Seni & Sukan 09 Jan, 2022

Gagal Piala AFF! Kenapa Harimau Malaya tersungkur? Dell Akbar & Co akan siasat! Tentu ada sebab!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-'96. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV).

Share this


DATUK Dell Akbar Khan Hyder Khan menganggap kegagalan skuad Harimau Malaya pada Piala AFF 2020 (2021) di Singapura, bulan Disember 2021 lalu, pasti mempunyai sebab-sebab tertentu yang boleh dikupas dengan mendalam oleh Badan Siasatan Bebas yang dipengerusikannya.

“Kalau sasaran (masuk perlawanan akhir) yang ditetapkan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) itu gagal dicapai pasukan, tentu ada sebab-sebabnya. Mungkin berkaitan latihan dan perancangan pasukan, itulah yang kena tengokkan.  

“Kami akan cuba kenal pasti secara kolektif dengan mengambil kira pandangan semua ahli, bukan saya seorang sahaja,” katanya ketika dihubungi yang turut bersetuju menerima pelantikan sebagai pengerusi badan berkenaan oleh FAM itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Harimau Malaya

DELL AKBAR KHAN HYDER KHAN


Selain dikenali sebagai bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Dell juga pernah menyandang jawatan Setiausaha Agung FAM dari 2000 hingga 2005 serta turut menyarung jersi negara dan Selangor dari 1968 hingga 1973.

Bekas bek kanan berusia 74 tahun ini juga pernah membantu kemaraan Malaysia ke Sukan Olimpik 1972 menerusi pusingan kelayakan Kumpulan 1 Asia di Seoul 1971 namun terlepas ke Munich akibat kecederaan.


DELL, bekas pentadbir FAM dan pemain negara.


DELL (berdiri, kiri) dan bersebelahan abangnya, Sardar Khan dalam pasukan Selangor pada Kejohanan Kelab-kelab Asia 1970. 


“FAM sudah minta tolong, saya pun rasa boleh jadi saya setujulah membantu mereka,” kata bekas Ahli Jawatankuasa Keselamatan Piala Dunia Afrika Selatan 2010 kelahiran Kuala Lumpur ini.

Namun katanya, pelantikan semua ahli lain Badan Siasatan Bebas pasukan negara Piala AFF itu diuruskan oleh FAM dan mesyuarat pertama mereka hanya akan dijadualkan sebaik sahaja masing-masing menjawab bersetuju menerimanya atau tidak.  

Keanggotaannya ada kepelbagaian latar belakang,” katanya yang turut pernah menjadi pengurus pasukan negara muncul naib juara Piala AFF pertama pada 1996 selepas dikalahkan Thailand 1-0 di Singapura yang dikendalikan Wan Jamak Wan Hassan.


HAMIDIN Mohd. Amin ketika sesi taklimat dengan Harimau Malaya sebelum Piala AFF. - Kredit foto: FAM


FAM dalam siaran media ketika mengumumkan penubuhan badan itu menyebut, ahli-ahlinya dijangka terdiri daripada mereka yang pernah memegang jawatan dalam pentadbiran bola sepak, bekas pemain dan jurulatih tetapi tidak menganggotai mana-mana jawatankuasa FAM ketika ini.

“Tugas utama badan ini ialah membuat pascanilai laporan barisan jurulatih dan pengurusan Harimau Malaya dalam Piala AFF seterusnya dibentangkan bersama langkah-langkah penambahbaikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM,” kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dalam siaran itu.


SESI mesyuarat dalam talian antara Hamidin (kanan) dan jurulatih serta pemain Harimau Malaya di hotel penginapan ketika Piala AFF di Singapura. - Kredit foto: FAM


Skuad Tan Cheng Hoe hanya mengutip enam mata untuk menduduki tempat ketiga Kumpulan B Piala AFF dari 6 hingga 19 Disember 2021 selepas menewaskan Kemboja 3-1 dan Laos 4-0 namun kempunan ke separuh akhir akibat ditundukkan Vietnam 3-0 dan Indonesia 4-1. 

Hamidin juga ialah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, manakala pengurus pasukan pada Piala AFF edisi ke-13 itu, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi selaku Timbalan Pengerusinya.

Cheng Hoe sudah pun meletakkan jawatan ketua jurulatih negara pada 3 Januari 2022 yang disandangnya sejak Disember 2017 dengan pencapaian terbaik membawa Malaysia muncul naib juara Piala AFF 2018. - KitaReporters


HARIMAU Malaya (jersi kuning) tersungkur kepada Indonesia 4-1 dalam perlawanan Kumpulan B, 19 Disember 2021. - Kredit foto: AFF


PENCAPAIAN Harimau Malaya selepas kempen Piala AFF 2020 (2021) di Stadium Bishan dan Stadium Nasional, Singapura. - Kredit foto: FAM

7
13
0
8
0
You will be interested