yang penuh misteri dan menjadi tanda tanya. Penonton akan disajikan dengan sebuah cerita yang tidak terlalu ‘straight forward’ dan yakin penonton dapat mendapat satu kepuasan selepas menontonnya.
“Walaupun Imaginur bukanlah sebuah filem blokbuster, saya harap cerita seperti ini dapat diterima masyarakat.
“Kami cuba menghidangkan sesuatu yang alternatif dari segi plot dan penyampaian dengan harapan lebih cerita seperti ini dapat dibikin dan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia,” ujar Nik Amir.
Imaginur akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 23 Februari 2023.
Pelakon utamanya ialah Beto Kusyairy dan Diana Danielle. Pelakon pembantu yang lain termasuk Nadiya Nisaa, Fatimah Abu Bakar, Dato’ Afdlin Shauki, Meor Hashim Manaf, Dato Rahim Razali, Takahara Suiko, Ruzana Ibrahim, Pekin Ibrahim, Megat Sharizal, Anas Ridzuan, Junad M Nor, Faridah Ahmad Bakri, Aziz B Hashim, Damia’ Qaissarah Ahmad Safri, Firdaus Karim dan barisan pembantu pelakon lain yang memang berbakat. - KitaReporters