Seni & Sukan 08 Sep, 2020

Daus Eli mahu lupakan takdir lama! Takdir Kita takdir baharu

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

JARANG benar kita dengar perceraian mampu menghancurkan jiwa lelaki melainkan kaum wanita sahaja yang selalunya meluahkan perasaan derita. Namun siapa sangka bekas bintang Akademi Fantasia (AF8), Daus Eli yang berhadapan keruntuhan mahligainya pada tahun lalu (2019) melalui depresi hingga terdetik tidak mahu hidup lagi. Bagaimana  keadaannya kini? - KitaReporters.


Lagi cerita-cerita berkaitan

https://kitareporters.com/search?search=perceraian


Enggan lagi menoleh ke belakang, Daus atau nama sebenarnya, Muhd Shahril Firdaus Eli kini muncul dengan single terbaharunya ‘Takdir Kita’. Single terbitan syarikat rakaman Nova Music  berkenaan merupakan ciptaan sepenuhnya bintang kelahiran bumi Kenyalang, Sarawak ini.

“Single ini adalah luahan isi hati saya mengenai apa yang dilalui sepanjang hampir dua tahun bergelut dalam masalah rumah tangga bersama bekas isteri, Syaza Shamimi Jalaludin Khan,” luah Daus.

Penyanyi yang berkahwin bersama Syaza pada 7 Jun 2013 itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Delysha Senzela, 6; Myesha Sehrish, 4; dan Ayesha Sheraz, 1.

Satu-satunya gambar bersama Syaza yang masih ada dalam IG Daus ketika bercuti ke London 2 tahun lalu.


Dan gara-gara melafazkan cerai talak satu dengan Syaza yang baharu dua minggu melahirkan anak ketiga mereka pada bulan Februari tahun lalu, Daus tidak henti-henti  menerima kecaman netizen.  

Namun pada kala netizen tidak berhenti melemparkan pelbagai kata-kata nista seolah-olah mengetahui apa yang berlaku di sebalik kemelut rumah tangga mereka, Daus pernah berasa seperti tidak mahu lagi hidup di dunia ini. 

“Saya tak minta pun semua ini terjadi pada diri saya. Apa yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT. Ketika saya berada dalam depresi, pernah terdetik tak nak hidup lagi di dunia ini. 

“Tapi, saya bersyukur ada ibu bapa, adik beradik dan keluarga yang memberi sokongan. Malah, disebabkan semangat yang diberikan mereka membuatkan saya bangkit semula untuk meneruskan kerjaya dalam bidang muzik,”  cerita Daus jujur.


Disebabkan minatnya dalam bidang muzik tidak pernah lupus sejak 10 tahun berada dalam industri, Daus bangkit dengan semangat baharu sehingga muncullah ‘Takdir Kita’. Menurut Daus, lagu itu adalah luahan isi hatinya mengenai lelaki yang mengharapkan sesuatu daripada wanita yang pernah dicintai suatu ketika dahulu. 

“Sebenarnya, lagu ini berkaitan dengan bekas isteri saya yang dicipta dua tahun lepas sebelum saya bercerai,” ceritanya lanjut. Tambah Daus, ketika itu beliau  sudah berada dalam keadaan depresi, tiada semangat dan rasa kecewa. 

“Jadi, saya buat lagu ini mengikut ‘mood’ ketika itu. Sewaktu melancarkan single ketiga, kami masih lagi bahagia. Cuma dalam tempoh dua tahun itu sudah ada masalah sikit. Isu cerai tak habis lagi, netizen pula hentam kononnya saya ceraikan isteri semasa dalam pantang. Jadi berlakulah konflik,” kenang Daus.

Reda dengan ketentuan Allah terhadap apa yang berlaku, Daus bagaimana pun berjanji tidak akan melupakan tanggungjawabnya sebagai ayah kepada ketiga-tiga anaknya.

“Siapa yang mahukan perceraian tetapi jodoh kami tidak lama tetapi apa yang boleh saya katakan lagu ini memang luahan hati saya yang dicipta untuk Syaza,” tambah Daus.


Menurut Daus, 2020 adalah tahun dia mahu kembali memeriahkan industri muzik tanah air walaupun perlu bersaing dengan penyanyi baharu dan jauh lebih muda bahkan menganggap situasi itu bukan penghalang buat dirinya.

“Sepanjang dua tahun itu saya menyepi dan fokus bisnes. Tahun ini, saya bangkit dan sekarang bernaung di bawah Nova Music. Saya keluarkan lagu ini pun untuk anak-anak selain berniaga untuk menambah pendapatan.

“Saya sedar walaupun tak setanding dengan artis lain dari segi ‘followers’ dalam IG, tapi semangat tetap ada untuk memajukan diri dan takkan mengalah untuk terus terbabit dalam muzik. Lantaklah orang nak cakap apa. Paling penting saya sudah sampaikan mesej lagu ini.

“Harapan saya, semoga apa saja persoalan netizen yang tuduh saya macam-macam, semuanya terjawab dalam lagu ini. Inilah yang saya rasa sebenarnya. Memang saya mengaku ada salah. Dia pun ada salah. Tapi saya tak nak aibkan mana-mana pihak. Lagu ini adalah luahan semata-mata,” ulas Daus.

Menariknya, lagu “Takdir Kita” dipilih menjadi lagu tema bagi drama ‘Aku Yang Kau Gelar Isteri’ yang bakal ditayangkan di slot Samarinda, TV3 tidak lama lagi. Drama terbitan Tanah Beris Film Production itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Nelydia Senrose, Nadia Brian, Atiq Azman dan Raja Afiq.

“Alhamdulillah, ini satu pencapaian tersendiri buat lagu ini. Bukan mudah sebenarnya sesebuah lagu itu dipilih menjadi lagu tema drama. Saya anggap ia rezeki dan promosi buat lagu ini.

“Diharap, lagu ini akan dapat pergi lebih jauh lagi. Sudah semestinya saya juga meletakkan harapan untuk melihat lagu ini berjaya macam lagu orang lain. Apabila drama ini ditayangkan kelak, penonton akan dapat mendengar dan menghayati bait-bait dan mesej yang ingin disampaikan pada lirik lagu ini,” jelasnya.




Menjengah ke laman Instagram @dauseli_official. penyanyi ini sempat pula memuat naik entri mengucapkan tahniah kepada pasangan pengantin baharu Mira Filzah dalam gambaran melucukan di mana beberapa selebriti tanah air yang pernah dikaitkan mempunyai hubungan dengan Mira ditampilkan wajah mereka berlatarkan lagu 'Takdir Kita' nyanyiannya. 

Antara mereka itu Zizan Razak, Remy Ishak, Zul Ariffin dan terakhir wajah Daus sendiri yang murung dengan kapsyen 'takpe peluang masih ada....'

Terbukti Daus dah kembali riang, sempat bergurau senda lagi kan?

Apa pun lirik muzik video “Takdir Kita” sudah boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos, malah, lagu ini juga boleh distrim di semua platform muzik digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KK Box, YouTube Music dan iTunes. - KitaReporters


0
0
0
0
1
You will be interested