Seni & Sukan 23 May, 2021

"Selamat Berjaya, Malaysia!" Ucap Ronaldinho! Pertemuan tak disangka Mat Don, juara dunia 2002!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-'96. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (BNC).

Share this

LIRIDON Krasniqi dengan rekaan grafik panggilan sulung pasukan Harimau Malaya. - Kredit foto: IG Mat Don


“SAYA hanya bersiar-siar di pantai (Dubai, Emiriah Arab Bersatu - UAE) dan tiba-tiba terjumpa Ronaldinho. Kami berbual mesra dan dia sempat ucapkan, ‘Selamat Berjaya!’ kepada pasukan Malaysia.”

Liridon Krasniqi memberikan penjelasan ini berhubung gambarnya bersama bekas bintang Brazil juara Piala Dunia 2002 itu pada laman Instagramnya, pada 19 Mei 2021 yang turut ditularkan ramai oleh peminat bola sepak dan mendakwa dia tidak menjalani kuarantin diri mencegah Covid-19.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Liridon Krasniqi

'LEGENDA Bertemu Legenda', keterangan gambar Instagram Liridon Krasniqi yang bersantai di pantai Dubai dengan Ronaldinho. - Kredit foto: IG Mat Don


Perantara menyerang naturalisasi Harimau Malaya ini berterus terang dalam menjawab prasangka ramai peminat bahawa dia hanya bersantai dan berseronok setibanya di situ dari Australia sedangkan 21 rakan sepasukan giat menjalani latihan di Bukit Jalil, Malaysia sejak 16 Mei 2021 lalu.

“Jujurnya saya terbang selama 16 jam dari Australia. Saya tiba di Dubai, dua hari lebih awal (berbanding pasukan negara, pada 20 Mei 2021). Jadi saya berehat lama sepanjang hari, keluar membeli-belah kemudian berjalan-jalan di pantai.  

“Saya terserempak dengan Ronaldinho dan tertanya benarkah dia? Dia idola saya dan alasan saya meminati bola sepak.

“Saya kenal dengan pengurus di kelab pantai itu. Dengan kebenarannya, kami berbual. Saya katakan kepada Ronaldinho, saya meminatinya. 

“Dia bertanya apa kamu buat di sini? Saya jawab, saya bersama pasukan Malaysia akan menyertai (pusingan kedua) Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 (Kumpulan G). Orangnya baik malah dia ucapkan selamat berjaya, Malaysia,” katanya yang turut disapa Mat Don, dalam sidang media dalam talian dengan media Malaysia dari Dubai.


MAT Don menjalani latihan sesi pertamanya dengan Harimau Malaya di Stadium The Sevens, Dubai mulai semalam, 20 Mei 2021. - Kredit foto: FAM


Liridon, 29, bekas warga Kosovo yang mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia pada 3 Februari 2020, hanya mula menyertai sesi latihan Harimau Malaya di Dubai kerana dia baru menamatkan Liga Australia dengan kelab Newcastle United Jets.

Juga bekas pemain skuad bawah 21 tahun Albania dan senior Kosovo, dia dipinjamkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) FC selepas berhijrah daripada Melaka United selain pernah menyertai Kedah dari musim 2015 hingga 2018, sekali gus cukup mengenali ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe.

“Saya teruja dan terhormat malah bangga dapat panggilan pasukan Malaysia. Kami kenal-mengenal dalam sesi pertama ini dalam suasana dan perasaan yang amat baik sekarang. Pada hari pertama menjejak bumi Malaysia, saya tidak pernah terfikirkan ini.

“Saya fikir jurulatih (Cheng Hoe) tahu apa yang dilihat pada saya sehingga memanggil saya. Saya sedia terima apa tugas yang diberikannya namun skuad ini ada 25 pemain yang berdaya saing. Tiada tempat yang terjamin buat saya dalam kesebelasan utama.

“Saya tidak mahu ada fikiran seumpama itu sebaliknya mahu dikelilingi pemain yang layak jadi pilihan utama,” katanya yang dijangka digandingkan dengan seorang lagi pemain naturalisasi kelahiran Brazil, Guilherme de Paula di barisan depan Malaysia.


LIRIDON (dua dari kiri) melakukan senaman regangan badan bersama rakan sepasukan di hotel penginapan pasukan di Dubai. - Kredit foto FAM.


Jika ada kritikan peminat mengenai kelakuan di luar padang, pemain setinggi 1.92 meter ini mahukan mereka menilai setiap pencapaian bersama pasukan yang diwakilinya.

“Saya sayang akan semua peminat bola sepak di Kedah, JDT dan Malaysia. Saya tidak tahu adakah saya ini bermasalah di luar padang tetapi saya tidak letakkannya dalam permainan saya. Masalah adakalanya berlaku tetapi saya tidak pedulikan sangat, jika tidak, boleh hilang akal saya nanti.

“Saya pun ada kritik pemain lain dan saya sedia dikritik asalkan anda berikan sebabnya dengan jelas,” tegasnya yang pada 2014, menyarung jersi pasukan kebangsaan Kosovo pada perlawanan persahabatan dengan Haiti sebagai pemain gantian mulai minit ke-71.

Walau bagaimanapun perlawanan itu menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), masih tidak dikira sebagai bertaraf rasmi antarabangsa kerana Kosovo ketika itu belum menjadi ahli gabungan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Tanpa status tersebut, anak jati Grmovo, Vitina, bekas Yugoslavia masih layak bermain dengan pasukan negara lain. - KitaReporters


TAN Cheng Hoe (baju hitam) memberikan taklimat kepada pasukan negara pada hari pertama kem latihan Harimau Malaya di Dubai. - Kredit foto FAM 

0
0
0
0
0
You will be interested