Seni & Sukan 18 Oct, 2020

Lulusan psikologi gemar rap! Kayda tampil bersama Autopilot!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Penyanyi rap wanita, Kayda, 29, sudah lebih 7 tahun berada di dalam industri hip hop dan R&B Malaysia. Tetapi dalam kalangan peminat muzik arus perdana, Kayda barangkali satu nama baharu dan belum dikenali ramai. Pun begitu, Kayda sudah kembali dengan single terbaharu, ‘Autopilot’ bersama pendatang baharu dari Amerika Syarikat, Ish. : KitaReporters



Lagi cerita-cerita berkaitan penyanyi

https://kitareporters.com/search?search=penyanyi


Lebih menarik lagi, lagu yang digubah dan dihasilkan sendiri oleh Kayda atau nama penuhnya, Wan Nur Khaleda Aziz Roslan, mendapat kerjasama pula daripada komposer luar, The Cxdy yang juga dari Amerika Syarikat.

Wah! Rupanya selain dari Zee Avi dan Yuna, artis muda seperti Kayda pun dah mendapat tempat di Amerika gitu!

Sebenarnya, bagi yang mengenali rapper ini, Kayda sedang giat mempromosikan lagu terbaharunya ‘Skills4All’ bersama Yusry (KRU Music)  dan Waris, sebuah inisiatif oleh Kementerian Sumber Manusia bagi menggalakkan pembelajaran teknikal serta vokasional dalam kalangan anak-anak muda.



Pun begitu, bagi yang benar-benar belum mengenali Kayda mungkin boleh mendekati dan mengenalinya melalui single terbaharunya berjudul ‘Autopilot’.

Menarik kan tajuk dia?

Melalui karyanya itu, Kayda menceritakan kisah perjalanannya dalam bidang muzik, bermula dari membuat persembahan hip-hop kecil-kecilan sewaktu remaja, kemudiannya memuat naik lagu-lagu ciptaannya dalam MySpace dan sentiasa konsisten dalam pembikinan muzik secara terus-menerus. 

“Pada suatu hari, saya terus ke studio rakaman, berjumpa rakan-rakan, memilih irama yang sesuai, merakamkan apa yang telah saya coretkan sewaktu di rumah dan ia seakan menjadi. 

“Setelah itu, saya didatangi pula oleh seorang rakan yang ingin menaja video muzik dan merasakan keseluruhan projek ini seperti dalam modus ‘Autopilot’," cerita siswazah Sarjana Muda dalam bidang psikologi ini.

Wow! Ini baru ‘beauty with brains’ tak gitu? Seorang penyanyi remaja yang berilmu tinggi namun masih mahu berkecimpung dalam seni muzik yang menjadi darah dagingnya sejak usia 13 tahun waima ibunya pun seorang penyanyi dan bapa pula seorang komposer.

Namun bagi anak sulong Ratu Jazz negara, Dato Sheila Majid ini,  perjalanan seninya dianggap baru bermula.



Bercerita lanjut mengenai ‘Autopilot’, Kayda memberitahu, lagu dan video muziknya telah dihasilkan setahun yang lalu pada bulan Julai 2019.

Jadi kenapa lama benar baru nak terbit?

“Pada ketika itu, pihak pengurusan bercadang agar ia ditangguhkan terlebih dahulu dan saya percaya pada keputusan mereka.”

Tambah Kayda lagi, “Apa yang saya pelajari adalah percaya pada aturannnya dan setiap perkara pasti terjadi, ia tidaklah semudah yang dijangkakan tetapi apa yang patut terjadi akan berlaku pada masanya dan setiap hari ia seakan berada dalam keadaan ‘autopilot’.”



Dan berhubung kolaborasinya bersama Ish yang berdarah kacukan Melayu-Amerika, Kayda berkata, “kami bertemu sewaktu berlangsungnya uji bakat 16 Baris musim ke-2, beliau ada memberitahu minatnya untuk mempelajari rap dalam bahasa Melayu dan saya pula pada ketika itu sedang mencari bakat baru yang ingin diketengahkan dalam lagu terbaharu saya, jadi ia seakan jodoh.

“Ish banyak memberi idea yang kreatif dalam penulisan lirik, seorang freestyler yang mahir dan bagi saya salah seorang penyanyi rap terbaik pernah saya temui walaupun usianya masih muda,” sambung Kayda yang pernah juga berkolaborasi bersama Hunny Madu untuk album ‘Go Hard Or Gostan’.

Seperti judul lagunya itu, dari gerak gaya dan keaktifannya, memang tiada 'gostan' lagi bagi Kayda dalam bidang hiburan yang diminatinya ini bahkan mahu terus berada dalam industri.

“Saya harap pendengar di luar sana dapat memahami mesej yang ingin disampaikan kerana saya ingin menggalakkan sesiapa sahaja untuk terus berusaha dalam hidup, dan saya percaya sekecil mana sesuatu perkara itu, apabila kita toleh ke belakang ia bakal menjadi besar, oleh itu percaya diri dan teruskan perjuangan.” ujar Kayda yang pernah berlakon watak antagonis sebagai ‘Nadine’ dalam drama bersiri ‘Mr. Grey’ terbitan Astro.

Pastinya, setelah berada dalam arena muzik arus perdana, nama Kayda akan terus meniti dari bibir ke bibir peminat lagu bergenre hip hop waima tidak ramai penyanyi wanita yang berkebolehan rap, jadi ia satu saingan sihat bagi segelintir yang sudah memeriahkan irama hip hop tempatan. - KitaReporters




3
1
0
0
0
You will be interested