Seni & Sukan 20 Feb, 2022

Kini dah ada MSC! Pentadbir baharu sepak takraw negara! Perintis jambatan baharu Malaysia-Astaf!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-'96. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (BNC).

Share this

TONGGAK Jawatankuasa Tertinggi MSC 2022-2025 mengangkat tangan tanda kejayaan mesyuarat agungnya dengan sokongan para perwakilan ahli-ahli gabungan di belakang mereka. 


SATU lagi lembaran sejarah sepak takraw Malaysia disingkap tanggal 19 Februari 2022 di Kuala Lumpur.

Enam puluh dua tahun selepas lahirnya Persekutuan Sepak Raga Persekutuan Tanah Melayu (PSRPTM), kini muncul pula Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) sebagai penyambung legasi tadbir urus sukan warisan budaya bangsa Melayu itu!

MSC wujud atas ketidakpuasan hati terhadap kepemimpinan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sejak 9 Mei 2021 yang bertukar namanya dari PSRPTM selain demi menyelamatkan sepak takraw negara daripada terus keciciran di arena antarabangsa. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sepak takraw


Berteraskan enam bekas ahli gabungan PSM, MSC yang turut menerima kelulusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan pada 10 Februari 2022 sebagai badan induk sepak takraw kebangsaan yang terbaharu, berjaya melangsungkan mesyuarat agung pertama di sebuah hotel di ibu kota untuk memilih dan membentuk Jawatankuasa Tertingginya. 

Mereka ialah Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Persatuan Sepak Takraw Putrajaya (Pestap), Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs), Persatuan Sepak Takraw Negeri Sarawak (PSNS), Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan (PSTWPL) dan yang terbaharu, Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (Pestak)

Secara sebulat suara dan bersemangat muafakat tanpa melalui pertandingan, MSC 'menabalkan' Datuk Indera Suhaili Abdul Rahman sebagai Presiden pertamanya.

Lima lagi penyandang jawatan kanan Jawatankuasa Tertinggi MSC turut diumumkan tanpa bertanding.


SUHAILI Abdul Rahman memberikan ucaptama selepas diumumkan sebagai Presiden pertama MSC. - Kredit foto: MSC


Suhaili, juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan (PSTWPL) kini menerajui MSC dan jawatankuasa itu bagi penggal 2022-2025 dalam mesyuarat yang dihadiri lebih 30 perwakilan daripada enam ahli gabungan itu.

'Regu utama' MSC yang diketuainya, diapit dua Timbalan Presiden iaitu Datuk Seri Khairudin Samad, Presiden Pestap dan Datuk Markiman Kobiran, Presiden PSS, manakala Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah (Presiden Pestak), Syed Araniri Syed Ahmad Aledroos (Presiden PSTPs) dan Datuk Ismail Abang Saufi (Pemangku Presiden PSNS) selaku Naib Presiden.

MSC akhirnya menjadi pilihan muktamad Jawatankuasa Penaja (Protem) yang terdahulu dipengerusikan oleh Khairudin selepas beberapa kali mereka dan lapan bekas ahli gabungan yang kembali ke pangkuan PSM, menyarankan nama-nama lain seperti Gabungan Sepak Takraw Malaysia (GSM) dan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSTM) atau PSM 2.0.


SUHAILI Abdul Rahman (depan, tengah) menjawab soalan wartawan dalam sidang media selepas mesyuarat agung MSC. 


“Misi pertama MSC ialah memohon menjadi ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf)

“Kami perlu membaik pulih hubungan sepak takraw Malaysia dan Astaf setelah Pesuruhjaya Sukan dimaklumkan bahawa persekutuan itu tidak mahu menerima semula PSM (yang telah disingkirkannya pada 20 Mei 2021).

“Supaya tidak dipertikaikan dan sejajar slogan ‘Amanah Berintegriti’, MSC turut terbuka untuk menerima mana-mana ahli gabungan PSM sekarang sekiranya MSC diiktiraf sebagai ahli gabungan Astaf,” kata Suhaili dalam sidang media selepas mesyuarat itu.



Suhaili turut menegaskan kesediaan konfederasi membubarkan MSC sekiranya tidak diiktiraf oleh Astaf kerana berpegang kepada prinsip untuk mengutamakan kemajuan dan perkembangan sepak takraw Malaysia selain keputusan Astaf yang enggan menerima kembali PSM.  

“Kami juga sanggup membubarkan MSC kalau tidak diiktiraf oleh Astaf kerana untuk apa lagi berfungsi. Kami bukan berebut hendak tubuhkan persatuan.

“Oleh kerana Astaf sudah buat keputusan tidak terima PSM, maka kami terus tubuhkan MSC. Sekiranya kami yang diiktiraf oleh Astaf, PSM sebaliknya yang akan kena bubarkan. Kalau mereka hendak teruskan, hendak jadi apa?

"Siapa pun sekarang tidak layak bercakap dia yang mewakili Malaysia dalam membawa pasukan negara ke pertandingan antarabangsa terutama Sukan SEA Hanoi, Vietnam,” katanya.


ABDUL Halim Kader, Presiden Astaf yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).


Selain Sukan SEA Ke-31 itu dari 12 hingga 23 Mei 2022, skuad kebangsaan mempunyai dua lagi tugasan besar antarabangsa iaitu Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand yang sudah tertunda sejak 2020 dan Sukan Asia Ke-19 di Hangzhou, China (10–25 September 2022).

Kata Khairudin, "MSC bukan saingan kepada mana-mana dan mahu berkelahi atau hendak tunjuk siapa lebih hebat. MSC ditubuhkan untuk menangani kemelut PSM dan demi sepak takraw Malaysia dan bertujuan menaikkan semula sukan tradisi Melayu ini selepas PSM disingkirkan Astaf." - KitaReporters


 SUDAH bertahun-tahun Malaysia (jersi hitam) hanya berada di nombor dua atau kadangkala terperosok ke tempa ketiga dan keempat kerana ditundukkan musuh tradisi, Thailand (jersi merah) mahupun Korea Selatan dan Indonesia. 


 TONGGAK MSC 2022-2025 (dari kiri), Syed Azmir Syed Ahmad Al Edroos, Markiman Kobiran, Suhaili Abdul Rahman, Ismail Abang Saufi dan Syed Husain Syed Abu Bakar Al Edroos. 


JAWATANKUASA TERTINGGI MSC 2022-2025

Presiden: Datuk Indera Suhaili Abdul Rahman

Timbalan Presiden: Datuk Seri Khairudin Samad dan Datuk Markiman Kobiran

Naib Presiden: Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah, Syed Araniri Syed Ahmad Al Edroos dan Datuk Ismail Abang Saufi.



BARISAN kepemimpinan PSM yang menjalani mesyuarat agung tahunan pemilihan 2022-2025 tanpa pertandingan enam jawatan kanannya di ibu kota pada 12 Februari 2022, diketuai Datuk Mohd. Sumali Reduan (tengah). 

10
14
0
14
0
You will be interested