Seni & Sukan 28 May, 2021

Saya sangat terganggu! Jangan lazimkan gangguan seksual dalam kalangan atlet - Reezal Merican!

@sarfarizmal saad
Penulis merupakan pemimpin pelajar IPTA suatu ketika dulu. Pernah bertugas di 4 kementerian dan beberapa pasukan komunikasi strategik. Mula menulis di akhbar sejak 2009. Bekas Ahli Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan dan bekas Pegawai Khas YBM.

Share this


WALAUPUN statistik atau trend jenayah dalam negara ini menunjukkan penurunan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, namun kata polis, jenayah gangguan seksual masih berada pada tahap yang sama dan membimbangkan.

Terutama ia berlaku terhadap kumpulan kanak-kanak seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian pada 4 Mei 2021 bahawa polis mengesahkan terdapat peningkatan kes gangguan seksual kanak-kanak semasa PKP ini.

Di sebalik penurunan (kadar dan trend jenayah) secara keseluruhannya, beberapa kategori tertentu menunjukkan peningkatan tanpa mengira ketika negara sedang dilanda pandemik ataupun tidak.

Contohnya kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, kesalahan bukan physical contact seperti buat capaian pornografi, amang seksual seperti perkataan dan menunjukkan isyarat lucah dalam bentuk audio serta visual.

Polis percaya semua ini berpunca daripada faktor penggunaan media sosial yang lebih meluas dalam tempoh PKP, bermula Mac 2020 lalu.


Lagi cerita-cerita jenayah berkaitan gangguan seksual


Namun begitu, baru-baru ini pihak media melaporkan golongan atlet negara juga pernah mengalami gangguan seksual yang teruk dan serius.

Sebagai contoh atlet renang dan ibu kepada tiga orang anak, Cindy Ong pernah menerima komen-komen berunsur lucah daripada pembaca dalam media sosial yang memfokuskan kepada bentuk tubuh badan dan bukan kepada pencapaiannya.

Perkara ini menyebabkan semangat atlet berusia 37 tahun itu makin luntur.

Sebenarnya, dia menghadapi gangguan dan serangan seksual sudah menjangkau bertahun-tahun lamanya, termasuk daripada jurulatih kebangsaan ketika dia masih remaja.


Sumber: Facebook Reezal Merican Naina Merican


Rupa-rupanya kisah tragis ini telah sampai ke pengetahuan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sendiri.

Ternyata apa yang berlaku ke atas Cindy Ong ini benar-benar mengecewakan Reezal Merican dan menimbulkan kemarahan beliau selaku menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal sukan di negara kita.

Ini telah mendorong beliau mengeluarkan kenyataan prihatinnya menerusi laman Facebook pada 26 Mei 2021 lalu.

"Saya sangat terganggu membaca pengalaman pahit gangguan seksual yang dilalui Cindy Ong semasa beliau berada dalam pasukan renang negara satu ketika dahulu seperti dilapor dalam media. Tanpa berselindung, saya juga berkongsi rasa amarah dan kecewa dengan apa yang berlaku terhadap beliau dan atlet lain.

"Perkara seperti ini boleh terjadi dan terus terjadi kepada sesiapa sahaja tidak kira atlet, pegawai, jurulatih mahupun staf sokongan; lelaki atau wanita sekiranya tiada tindakan diambil," ujarnya dalam hantaran Facebook itu.

Reezal Merican turut segera mengarahkan pegawai beliau bersama-sama Majlis Sukan Negara (MSN) untuk bertindak segera dengan membantu membuat laporan polis bagi menyiasat perbuatan jijik tidak berperikemanusiaan ini.


Sumber : Berita RTM


Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas itu turut memberi janji bahawa perkara sebegini tidak boleh diselindung walaupun berhadapan dengan mana-mana jurulatih mahupun pegawai.

"Kepada saya, tiada kompromi dan tiada perlindungan untuk mana-mana jurulatih dan pegawai jika didapati bersalah.

"There shall be no cover ups and no room for the predators (Tiada siapa yang akan dilindungi, tiada ruang untuk sesiapa menjadi pemangsa).

"Gangguan sebegini tidak seharusnya berlaku pada mana-mana atlet negara. Setiap atlet dan pegawai harus berada dalam suasana yang selamat di dalam pusat latihan kebangsaan," katanya.

Jelas menunjukkan Reezal Merican memandang serius akan isu ini dan ia bukan sekadar ingin meraih populariti dari sebuah cerita ketidakadilan gender dalam kalangan masyarakat kita, terutama atlit, sehinggakan beliau meminta supaya perkara sebegini tidak dinormalisasikan dalam amalan hidup seharian kita semua.

"Jangan kita normalisasikan gangguan seperti ini tanpa sebarang tindakan. Kita semua ada keluarga, anak, isteri, adik-beradik yang mungkin terdedah kepada ancaman seperti ini. Berat untuk kita lalui dengan perasaan tidak dapat melindungi orang yang kita sayang," katanya lagi. - KitaReporters


Cindu Ong. - Kredit foto: NST

0
0
0
0
0
You will be interested