Kereta yang diletakkan di hadapan rumah terbakar akibat mercun. - Kredit foto: IRDK (kelantan) Original.
Tragedi malang menjelang Syawal sering kita dengar dan mendapat liputan meluas dalam media massa. Satu peristiwa tragik yang terjadi di Alor Pasir, Wakaf Bharu, Kelantan baru-baru ini perlu dijadikan pedoman.
Seorang lelaki pergi mencari buluh untuk dibuat lemang. Namun sepulang daripada mencari buluh, bukannya lemang yang akan dibakar. Sebaliknya dia tergamam melihat keretanya yang diletakkan di halaman rumah sedang marak dijilat api.
Lagi cerita-cerita tragedi berkaitan kebakaran
.
Pasukan bomba dipanggil untuk padamkan kebakaran.
Rupa-rupanya kereta itu terbakar akibat terkena mercun dan bunga api daripada seorang anaknya. Dikatakan anak pemilik kereta itu bermain bunga api di dalam kereta bapanya.
Tragedi ini dirakam oleh pengguna Facebook Mohd Mamat dalam grup IRDK (Kelantan) Original.
Mohd Mamat selain merakam video kereta disambar oleh api, turut memperlihatkan kedatangan kereta bomba datang untuk memadam api. Namun tidak dinyatakan nama mangsa tragedi ini.
Ekoran kebakaran itu, Mohd Mamat meminta orang ramai memastikan kanak-kanak dipantau ketika bermain mercun dan bunga api. Ia adalah antara kesan buruk angkara bermain mercun.
Pelbagai tragedi berlaku, bukan hanya kehilangan harta benda, malah juga kecederaan atau kehilangan anggota. Lebih malang menyebabkan kehilangan nyawa.
Walaupun pembakaran mercun dan bermain bunga api satu kesalahan, namun masih ramai yang yang tanpa rasa takut bermain mercun dan bunga api menjelang dan ketika Syawal.
Ada yang beranggapan tidak sah Aidilfitri jika tiada letupan mercun, bunga api dan dentuman meriam buluh.
Malah terdapat ibu bapa yang sanggup membelikan mercun dan bunga apik untuk anak-anak yang diperolehi dari pasaran gelap.