Seni & Sukan 26 Jul, 2021

Olimpik Tokyo 2020: Peng Soon-Lui Ying minta maaf, balik awal! Chong Wei selar sikap netizen!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Cabaran gandingan Peng Soon-Liu Ying pada Sukan Olimpik 2020, Tokyo berakhir selepas mengalami dua kekalahan pada peringkat kumpulan. - Kredit foto: Annice Lyn/Majlis Sukan Negara.


CHEF de Mission Malaysia ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Datuk Lee Chong Wei menyelar sikap netizen yang melemparkan kritikan keras ke atas beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying selepas pasangan itu gagal meneruskan kemaraan pada kempen Sukan Olimpik kali ini.

Melalui akaun Facebook miliknya, Chong Wei berkata, dia kecewa membaca komen-komen segelintir netizen yang menjurus kepada kecaman, sambil menambah, beliau bersimpati kepada kedua-dua pemain itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan badminton


“Apa yang mahu saya katakan, saya mengenali kedua-dua pemain ini. Mereka masuk ke gelanggang hanya dengan satu matlamat, satu sasaran iaitu memenangi perlawanan demi lencana pada dada dan membuatkan kita bangga.

“Tiada siapa mahu masuk ke gelanggang untuk kalah. Tapi, itulah realiti, akan ada pemenang dan yang kalah dalam setiap perlawanan. Kadang-kadang ia bukan hari anda. Mereka yang menonton melalui televisyen pun boleh merasa ‘serangan jantung’, apatah lagi pemain?

“Patutkah kita terus menyokong mereka? Pemain-pemain ini pernah membawa kegembiraan kepada anda sebelum ini. Jangan mengejek mereka bila mereka kalah dalam satu pertandingan,” katanya.

Pada akhir statusnya, Chong Wei memberitahu Peng Soon dan Liu Ying bahawa beliau dan rakyat ‘Malaysia tulen’ berbangga dengan mereka walaupun mereka tewas.


Chong Wei diberi tanggungjawab sebagai Chef de Mission pada Sukan Olimpik 2020, Tokyo. - Kredit foto: Instagram Datuk Lee Chong Wei.


Bagaimana anda boleh menjadi penyokong setia Liverpool tidak kira mereka menang atau kalah  tapi bila untuk pasukan negara sendiri, tiada langsung kesetiaan dan semangat." 


Hantaran Chong Wei itu mendapat respons positif daripada pengikutnya. Selain menerima tanda suka daripada lebih 100,000 orang, ia turut dikongsi oleh 11,000 pengikutnya serta mendapat 3,500 komen.

Muhammad Lutfie Shah menganggap 'serangan' yang dilakukan ke atas Peng Soon dan Liu Ying sebagai mentaliti tipikal rakyat Malaysia dan ia sesuau yang memalukan.

"Apa-apapun all the best to team Malaysia for the upcoming competitions (Apa-apapun selamat maju jaya kepada pasukan Malaysia pada pertandingan seterusnya)," tulis Lutfie.

Teo Tee Seng pula meniupkan kata-kata semangat kepada pasangan itu dengan menulis: "Seluruh negara bersama anda dan semua ahli pasukan...ayuh bergerak ke depan dan banggakan negara ini pada kejohanan akan datang."

Sementara itu Averil Chan menganggap mereka yang mengkritik itu adalah mereka yang tidak layak ke Olimpik. "Jadi, biarkan mereka cemburu. Semua orang sudah layak bergelar pemenang apabila mampu ke Olimpik."

Bagi Rudy Malik, sikap yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia terhadap ahli sukan negara ini agak melucukan. "Bagaimana anda boleh menjadi penyokong setia Liverpool tidak kira mereka menang atau kalah  tapi bila untuk pasukan negara sendiri, tiada langsung kesetiaan dan semangat."


Kredit foto: Kamarul Akhir/Majlis Sukan Negara


Rogayah Malik berkata, kalah atau menang adalah adat permainan. "Hormat dan sokong mereka...mereka melakukan yang terbaik untuk negara kita."

See Hui Lin pula berkata hanya mereka yang bermain untuk negara tahu bagaimana sukarnya menjadi pemain kebangsaan.

Sementara itu, Dewi Chen yang memperkenalkan dirinya sebagai peminat dari luar negara menulis: "Saya masih menyokong mereka. Bukan mudah menjadi sebahagian daripada pasukan Olimpik, teruskan perjuangan."

KY Lim pula mengimbas kembali bagaimana Peng Soon dan Liu Ying menyatukan seluruh Malaysia  pada Olimpik 2016 di Rio de Janeiro apabila beraksi di final dan memenangi pingat perak.

"Sekarang bila kalah, mereka dikritik. Hormat mereka sebagai atlet profesional yang membawa kebangaan kepada negara," tulis Lim.

Banyak lagi komen-komen positif yang membuktikan masih ramai peminat bersikap rasional serta menerima kegagalan Peng Soon-Liu Ying itu sebagai sebahagian daripada adat pertandingan.


Kecederaan menyebabkan Liu Ying tidak mampu memberi persembahan terbaik yang menyaksikan mereka tewas 12-21, 15-21 kepada gandingan Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Hertrich. - Kredit foto: Kamarul Akhir/Majlis Sukan Negara.


Gandingan Peng Soon- Liu Ying yang memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro gagal mara ke suku akhir pada Olimpik kali ini selepas tewas dua perlawanan peringkat kumpulan.

Pada Sabtu, 24 Julai, 2021, pasangan yang berada pada ranking nombor 7 dunia itu tewas 18-21, 21-10 dan 16-21 kepada pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet. Kemudian pada Ahad, 25 Julai, 2021, mereka tewas pula kepada gandingan Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Hertrich, 12-21, 15-21.

Ekoran itu, Peng Soon memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kegagalan mereka kali ini.



Anda boleh kata saya tidak bermain bagus, anda boleh berkata saya tidak berada pada tahap sebenar tapi jangan kuburkan usaha saya."


"Ia bukan prestasi terbaik kami (dalam perlawanan bertemu beregu Jerman), kami mohon maaf kepada semua. Kami juga mahu menang dalam perlawanan ini dan kami sudah berlatih lama untuk menghadapi Olimpik kali ini.

"@gohliuying, tidak mengapa, jangan berputus asa. Kita menang bersama, kita kalah bersama," tulis Peng Soon menerusi entri Instagram miliknya.

Sementara itu, Liu Ying pula melalui hantaran pada media sosial meluahkan kekecewaan dengan kekalahan dan kritikan yang diterimanya daripada peminat.

"Selepas bermain dalam perlawanan ini, saya tidak tenang sehingga sekarang. Saya tahu kalah tetap kalah. Musuh tidak akan beri peluang kepada anda kerana anda cedera dan orang lain tidak bertimbang rasa dengan anda kerana anda kalah.

"Pada akhirnya, keputusan lebih penting daripada proses. Anda boleh kata saya tidak bermain bagus, anda boleh berkata saya tidak berada pada tahap sebenar tapi jangan kuburkan usaha saya.

"Saya yang gagal dan menyakitkan diri sendiri. Kalimat 'maafkan saya' saya mahu tujukan kepada diri sendiri," luah Liu Ying.

Peng Soon-Liu Ying melengkapkan aksi peringkat kumpulan pada Isnin, 26 Julai, 2021, dengan kekalahan 13-21, 19-21 kepada pasangan nombor tiga dunia dari China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping. - KitaReporters


Kredit foto: Kamarul Akhir/Majlis Sukan Negara.

2
0
2
0
0
You will be interested