Sukarelawan NGO Cina Kelantan terpaksa bertungkus lumus memasang segera katil ‘double decker’. - Kredit foto: Speed Media Events & Distribution
KIRA-KIRA 30 sukarelawan daripada 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina Kelantan mengambil masa tiga jam untuk memasang katil serta menyusun mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Berisiko Rendah, di Dewan Wawasan Kompleks Belia dan Sukan Kelantan, Panji, Kota Bharu, pada Khamis 22 April 2020 lalu.
Mereka terpaksa bertungkus lumus selepas Pertubuhan Amal Tzu-Chi dan NGO terbabit menyumbangkan 200 tilam, bantal dan katil pasang siap untuk pusat kuarantin kedua yang baharu dibuka itu berikutan kes pesakit Covid-19 meningkat mendadak di Kelantan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan NGO Cina Kelantan
Ketua Pemuda Hokkien Hoay Kuan Kelantan, Ang Wei Chong, berkata mereka terpaksa memastikan semua kelengkapan untuk pesakit itu siap dipasang serta disusun mengikut jarak sosial yang ditetap dan mematuhi SOP kerana pusat berkenaan perlu mula beroperasi pada Jumaat 23 April 2021.
Menurutnya, sebaik sahaja lori menghantar 45 katil ‘double decker’ tiba semua sukarelawan yang hadir digerakkan untuk melakukan kerja-kerja memasang kelengkapan itu termasuk memasang 110 katil mudah alih yang dipinjam daripada Tzu-Chi.
Katil ‘double decker’ sumbangan seorang peniaga Cina itu mampu menyediakan 90 tempat tidur.
Katanya, 45 katil ‘double decker’ berkenaan adalah sumbangan seorang peniaga Cina yang mampu menyediakan 90 tempat tidur dan secara keseluruhan pusat baharu itu mempunyai 200 katil yang lengkap dengan tilam dan bantal.
“Dalam usaha membendung wabak Covid-19 itu, 11 NGO Cina mempunyai misi yang selari dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu mahukan rantaian penyakit berkenaan dapat diputuskan pada kadar segera.
“Pada masa sama kami mendokong keharmonian kaum di Kelantan berasa terpanggil dan bertanggungjawab membantu kerajaan khusus kerajaan negeri untuk tidak mengabaikan membantu penyediakan kemudahan di pusat kuarantin,” katanya.
Pertubuhan Amal Tzu-Chi turut meminjamkan 110 katil mudah alih untuk digunakan PKRC di Panji.
Ang berkata, sumbangan itu adalah kali ketiga dilaksanakan 11 NGO terbabit bersama Tzu-Chi bagi membantu pusat kuarantin apabila menyumbangkan 140 katil, tilam dan bantal pada awal Januari tahun lalu (2020), manakala seminggu lalu mereka menghantar tambahan 75 tilam dan bantal lagi untuk PKRC di di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK).
Menurutnya , walaupun daripada pelbagai kaum tetapi usaha memerangi wabak Covid-19 adalah menjadi tanggungjawab bersama supaya keadaan menjadi normal kembali dan kegiatan ekonomi masyarakat di Kelantan dapat aktif seperti biasa.
“Dalam situasi sekarang semua pihak berperanan untuk membantu pihak berkuasa memutuskan rantaian Covid-19 terutama mengamalkan penjagaan kebersihan termasuk persekitaran halaman rumah dan mematuhi SOP yang ditetapkan dengan memakai pelitup muka apabila berada di tempat awam,” katanya.
Sukarelawan dengan dibantu pihak berkuasa tempatan mengangkut katil ‘double decker’ untuk dipasang di PKRC Panji.
Antara NGO Cina Kelantan terbabit dalam kerja amal itu ialah Hokkien Hoay Kuan, Persatuan Lam Ann, Persatuan Shing Ann, Persatuan Eng Choon, Persatuan Chin Kang, Gabungan Petubuhan Tiong Hwa, Dewan Perniagaan Cina, State Amulet Club, Buddhist Missionary Society Malaysia Kelantan Branch, Chat Group dan YMM Negeri Kelantan. - KitaReporters
Sebahagian sukarelawan NGO Cina Kelantan bersama pihak pengurusan PKRC Panji bergambar selepas kerja memasang katil dan tilam selesai dilaksanakan.