ENGGAN terlalu memikir masalah rumah tangga dan tidak bercadang berbulan madu dengan isteri keduanya Ira Kazar, Syamsul Yusof menyibukkan dirinya dengan meneruskan penggambaran filem ‘The Original Gangster’ kerana ia menentukan masa depannya dalam industri filem.
Bagi Syamsul meneruskan penggambaran adalah bulan madunya kerana dia bertanggungjawab dalam memberi rezeki kepada lebih 100 karyawan filem.‘The Original Gangster’ adalah filem termahal yang pernah dihasilkan oleh Syamsul dan berlainan dengan filem-filem bercorak gengsterisme selama ini.
Syamsul juga mendakwa ‘The Original Gangster’ akan jauh lebih hebat daripada filem ‘Mat Kilau - Satu Kebangkitan’ dari segi arahan dan kos.
‘The Original Gangster’ diterbitkan secara bersama antara Syamsul Yusof Films, Razor's Edge Pictures dan Mediaprimastudios yang turut bakal dipasar ke peringkat antarabangsa.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik dalam Instagram (IG), pada Jumaat malam, 13 Januari 2023,
Syamsul berkongsi suasana di lokasi penggambaran filem ‘The Original Gangster’.
Sebelum mengakhiri rakaman itu, anak penerbit popular, Datuk Yusof Haslam ini turut meminta semua pihak mendoakan kelancaran penggambaran filem itu. g"Doakan The Original Gangster," katanya.
Filem ini menampilkan ramai pelakon hebat antaranya Datuk Aaron Aziz, Datuk Adi Putra, Datuk Rosyam Nor, Beto Kusyairy, Sharnaaz Ahmad, Shaheizy Sam, Nas-T, Soffi Jikan, Pablo Amirul, juga bintang aksi Indonesia, Yayan Ruhian.
Syamsul turut berlakon.
Syamsul sepatutnya meneruskan sekuel filem ‘KL Gangster 3’, namun akhirnya bertindak membuat filem berunsur gangsterism dengan ‘gaya’nya sendiri, ‘The Original Gangster’ tanpa mahu dikaitkan dengan Skop Productions.