Seni & Sukan 18 Jun, 2022

Wajib tonton! Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan! Suntik semangat juang bangsa! Di pawagam 23 Jun!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Penerbit Studio Kembara,  Abdul Rahman (tengah) bersama barisan pelakon  'Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan' pada majlis tayangan perdana baru-baru ini.


Sejak pawagam ditutup lebih dua tahun, pada 16 Jun 2022 lalu, tercipta satu sejarah tersendiri apabila tayangan perdana filem  ‘Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan Melayu’ dilihat dapat sekali gus membangkitkan juga semangat penonton kembali ke panggung wayang.

Sesak ruang pawagam GSC Starling Mall dipenuhi barisan artis, karyawan dan peminat filem Melayu yang hadir memberikan sokongan terhadap satu-satunya filem biografi epik Melayu yang menelan belanja tertinggi sehingga RM8 juta terbitan Studio Kembara Sdn Bhd di bawah pimpinan adik beradik, Abdul Rahman Mat Dali dan Shaharudin Mat Dali.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pejuang negara Mat Kilau


Ditambah pula ‘Mat Kilau’ di bawah arahan pengarah prolifik, Syamsul Yusof yang terkenal dengan filem-filem bergenre aksi seperti ‘KL Gangster’ namun mempertaruhkan buat pertama kali bakatnya dalam pengarahan sebuah filem berinspirasikan kisah benar pahlawan Melayu, Mat Kilau bin Iman Rasu.

Tapi sayangnya, Syamsul Yusor tidak hadir untuk media mendapatkan komen atau pengalamannya dalam mengarahkan filem hebat ini atas alasan kurang sihat, kata Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman sewaktu sidang media berlangsung selepas selesai tayangan.

Yang turut hadi bersama tetamu kehormat, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Dr. Siti Hasmah,  pelakon utamanya, Dato Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Dato Jalaludin Hassan, Johan As'ari serta pelakon Indonesia yang terkenal dalam filem filem Hollywood, Yayan Ruhian serta Dato Yusof Haslam dan ramai lagi.


Tun Mahathir dipakaikan tengkolok simbolik pahlawan negara oleh Abdul Rahman.


“Filem ini tidak sepenuhnya mengambil kisah benar Mat Kilau tetapi cuma 60 peratus sahaja berdasarkan kebenaran manakala 40 peratus lagi fiksyen. Apa yang dipaparkan adalah sebahagian daripada kisah kebangkitan pahlawan Melayu Pahang menentang penjajah British. Ada banyak peristiwa lain lagi,” ujar Abdul Rahman.

Menurutnya, Studio Kembara memilih untuk menghasilkan filem yang berinspirasi dari kisah benar itu untuk menonjolkan ketokohan watak yang dicatatkan oleh sejarah. 

“Terdapat banyak catatan sejarah berhubung kebijaksanaan dan keberanian beliau, juga catatan-catatan daripada pihak British yang ditemui mengakui pengaruh besar beliau kepada masyarakat zaman itu dalam membangkitkan semangat mempertahankan maruah bangsa melayu dan kedaulatan bumi Pahang,” jelas Abdul Rahman sambil memberitahu ramai yang tidak mengetahui ada rekod pihak British yang merakamkan gerakan besar dipimpin Mat Kilau telah menyebabkan kemusnahan dan kerugian besar kepada British. 



Tambah penerbitnya ini lagi, Mat Kilau menampil contoh sifat kelelakian yang sentiasa diperlukan pada setiap zaman. 

“Seorang pemimpin yang kuat berpegang kepada agama, budaya Melayu, matang, berakhlak baik, cinta tanahair, berani dan sedia berkorban untuk mempertahankan watannya dari sebarang bentuk pencerobohan. 

"Beliau adalah tokoh yang mempertahankan tanah air dan bukan pemberontak seperti yang dilabelkan oleh kerajaan British dalam buku-buku sejarah. Jasa besar tokoh ini perlu dikenang zaman dan boleh menjadi contoh teladan yang baik kepada masyarakat kita,” tambah Abdul Rahman.

Skrip yang ditulis asal oleh Shaharudin Mat Dali dan diolah bersama Syamsul Yusof ini diharap dapat membantu Kerajaan dalam pembangunan aras fikir masyarakat, menghargai jasa-jasa pejuang lampau cintakan tanahair sehingga sanggup berjuang memajukan agama, bangsa, dan negara.

Pada jangka masa panjang, Studio Kembara bercita-cita untuk menjadi produser filem berwibawa yang boleh bersaing dengan pengeluar filem dari luar negara di mana khabarnya beberapa lagi cerita bersejarah membabitkan Melaka dan Perak bakal diterbitkan. 

Filem berjudul 'Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan' ini diharap dan dijangka akan mendapat sambutan hangat serta menjadi penerobos psikologi yang mencetus keyakinan baharu kepada pemain industri hiburan tempatan dan seterusnya melangkah lebih maju ke depan.


Penulis asal filem, Shaharudin Mat Dali (kanan) bersama Abdul Rahman,Yusof Haslam dan barisan pelakon lain.


Sementara itu, pelakon utamanya, Adi Putra sebagai ‘Mat Kilau’ tidak menafikan mengalami kecederaan dalam aksi langkah silatnya.

“Ikutkan kecederaan yang saya alami perlu mendapat enam kali jahitan tetapi saya mampu bertahan,” ujar Adi Putra yang menghidupkan watak Mat Kilau manakala watak Wahid yang dibawa oleh Beto Kusyairy adalah penambahan atau fiksyen semata-mata. 

“Watak saya ini adalah penambahan jadi tiada rujukan untuk saya mengkajinya kecuali berlakon mengikut kehendak pengarah,” ujar Beto yang memperlihatan lakonan berkesan penuh emosi terutama ketika melihat sendiri kekejaman pihak British menikam isterinya yang mengandung hidup-hidup di hadapan matanya, 



Menonton filem ini akan membongkarkan betapa kejamnya pihak British membunuh orang Melayu tidak kira lelaki, perempuan mahu pun kanak-kanak sehingga ada adegan menyeksakan mata memandang dan ngeri untuk ditatap.

Penulis sendiri terpaksa menutup mata melihat seksaan yang ditonjolkan terutama lakonan pelakon aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian yang terkenal dalam beberapa filem Hollywood antaranya ‘Star Wars: The Force Wakens’ dan “The Raid’, membawakan watak 'Toga', sebuah lagi watak fiksyen yang ditambah bagi menghidupkan lagi keberkesanan jalan cerita.


Pelakon Indonesia, Yayan Ruhian memegang watak Toga dalam sebuah adegan.


Barangkali selepas menontonnya baharu disedari betapa kejamnya orang British tetapi adakah itu realiti atau fiksyen semata?

Menjawab persoalan itu, Shaharudin Mat Dali sebagai penulis asal cerita memberitahu, kajian yang dilakukan menunjukkan serangan Inggeris ke atas orang Melayu yang mereka gelar pemberontak lebih besar dan kejam dari cerita yang dipapar.

“Kita diberitahu orang Inggeris membunuh orang-orang kampung yang tidak berdosa. Jadi saya fiksyenkan mengikut apa saya gambarkan,” ulas Shaharudin.


Turut berlakon Ellie Suriati sebagai ibu Yassin yang dibunuh British.


Persoalannya tidakkah nanti orang-orang Inggeris  melihat filem ini sebagai keterlaluan dan memboikotnya?

“Tak apa, Sepatutnya British menghormati ‘freedom of expression’ dalam berkarya,” jawab Shaharudin.

Dalam pada itu menjawab persoalan sama, Abdul Rahman menambah, ‘mereka tidak akan boikot kerana ini fakta sejarah, banyak lagi dokumen yang menyokong. Memang British begitu, orang tak tahu sebab mereka bijak menutup dengan kelicikan mereka di mana akhirnya mereka dilihat baik.”


Syamsul Yusof memberi arahan kepada pelakon Geof Andre Feyaer sebagai Syer ketika penggambaran berlangsung.



Apa pun, ‘Mati Kilau - Kebangkitan Pahlawan’ yang akan ditayangkan serentak di 90 pawagam seluruh Malaysia bermula 23 Jun 2022 ini wajar ditonton terutama generasi  baharu agar kata-kata seperti dalam dailog ‘Orang Melayu mudah dibeli dan tidak bersatu’ yang dilontarkan oleh pelakon Geof Andre Feyaer sebagai Kapten H.C. Syers dapat diperbetulkan demi kata-kata Laksamana Hang Tuah, ‘Takkan Melayu Hilang Di Dunia’ selagi berpegang teguh kepada agama Islam.

Dari segi produksi, walaupun ada beberapa perkara yang terlepas pandang namun ia tidak mencacatkan filem termahal terbitan anak tempatan ini demi membangkitkan semangat patriotik dalam kalangan bangsa, agama dan negara selari dengan peribahasa kita,  ‘Di mana bumi dipijak, di situ langit di junjung’.

Barangkali ’Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan’ boleh menjadi penanda aras ke arah  kebangkitan kembali filem filem kualiti bersejarah di persada seni filem tempatan dan antarabangsa. 

Tahniah! - KitaReporters


19
8
0
10
0
You will be interested